MASJID atau kuil,
memilih orang bukan Islam hukumnya haram, dan Sekolah Wawasan akan menghapuskan
identiti Sekolah Cina dan bahasa ibunda orang Cina. Begitulah antara isu-isu
yang ditanamkan oleh parti pembangkang ke dalam fikiran para pengundi sepanjang
kempen pilihan raya kecil DUN Lunas yang baru selesai pada 29 November lalu.
Kita boleh berhujah
dengan panjang lebar tentang isu yang disogokkan itu. Namun kenyataannya ialah
ramai pengundi di DUN Lunas terpengaruh dengan dakyah ini. Strategi dan taktik
kotor lagi menjijikkan yang digunakan oleh parti pembangkang terbukti terbukti
mencapai kejayaan.
Calon parti Keadilan,
Saifuddin Nasution Ismail berjaya memperoleh 10,511 undi berbanding calon BN S.
Anthonysamy yang memperoleh 9,981. Ini bermakna calon Keadilan menang dengan
majoriti 530 undi.
Keputusan ini memang
mengejutkan banyak pihak, termasuk parti pembangkang sendiri.
Ramai di kalangan kem
parti BN meramalkan kemenangan calon BN sungguhpun dengan majoriti yang lebih
kecil berbanding dengan pilihan raya umum 1999.
Malah selepas proses
pengundian selesai pun pihak BN masih begitu yakin memenangi pilihan raya kecil
ini berdasarkan kepada 14,600 pengundi yang mengunjungi pondok-pondok panas BN
berpura-pura kononnya menyokong BN tetapi sebenarnya memangkah parti Keadilan.
Pengundi-pengundi Cina
nampaknya mengubah selera kali ini. Kita tidak fikir mereka berbuat demikian
kerana disebabkan perubahan pada dasar kerajaan seperti mana yang cuba
diketengahkan oleh sesetengah pemimpin MCA. Isu Sekolah Wawasan sudah wujud
semasa pilihan raya umum 1999 lagi. Begitu juga dengan isu 17 perkara yang
dibawa oleh Kumpulan Suqiu.
Bagi pengundi-pengundi
Melayu memang dari awal lagi dijangka akan lebih memihak kepada parti Keadilan
kerana calonnya orang Melayu berbanding dengan BN yang terdiri dari orang
India. BN memang menaruh harapan tinggi dan menjangka pengundi Cina akan
memihak kepadanya, terutama sekali kerana calon parti pembangkang bukan orang
Cina.
Beberapa
kemungkinan-kemungkinan dapat kita ketengahkan terhadap tujuan atau motif yang
menjadi penggerak kepada pendirian pengundi-pengundi Cina di Lunas kali ini.
Pertamanya, mereka mahu
menunjukkan sokongan mereka kepada tuntutan kumpulan pelampau Cina berhubung
dengan isu tuntutan 17 perkara dan sekolah wawasan.
Kedua, mereka mahu
pilihan raya DUN Lunas menjadi testing ground untuk menyampaikan mesej
tertentu, dan ketiga, mereka mahu menunjukkan kekuatan sebagai kumpulan penentu
keputusan pilihan raya.
Mereka sahaja yang tahu
tentang objektif undi protes di Lunas kali ini. Yang lebih penting lagi ialah
mereka mahu membuktikan bahawa calon BN tidak mampu menang tanpa sokongan orang
Cina seperti mana yang digembar-gemburkan selepas pilihan raya umum yang lalu.
Aliran ini amat
merbahaya sekali kerana orang Melayu dan India juga boleh berbuat demikian
terhadap calon-calon BN yang terdiri dari orang Cina. Kesungguhan sesetengah
orang Cina dalam menyokong parti Keadilan di DUN Lunas dapat dilihat daripada
air muka mereka yang berkempen dan merayu di tepi-tepi jalan bersama dengan
rakan-rakan Melayu.
Sama ada mereka
menyokong Keadilan kerana yakin dan percaya dengan kemampuan parti tersebut
atau disebabkan kemungkinan di atas sama-samalah kita fikirkan. Orang Cina
lebih cerdik dan lebih halus pendekatan politik mereka berbanding dengan orang
Melayu.
