TEMBELANG PAS, KEADILAN
At-Taubah 9:18 (ayat 18)
Hanya yang memakmurkan masjid-masjid
Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta
tetap mendirikan shalat, emnunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun)
selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk
golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.
DAKWAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim diracuni
dan perihal ia dijadikan isu politik serentak dengan ulang tahun penangkapan
bekas Timbalan Perdana Menteri itu, adalah satu pergolakan terbaru yang
membimbangkan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
Para penyokong Anwar termasuk ahli PAS
telah berhimpun di ibu negara untuk mencemarkan kesucian Masjid Negara; berarak
di jalan raya dan mengganas.
Walaupun siasatan terhadap dakwaan
dijalankan, mereka ini telah mengambil keputusan untuk berarak dengan laungan
seolah-olah mahkamah sudah membuat keputusan bahawa Anwar diracuni dan mereka
yang meracun juga sudah diketahui.
Sebelum perhimpunan yang mencetus keganasan
di ibu negara berlangsung, isu keracunan arsenik itu telah gamat dijadikan
modal oleh para pemimpin parti Keadilan dan Pas untuk meniupkan api kebencian
terhadap Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.
Persoalannya - benarkah Anwar diracuni,
jika benar siapakah yang melakukannya dan apakah tujuannya? Bagaimanapun, belum
sempat persoalan itu dijawab, dakwaan itu telah dieksploitasi sebagai modal
politik termasuk oleh kalangan yang bergelar 'ustaz'.
Kita wajar bertanya, apakah adil bagi
sebuah parti yang bernama Keadilan, bertindak melulu tanpa menunggu hasil
siasatan? Sudah tentu mereka menjawab bahawa keadilan tidak wujud lagi di
Malaysia. Sebenarnya, bagi mereka ini, keadilan hanya wujud jika ia memihak
kepada Anwar.
Oleh itu, bayangkan apa yang akan terjadi
ke atas Malaysia kelak jika golongan yang fanatik dan jumud ini memerintah atas
prinsip 'keadilan' tersebut.
Pertanyaan juga dikemukakan kepada para
pemimpin Pas yang mendabik kononnya hanya parti itu dan orang-orangnya sahaja
layak beragama Islam. Apakah hukumnya jika seseorang Islam menuduh orang lain
tanpa sebarang bukti yang sah? Jika dikatakan bahawa mereka memfitnah,
percayalah bahawa seperti 'ahli kitab' yang disebutkan dalam al-Quran, mereka
juga akan menjawab dengan memutar belit ayat-ayat Allah.
Beberapa orang 'ustaz' Pas telah
menggunakan isu Anwar diracuni untuk meniupkan kebencian rakyat terhadap
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada ketika perkara itu masih
dalam siasatan.
Sebaliknya, para pemimpin Pas ini menuntut
pelaksanaan hukum hudud yang mesyaratkan empat orang 'beriman' menjadi saksi
setiap pertuduhan. Apa yang berlaku menunjukkan bahawa tuntutan pelaksanaan
hukum hudud itu hanyalah gimik politik. Para pemimpin Pas sendiri ternyata
tidak memerlukan sebarang saksi untuk melemparkan tuduhan terhadap musuh-musuh
politik mereka.
Jika beginilah cara mereka, bayangkanlah
apa yang akan terjadi ke atas Malaysia jika Pas dan Keadilan memerintah.
Tembelang dan muslihat mereka terdedah
lebih jelas di Masjid Negara. Sebelum ini, sebilangan 'ustaz' sering
menyalahgunakan masjid untuk menghentam musuh-musuh politik mereka, tanpa
mempedulikan kesannya ke atas perpaduan ummah.
Kini mereka mengajak pula rakan-rakan
politik yang bukan beragama Islam untuk mencemarkan Masjid Negara. Dengan
megah, rakan-rakan politik bukan Islam itu diberikan pembesar suara di rumah
Allah itu untuk meniup api kebencian terhadap saudara-saudara seagama mereka
sendiri.
Syukurlah Allah telah mendedahkan sifat-sifat sebenar golongan ini. Mereka mahu meruntuh keamanan. Yang anehnya mereka langsung tidak menghiraukan ayat 18 surah At-taubah yang menyatakan hanya mereka yang beramal soleh dan takut kepadaNya yang berhak berada di rumahNya. Tetapi nampaknay puak-puak yang kononnya melaungkan yang mereka lebih Islamaik dari yang lain telah membawa kaum-kaum kafir masuk ke rumah Allah dan melontarkan api kebencian terhadap orng Islam yang lain. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan membalas dengan setimpalnya di atas perlakuan mereka.