Ancaman
pemikiran agama simplistik
Ancaman paling berbahaya yang dihadapi orang
Melayu kini ialah ancaman pemikiran dan minda yang sempit dan jumud.
Ini kerana kita hanya terdedah kepada fahaman
agama yang beciri satu dimensi (al-fikr zu al-bu'di al-wahid) atau berciri satu haluan
(uhadiyatul fikr).
Hal ini tidak saja berlaku di kalangan orang awam,
tetapi berlaku di kalangan cerdik pandai terutama golongan berpendidikan agama.
Selain itu pandangan atau pemikiran agama kebanyakan orang Melayu
pula sangat simplistik dan bercelaru. Ada yang sampai tidak dapat membeza antara Islam dan
pemikiran Islam, tidak mengetahui bahawa syiar Islam dan syariat Islam itu adalah perkara
yang sama dalam ajaran Islam.
Datuk Dr. Ismail Ibrahim menganggap pendidikan
agama di pusat-pusat pengajian tinggi yang tidak mempunyai sistem yang mantap menjadi
punca kelemahan orang Melayu dalam pemikiran agama ini.
Beliau berkata, pendidikan agama di pusat-pusat
pengajian tinggi kerajaan dan swasta di negara ini pula belum menemui sruktur dan sistem
yang mantap. Ia masih berasaskan pendekatan segmentasi menurut model pengajian Islam yang
terpisah daripada pendekatan holistik dan sepadu.
Sistem ini mengeluarkan produk yang longgar dan
tidak padu dalam menyelesaikan isu-isu semasa. Malah dalam menangangi isu-isu agama
sendiri mereka menjadi lemah dan tidak kukuh.
Hal ini memberi gambaran dan kenyataan bahawa
pengajian Islam menjadi rapuh dalam menghadapi pembangunan terkini dan tuntutan-tuntutan
sosial, ekonomi, ilmu pengetahuan, teknologi moden dan sebagainya.
Lebih malang lagi pengajian agama di negara ini
lebih bersifat lelurus (linear/khatti) dan sehala (unidirectional/al-ijtijah al-wahid).
Ini kerana kita biasanya mendengar dan mengambil
daripada guru tanpa berani bertanya, menguji dan mengkritik bahawa apa yang disampaikan
itu betul dan kuat atau tidak.
Aliran pengajian sebegini sebenarnya diwarisi dari
Arab. Orang Arab pula mewarisi pengajian cara itu dari zaman Rasulullah s.a.w. di mana
pengajian orang Islam dilakukan dengan cara menghafaz apa saja yang dipelajari secara
bulat-bulat kerana kebanyakan orang Islam pada zaman itu buta huruf sebagaimana disebut
dalam al-Quran dan hadis (al-ummiyyun). Malah jika ada yang pandai membaca dan menulis
pun, tidak mudah untuk mendapatkan alat dan bahan tulis.
Dengan itu budaya catat ilmu tidak diamal kecuali
di kalangan orang tertentu yang amat terbatas sekali, tetapi yang lebih terkenal dan
betul-betul menguasai masyarakat pada zaman itu ialah budaya hafaz.
Pendekatan yang dipanggil dalam bahasa Arab,
bida'atuna raddu ilaina (barang kami kembalilah kepada kami) yang bermaksud ilmu yang
dipelajari daripada guru hendaklah dijawab dalam kertas peperiksaan secara harfiah seperti
yang diimlak atau termaktub dalam buku teks.
Oleh kerana pengajian agama di negara ini
mengambil model pengajian agama dari negara-negara Arab yang purata sangat tebal pengaruh
pengajian cara hafaz itu, maka kita pun tidak dapat lari menggunakan pendekatan hafaz,
tetapi dengan diadakan sedikit pengubahsuaian.
Perkara ini berlaku dalam pengajian agama tanah
air sejak dahulu lagi. Apa yang disebut sebagai sistem pengajian pondok adalah meniru
pengajian agama yang menggunakan pendekatan hafaz itu, tetapi dilakukan sedikit
pengubahsuaian supaya cocok dengan mentaliti orang Melayu yang kurang suka atau tidak kuat
menghafaz.
Apa yang tinggal selepas pengubahsuaian pendekatan
hafaz itu ialah kita menerima semua maklumat dan ilmu yang dipelajari bulat-bulat, tidak
digalak menyoal, menguji dan mengkritiknya.
Aliran pengajian yang tidak sesuai lagi dengan
zaman inilah yang terdapat dalam semua peringkatan pengajian agama kini bermula dari
sekolah rendah sehingga ke universiti.
Dengan itu muncullah budaya segan mengeluarkan
pandangan yang berbeza mengenai pelbagai isu agama walaupun perkara itu dibenar dan
dituntut dalam Islam. Malah kalau sampai boleh dianggap pandangan yang dikeluarkan
merupakan kritikan pula, tidak berani langsung.