Kecenderungan orang Cina
menyokong parti Keadilan pada pilihan raya kecil DUN Lunas dapat dilihat
berdasarkan kepada taburan undi mengikut daerah-daerah mengundi. Jika
dijumlahkan kesemua peti undi yang mana pengundi-pengundi Cina adalah dominan.
Kita mendapati 62
peratus daripada mereka mengundi parti Keadilan dan 37 peratus sahaja mengundi
BN. Manakala bagi peti undi yang majoritinya Melayu didapati 44 peratus
menyokong BN dan 56 peratus menyokong Keadilan.
Aliran ini berbeza
sekali dengan kawasan-kawasan yang penduduknya tiada kaum dominan. Bagi kawasan
campuran ini 58 peratus pengundi didapati menyokong BN.
Seperti yang dijangkakan
pengundi India memberikan sokongan besar kepada BN (76 peratus) kerana calon BN
adalah terdiri dari kem mereka.
Dari awal lagi kita
memang sudah menjangkakan bahawa BN akan menghadapi halangan yang lebih besar
dalam pilihan raya kecil DUN Lunas kali ini jika parti pembangkang meletakkan
calon Melayu kerana orang Melayu merupakan jumlah pengundi yang teramai
berbanding dengan orang Cina atau India. Adalah lebih mudah bagi BN jika
pembangkang meletakkan calon India atau Cina seperti pilihan raya umum 1999
lalu.
Sama ada kita mahu
menerima atau tidak, kenyataannya ialah sebahagian rakyat Malaysia akan memberi
undi berdasarkan kepada kaum. Biar apa pun yang dikatakan tentang integrasi
kaum, hakikatnya rakyat Malaysia secara umumnya masih cenderung memberi undi kepada
kaumnya sendiri.
Walau bagaimanapun bagi
calon BN, memperolehi antara 35 hingga 55 peratus di kawasan-kawasan yang
majoritinya orang Melayu adalah satu kejayaan (40 hingga 64 peratus bagi
pilihan raya 1999). Bagi kawasan majoriti orang Cina pula S. Anthonysamy hanya
memperoleh 26 peratus hingga 51 peratus sahaja sungguhpun calon parti Keadilan
bukan terdiri dari orang Cina (47 hingga 66 peratus bagi pilihan raya 1999).
Harapan BN untuk
memperolehi majoriti undi dari orang Cina nampaknya tidak berhasil.
Biar apa pun isu yang
disogokkan oleh pembangkang kepada pengundi Cina di Lunas, agak sukar bagi kita
untuk menerima kenyatan bahawa mereka memberi sokongan kuat kepada Keadilan,
walaupun parti ini tidak pernah berjasa sedikit pun terhadap orang Cina. Dalam
erti kata lain kalaulah orang Cina memberi undi kepada calon BN seperti mana
pada pilihan raya 1999, sudah tentu BN tidak tewas di Lunas.
Melihat kepada suasana
sepanjang kempen sehingga hari mengundi, sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang
cintakan keamanan dan kedamaian akan merasa amat sedih dan bimbang dengan
kemungkinan yang boleh berlaku di masa depan. Tidak pernah kita lihat keadaan
yang begitu tegang di mana-mana juga pilihan raya kecil sebelum ini.
Perasaan yang
ditunjukkan oleh penyokong parti pembangkang terhadap penyokong BN, terutamanya
di kalangan orang Melayu begitu mendalam sekali. Hubungan bangsa seagama serta
perasaan kekeluargaan diketepikan dan kelihatan tidak bermakna lagi. Tali
silatulrahim dan ukhwah sesama umat sudah tidak penting lagi, kerana yang
penting bagi mereka ialah untuk memenangkan calon.
Tatasusila, sopan
santun, budi bahasa dan kelembutan yang menjadi sifat dan identiti orang Melayu
seakan-akan lenyap terkubur. Ajaran nenek moyang kita dahulu sudah ditelan oleh
kegilaan dan kerakusan untuk mendapatkan kuasa walau dengan apa cara sekali
pun. Kemuliaan dan kesucian agama Islam yang menjadi panduan hidup kepada umat
Melayu selama ini dinodai.
