Pecahkan orang Melayu,
betulkah Pas memperjuangkan Islam?
SOALAN ''Betulkah Pas
memperjuangkan Islam'', perlu diajukan kepada orang Melayu, umumnya, dan anggota-anggota
Pas, khususnya, sekarang, dan mereka perlu menjawabnya dengan betul dan ikhlas.
Ini adalah kerana dua
bahaya besar sedang mengancam negara kita dan jika tersilap langkah boleh menyebabkan
negara kita dijajah semula dan ketuanan Melayu lupus di tanah air orang Melayu sendiri.
Dua bahaya besar itu
ialah, pertama, kebangkitan semula imperialisme Inggeris-Amerika Syarikat selepas tamatnya
Perang Dingin, dan kedua, kebangkitan kaum ulama jumud dan oportunis dalam percaturan
politik Islam di negara kita sejak Revolusi Islam Iran bermula dahulu.
Sejak penyingkiran Anwar
Ibrahim dari parti dan kerajaan pada September 1998, satu kekeliruan politik yang besar
telah berlaku dalam masyarakat Melayu.
Ramai pengulas politik,
termasuk pemimpin-pemimpin parti pembangkang, menghuraikan kekeliruan ini kerana pengaruh
dan wibawa Anwar Ibrahim didakwa sebagai seorang ahli politik dan pemimpin. Pada fikiran
saya, pandangan dan dakwaan ini tidak benar sama sekali.
Mereka yang mengikuti
kerjaya politik Anwar Ibrahim dan peristiwa yang menjadikannya sebagai seorang pemimpin
tentu tahu bahawa Anwar bukan seorang pentadbir atau pemimpin yang baik.
Semasa beliau menjadi
seorang pemimpin dalam UMNO dan kerajaan Barisan Nasional selama enam belas tahun, tidak
siapa pun boleh menunjukkan satu jasa beliau yang menonjol sama ada di peringkat negeri
atau kebangsaan.
Apa yang jelas, beliau
mempunyai dua kebolehan yang tidak ada pada Dr. Mahathir, pengasuh dan pendidik beliau
dulu, dan musuh ketat beliau sekarang; iaitu Anwar seorang ahli pidato dan seorang pelakon
yang baik!.
Jika Anwar bukan seorang
pemimpin dan pentadbir yang hebat, apakah yang menyebabkan kekeliruan politik sekarang?
Jawapannya mudah saja; kaum penjajah baru Inggeris-Amerika Syarikat di satu pihak, dan
kaum agama jumud yang dipimpin oleh Pas. Di pihak lain.
Kedua-dua tenaga ini
telah bergabung dan bersekongkol untuk menghancurkan benteng nasionalisme Malaysia di
negara kita, iaitu UMNO umumnya, dan pimpinan Dr Mahathir khususnya.
Di antara kedua-dua
gergasi ini terselit segelintir pembela 'hak asasi' dan 'demokrasi', dalam bentuk empat
lima kerat peguam yang mempunyai cita-cita yang sama.
Ketiga-tiga kuasa ini,
yang telah pun curiga terhadap Dr. Mahathir sejak satu dekad yang lalu, melihat peluang
mereka yang keemasan untuk menjatuhkan Dr. Mahathir dan bersama-sama Dr. Mahathir, UMNO
sendiri, inilah rahsia ''kekuatan'' Anwar.
Oleh yang demikian,
pimpinan UMNO dan kerajaan dan penyokong-penyokong mereka tidak harus membesarkan perkara
Anwar, tentang kepandaiannya membohong dan berlakon dan tentang pengaruhnya. mereka harus
menumpukan perhatian mereka kepada mengkritik dan mendedahkan dua kumpulan ini, iaitu kaum
penjajah baru Inggeris-AS dan kaum jumud Pas.
Mereka harus
menggemblengkan tenaga-tenaga patriotik dalam negeri untuk menghancurkan dua musuh bangsa
kita ini sekarang. Oleh kerana kedua-dua musuh ini juga bersifat antarabangsa, maka
strategi luar kita hendaklah juga menggemblengkan tenaga anti-imperialis dan humanis untuk
menumpaskan kedua-dua tenaga anti-kemanusiaan ini.
Gerakan Pas sekarang amat
berbahaya kepada orang Melayu kerana tiga sebab. Pertama, mereka menggunakan sentimen
Islam untuk mempengaruhi orang Melayu supaya menyokong politik sektarian dan oportunis
mereka.
Kedua, fahaman Islam
mereka menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Contohnya, teori 'kepimpinan ulama'
mereka itu ialah ajaran kaum paderi Kristian pada zaman Pertengahan Eropah dulu, yang
ditolak dalam Islam.
Ketiga, fahaman mereka
yang menolak patriotisme atau fahaman kebangsaan Malaysia menguntungkan kaum penjajah dan
akan menyebabkan Malaysia dijajah semula.
