Pengajaran
di Sauk
Assalamualaikum wrbt.
Biarlah saya mulakan wacana ini dengan hadith Rasulullah SAW, sabdanya : "Akan
keluar pada akhir zaman suatu kaum (golongan) yang mencari dunia dengan menjual agama,
memakai pakaian adu domba lidah mereka manis dari madu sedang hati mereka bagai serigala.
Allah akan berfirman pada mereka: Apakah terhadapKu mereka bermain-main dan melawan,
dengan kebesaranKu? Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka fitnah ujian bala'
sehingga seorang yang berakal tenang akan bingung." (Riwayat Abu Huraitrah r.a.)
Peringatan untuk kita semua itu dikeluarkan kerana akan datang suatu ketika, terdapat
golongan yang mendakwa dan menyeru takut dan taqwa kepada Allah SWT tetapi tidak
berhati-hati daripada dosa. Ada yang menyeru kebaikan, tetapi berbuat kejahatan dan
kebathilan. Ada yang memerangi kejahatan dan kebathilan orang lain agar orang menyokong
mereka, sedangkan kebathilan dan kejahatan golongan dan diri sendiri dibiarkan begitu
sahaja. Golongan seperti ini tidak akan mendapat apa-apa di akhirat (moga-moga kita semua
dijauhkan dari tergolong di dalamnya).
Saya bukan baru mengenali politik dan strategi PAS. Jika ada pun orang yang mahukan ajaran
Islam benar-benar menjadi amalan parti tersebut, itu adalah orang-orang yang terpencil.
Golongan yang bermatlamatkan politik semata dan tidak mahu mengamalkan ajaran-ajaran baik
dan akhlak terpuji kerana gusar ianya tidak akan membawa kebruntungan kepada parti lebih
ramai. Orang-orang seperti inilah yang sering saya temui di dalam PAS.
Bukankah Allah SWT mencela orang-orang yang tidak saling mencegah perbuatan mungkar di
kalangan kelompok mereka sedangkan mereka mendakwa memerangi kemungkaran pada orang lain?
Rasulullah SAW bersabda : "Ketika malam Isra', saya melihat orang-orang yang
digunting bibirnya, dan ketika saya tanya pada Jibril: Siapakah mereka itu ya Jibril?
Jawabnya: Mereka pemimpin-pemimpin dari umatmu yang menganjurkan orang lain supaya berbuat
baik, tetapi lupa pada diri mereka sendiri, padahal mereka membaca kitab Allah, tetapi
mereka tidak pula memperhati dan mengamalkannya." (Riwayat Anas r.a.)
Saya mahu percaya PAS tidak akan memanipulasi isu Sauk dan akan berpegang kepada kenyataan
awal mereka di dalam isu ini. Sebagaimana yang saya nyatakan, masanya terlalu awal untuk
melihat siapakah yang akan beroleh political advantage walaupun saudara dengan
pantas mendakwa PAS adalah parti yang beroleh political disadvantages. Saya
sarankan kita menunggu sejarah berulang, dan pada waktu itu, diharap pendirian saudara
mengenai political advantage ini tidak berubah.