SAYA ingin menarik perhatian
kepada tulisan Maarop Mohd Noh bertajuk ‘Umno perlu keluar dari kebencian
rakyat’ yang tersiar dalam Berita Harian, Sabtu lalu.
Sebagai seorang Melayu yang rapat dengan Umno dan hidup di bawah empat Perdana
Menteri, saya berasakan perlu membetulkan sedikit pandangan beliau.
Sekiranya pandangan saya tidak secocok dengan pendirian beliau, saya memohon
maaf. Ada pandangan beliau yang saya bersetuju dan ada pula sebaliknya.
Tetapi saya berpendapat walau apa pun yang terjadi, Umno mesti dipertahankan.
Hancurnya Umno, akan hancurlah orang Melayu. Ini bukan andaian tetapi
kenyataan.
Orang Melayu masih sayangkan Umno. Cuma disebabkan adanya golongan tertentu
yang mengapi-apikan perasaan orang Melayu dan pelawaan tanpa usul periksa itu
diterima, maka lama-kelamaan ia menjadi satu penyakit politik sempit yang sukar
untuk diubati.
Ubat kepada kecenderungan sempit ini ialah kepercayaan ‘biar Umno hancur tapi
jiwa aku puas’ dan akhirnya tamadun orang Melayu akan hancur.
Susah-payah pemimpin terdahulu hanya mahu dihancurkan dengan hasad dengkikan
kenyataan bangsa. Orang Melayu, rasa saya, mengetahui sebenar-benarnya bahawa
hidupnya sesuatu bangsa dan majunya sesuatu bangsa berkait rapat dengan
kedudukan politik bangsa sendiri. Tidak ada bangsa di dunia ini yang berjaya
tanpa kaitan politik.
Ada pula golongan dalam negara yang termakan umpan tanpa memikirkan kepentingan
bangsa dan hanya mengikut pertimbangan fikiran yang kotor, jijik dan
terikut-ikut dengan pelbagai umpan yang dihulurkan seperti kronisme, konspirasi
atau sebagainya selagi orang Melayu gagal menggunakan pertimbangan yang wajar.
Umno ditubuhkan pada 1946 oleh Datuk Onn Jaafar. Ini bermakna sudah 54 tahun
usia Umno. Maka, tanpa perjuangan Umno, orang Melayu tidak akan menikmati apa
yang dinikmati sekarang.
Berapa ramai doktor Melayu telah dilahirkan oleh Umno melalui kerajaan sendiri.
Berapa puluh ribu pensyarah dan profesor telah dilahirkan oleh Umno.
Berapa banyak tanah rancangan Felda atau sebagainya diwujudkan oleh Umno di
samping banyak melahirkan jutawan Melayu.
Golongan ini telah menjadi sasaran kebencian rakyat disebabkan telah ditanam
satu perasaan oleh golongan tertentu yang akibatnya mencurigai kejayaan dan
kekayaan sesama bangsa.
Kalau hendak diceritakan satu persatu, jasa Umno terlalu banyak. Tetapi orang
Melayu perlu sedar sekiranya perasaan membenci Umno ini terus wujud dan
seterusnya menjadi satu penyakit yang tidak boleh diubati lagi, orang Melayu
akan kehilangan segala-galanya yang ada di tangan mereka.
Sementara pihak lain akan cuba mempertahankan apa yang ada disebabkan
sememangnya peraturan politik adalah begitu.
Sesuatu yang telah hilang melalui politik, maka bangsa Melayu terpaksa
menggunakan permainan politik. Justeru, permainannya amat kejam dan zalim untuk
mengembalikan apa yang telah terlepas dari tangan kita.
Jadi, kepada orang Melayu, saya mengingatkan diri saya dan seluruh orang Melayu
supaya jangan bermain api dan jangan bermain perasaan.
Kekuatan orang Melayu hanya melalui Umno. Orang lain memandang kekuatan bangsa
Melayu sekarang hanya disebabkan Umno kuat. Bila Umno lemah, maka tunggulah
saat-saat kehancuran umat Melayu di Malaysia. Sememangnya orang Melayu ramai di
seluruh dunia tetapi orang Melayu yang mampu memerintah hanya di Malaysia.
Kepada pensyarah universiti, penduduk Rumah Pangsa Taman Bukit Antarabangsa,
Pantai Dalam dan penyokong parti pembangkang, saya menyeru supaya merenung
kembali sejarah perjuangan bangsa dan tamadun bangsa.
Bila kita telah kenal sejarah bangsa, kita akan sayangkan bangsa kita.
Ingatlah apa yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu bukan untuk diri mereka
tetapi untuk dinikmati oleh anak cucu mereka. Renungkanlah kepada sejarah pahit
mana-mana bangsa. Bila isu-isu agama, tohmahan dan fitnah disebarkan tanpa
kawalan, runtuhlah bangsa.
Kita sedia maklum tidak ada kejadian yang sempurna sebab semuanya adalah
ciptaan belaka, begitu juga Umno yang tidak sunyi daripada sedikit-sebanyak
kelemahan.
Allah telah menduga Umno dengan berbagai-bagai dugaan, dari sekecil-kecilnya
sehingga sebesar-besarnya. Namun, agaknya Allah masih sayangkan Umno. Sebab
itulah segala kelemahan Umno dipertontonkan sekarang supaya ia diperbaiki.
Namun, satu hakikat yang tidak boleh ditolak ialah jika rumah ingin diperbaiki,
mestilah dilihat di mana yang perlu diperbaiki. Tetapi jika rumah ingin dibaiki
dengan cara ditumbangkan tiang serinya atau induknya, maka akan robohlah rumah
tersebut dan untuk mendirikannya semula memerlukan bukan sedikit tenaga dan
pengorbanan.
Saya yakin orang Melayu tidak ingin bangsanya menjadi pengemis di tanah air
sendiri.
Sebagai orang biasa yang tidak ada apa-apa jawatan dalam parti politik tetapi
sebagai orang Melayu yang hidup di empat zaman, 60-an, 70-an, 80-an, 90-an dan
alaf baru, saya menyeru kepada penyokong pembangkang supaya hentikanlah
menggunakan isu-isu yang boleh menjahanamkan bangsa.
Kalaupun anda terlalu membenci Umno, renungkanlah apa yang telah berlaku dan
sedarlah apa yang anda sedang lakukan sekarang sesungguhnya amat berbahaya.
Justeru ia boleh merosakkan bangsa Melayu, jangan biarkan suatu masa nanti kita
dikutuk oleh bangsa lantaran kesalahan yang dilakukan sendiri.
Sesungguhnya renungkanlah bidalan Melayu yang paling masyhur: “Sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.
Jangan dibakar kedondong bisa,
Tidak boleh dimakan dijual beli,
Jangan dicabar payung bangsa,
Kelak hilang pengganti diri.