Pas lebih berbahaya
daripada kaum penjajah baru dalam ertikata kaum penjajah baru ini lebih mudah dilawan
daripada Pas. Pas sukar dilawan oleh kerana ia berselindung di sebalik agama Islam yang
suci.
Oleh yang demikian,
pimpinan UMNO dan cerdik pandai yang patriotik mestilah menyusun satu strategi yang
menyeluruh untuk mengoyakkan topeng agama Pas serta mendedahkannya sebagai kaum oportunis,
dan di samping itu, menunjukkan kepada rakyat perjuangan Islam yang sebenar sebagai satu
cara hidup.
Untuk menunjukkan ajaran
Islam yang sebenar, kita perlu berbalik kepada ajaran Quran sebagai sumber utama dan
pokok. Sumber-sumber lain, seperti sejarah (termasuk hadis), falsafah dan sains perlu
ditapis oleh sumber utama Quran.
Tidak ada jalan lain
untuk menjawab dan meruntuhkan teori, dasar dan hujah-hujah Pas, kecuali dengan berbalik
kepada ajaran Quran.
Quran mengajar kita
supaya mewujudkan sebuah pimpinan masyarakat yang jujur dan berprinsip, tetapi pimpinan
Pas sekarang mengajar rakyat menabur fitnah, berbohong, memaki hamun dan mencarut.
Quran mengajar kita
bahawa tidak ada perantaraan antara seseorang individu atau masyarakat dengan Tuhan,
tetapi pemimpin-pemimpin Pas melantik diri mereka sebagai ''ulama'' (baca; paderi) yang
boleh memberikan kita syurga dan neraka! Pas menganjurkan hukum hudud yang tidak ada,
malah ditentang dalam Quran, manakala Quran menyuruh kita memerintah dengan adil dan rahim
dan membenarkan undang-undang nasional yang berbeza antara negara dengan negara.
Pas mengasingkan dunia
dari akhirat dengan menganjurkan cara hidup yang mundur, beku dan pasif bagi umat Islam,
sedangkan Quran menganjurkan cara hidup yang aktif, dinamik dan maju tanpa mengasingkan
dunia dan akhirat.
Pas mendiskriminasi
antara kaum lelaki dan wanita, sedangkan Quran mengajar kita persamaan antara kaum lelaki
dan wanita. Pendek kata, pemimpin-pemimpin Pas tidak layak untuk mentadbirkan sebuah
negara moden, kerana mereka tidak mempunyai sebuah falsafah politik Islam yang moden.
Ini semua bukan salah
Islam, tetapi salah pimpinan Pas yang menyempitkan pemahaman Islam kepada pemikiran mereka
yang amat terbatas.
Perkara-perkara yang kita
sebut itu perlu dihuraikan kepada rakyat melalui buku, risalah, artikel syarahan dan
ceramah.
Ini satu cabaran besar
kepada pimpinan UMNO dan kepada cerdik pandai kita yang patriotik, kerana kebanyakan
mereka selama ini, dari segi agama, menerima ajaran-ajaran 'ulama' (yang tidak banyak
berbeza dari fahaman Pas) tanpa soal.
Walaupun ini satu cabaran
besar, ia perlu dipikul sekarang, dan dipikul dengan berani dan penuh kesedaran dan
tanggungjawab. Jika mereka gagal berbuat demikian, padahnya sangat berat. Ia boleh
menyebabkan tanah air kita dijajah semula dan melupuskan ketuanan Melayu sama sekali.
Kita harap cerdik pandai
Melayu yang berada dalam dan di luar UMNO, malah semua rakyat Malaysia yang patriotik,
akan mengambil berat tentang perkara ini dan bertindak segera, mengikut apa yang kita
cadangkan di atas.
Kritikan kita terhadap
Pas tidak bermakna kita menganggap UMNO dan Barisan Nasional sempurna dan tidak ada cacat
celanya. Tetapi cara kita membaiki kelemahan-kelemahan kita harus dibezakan dengan sikap
musuh terhadap kita. Tujuan masuk (kaum penjajah baru) ialah meruntuh dan memusnahkan
negara dan bangsa kita.
Oleh itu mereka mencerca
pemimpin kita dengan membohong dan membuat fitnah tentang negara kita. Di sesetengah
negara, mereka bertindak lebih ganas, mereka mengenakan sekatan dan membom negara itu.
Kita tidak boleh melakukan terhadap bangsa kita seperti yang dilakukan oleh kaum penjajah
baru! Pemimpin-pemimpin Pas yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam sepatutnya menunjuk
teladan yang baik kepada rakyat bagaimana hendak membaiki pemerintahan dan negara kita,
dan bukan mencaci, membuat pembohongan dan menabur fitnah.
Mereka patut berusaha
untuk menyatupadukan dan bukan memecah-belahkan rakyat. Kita menyeru kepada
pemimpin-pemimpin Pas supaya insaf dan balik ke pangkuan bangsa dan ke pangkal jalan, dan
jangan jadi alat kaum penjajah baru untuk menghancurkan bangsa kita.