Mereka sanggup menculik
beberapa orang anak muda Melayu penyokong BN untuk dibawa ke markas parti
pembangkang dua malam sebelum hari pengundian. Mujurlah pihak polis campur
tangan untuk membebaskan anak-anak muda ini. Kata nista, caci mencaci, maki
hamun dan fitnah menjadi amalan walaupun pada bulan Ramadan yang mulia.
Pendekatan cara orang
samseng begitu ketara sekali. Pendek kata mereka cukup agresif sehingga
melampaui batas-batas adat resam budaya bangsa dan kesederhanaan yang dituntut
oleh Islam. Fenomena seperti yang dipamerkan di Lunas cukup membimbangkan.
Demi untuk memenangi sebuah
kerusi Dewan Undangan Negeri maruah dan masa depan bangsa sanggup diperjudikan.
Mereka bergerak ke hulu ke hilir bersama kumpulan pelampau Cina yang
memperjuangkan agenda perkauman yang sempit.
Pemimpin DAP, Lim Kit
Siang dan beberapa pemimpin Dong Jiong Zhong dijemput sama pada setiap ceramah
di kawasan orang Cina.
Presiden Pas sendiri
membuat kenyataan menyokong kumpulan penentang perlaksanaan sekolah wawasan.
Kononnya sekolah wawasan akan menghapuskan bahasa ibunda seperti yang berlaku
kepada orang Melayu di Selatan Thailand. Tanpa usul periksa dan tanpa meneliti
dengan mendalam konsep sekolah wawasan serta matlamatnya, Pas dan Keadilan
secara membuta tuli menyokong kumpulan penentangnya yang ada agenda mereka
sendiri.
Kenyataan Perdana
Menteri yang ditujukan khusus kepada hanya sekumpulan pelampau Cina
diputarbelitkan. Kononnya ditujukan kepada semua orang Cina. Kita amat yakin
kumpulan pelampau Cina ini begitu berani dan lantang kerana ada dalang di
belakang mereka yang terdiri dari orang Melayu sendiri. Kumpulan ini berasa
begitu selesa sekali kerana ada Si Kitul Melayu di zaman ini yang sentiasa
meniupkan semangat dan sokongan terhadap perjuangan sempit mereka.
Untuk membuktikan
semangat setiakawan, penyokong-penyokong pembangkang sanggup duduk mendengar
dengan penuh khusyuk ceramah dalam bahasa Cina yang dibuat oleh pemimpin Cina
dari parti pembangkang. Begitulah kemaruknya mereka pada kuasa.
Kita begitu sedih dan
terkilan dengan tindak tanduk pemimpin-pemimpin Melayu dari kalangan parti pembangkan
ini yang sanggup mempertaruhkan masa depan bangsa. Jangan kita menang sorak
tapi kampung tergadai.
Keputusan pilihan raya
kecil DUN Lunas sekali lagi membuktikan kepada dunia bahawa demokrasi di
Malaysia terus hidup segar. Jika demokrasi seperti yang ditohmahkan oleh parti
pembangkang tidak wujud, tidak mungkin mereka mampu memenangi 45 kerusi
Parlimen dan banyak kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum
1999.
Kerana kesuburan
demokrasilah parti parti pembangkang khususnya Pas dapat memegang tampuk
pemerintahan di dua buah negeri. Kalau sistem demokrasi di Malaysia tidak wujud
mana mungkin parti pembangkang dapat mengadakan ceramah tidak henti-henti di
merata tempat dan di seluruh pelosok negara bagaikan pilihan raya diadakan sepanjang
masa. Entah macam mana lagi bentuk demokrasi yang mereka mahukan.
Mungkin dalam fikiran
mereka demokrasi yang dimaksudkan semua orang bebas membuat apa sahaja yang
disukai, berdemonstrasi tanpa mengira tempat dan masa dan 'law and order' tidak
dipatuhi asalkan matlamat mereka tercapai.
Kalau itulah hasrat dan
idaman mereka akan huru-hara dan kacau bilaulah negara kita nanti. Biar apa pun
tujuan dan matlamat kita janganlah masa depan anak bangsa diperjudikan.