Di
kala Umat Islam masih lagi berhadapan dengan kemelut perpecahan dan kemiskinan yang tak
berkesudahan, wanita dalam Islam masih lagi menjadi topik kegemaran bagi
sesetengah golongan masyarakat Islam. Dalam
perselisihan politik di Malaysia, wanita turut menjadi isu untuk
diperdebatkan. Di negara-negara Islam yang
konservatif, contohnya Afghanistan, pendidikan wanita masih menjadi isu dan wanita hanya
dibenarkan mendapat pendidikan sehingga usia mencecah 12 tahun. Dalam melaksanakan undang-undang di
setengah-setengah negara Islam pula, soal wanita memandu kenderaan, wanita keluar
berjalan-jalan dan wanita bekerja juga masih lagi menjadi isu untuk dibahaskan. Wanita kadangkala dibincangkan
seolah-olah mereka bukannya manusia tetapi satu benda atau sistem yang perlu ditentukan
dan dibentuk mengikut pendapat dan pandangan para peserta perbincangan. Di masa yang sama, setiap perbahasan mahupun
perdebatan itu, menegaskan pula betapa Islam memuliakan wanita.
Kejadian manusia, selain fizikal, termasuklah
pemikiran, perasaan dan minat. Faktor-faktor
ini berbeza antara setiap manusia tak mengira lelaki atau wanita. Dan setiap manusia mempunyai hak yang sama
terhadap pemikiran, perasaan dan minatnya asalkan ianya tidak bertentangan dengan
undang-undang dan tuntutan agama. Wanita,
seperti juga lelaki mempunyai pemikiran dan idea sendiri dalam menentukan kerjaya dan hala
tuju hidupnya. Sudah semestinyalah
Islam juga menghormati wanita yang berjaya, sama seperti menghormati lelaki yang berjaya. Wanita di Malaysia, dibawah
pemerintahan kerajaan UMNO dari dahulu sehingga kini, adalah amat bertuah kerana mereka
tidak pernah dibelakangkan dalam kehidupan sehari-hari selaras dengan ajaran Islam.
Kerajaan PAS di Terengganu dan Kelantan,
bagaimanapun, masih lagi serba salah mengenai kedudukan wanita mereka walaupun topik
wanita dalam Islam sentiasa menjadi topik utama malah lebih utama dari topik
pembangunan dalam Islam atau kesejahteraan rakyat dalam Islam. Bermula dari pakaian wanita, rupa
paras wanita, pekerjaan wanita sehinggalah ke jodoh ibu-ibu tunggal mereka sentiasa
menarik minat para pemimpin PAS. Kelantangan
Muslimat PAS menegur kelalaian PAS dalam soal akhlak dalam Islam dalam Muktamar PAS
baru-baru ini merupakan tamparan yang maha hebat bagi PAS.
Dengan itu, PAS bukan sahaja serba salah sekarang, malah haru biru jadinya. Dan seperti yang telah dijangka,
pemimpin PAS bangun, bukan untuk mengakui kebenaran pendapat Muslimatnya, tetapi
mempertahankan kelalaian PAS dalam soal akhlak mereka.
Tindakan Muslimat PAS itu membuktikan bahawa
wanita, tak mengira kaum, bangsa, agama atau Parti-Parti politik, semuanya mempunyai
pemikiran dan idea sendiri yang setara ataupun lebih baik dari lelaki. PAS tidak akan dapat memaksa pemikiran
Muslimatnya kerana Muslimatnya telah mendapat pendidikan yang baik dalam pemerintahan kerajaan UMNO selama ini.
Menyedari hakikat ini, PAS seharusnya menentukan
hala tuju Muslimat mereka dari sekarang. Dunia
sudah pun berganjak ke hadapan dan Malaysia telah pun berganjak dari negara pertanian ke
negara industri dan dari industri ke teknologi maklumat. Dengan itu, bukan masanya lagi
kita berbahas mengenai wanita. Sudah
sampai masanya kita menerima wanita sebagai sebahagian dari kita, manusia biasa, bukannya
golongan sekunder dalam masyarakat yang perlu diawasi serta ditentukan arah pemikiran,
kerjaya dan kehidupannya.
Di samping itu juga, wanita sendiri perlulah
mengganjakkan pemikiran mereka seiring dengan kemajuan dunia. Di alaf baru ini, wanita perlu
merenung jauh ke dalam diri mereka sendiri untuk bersaing dan terus memartabatkan maruah
mereka di mata masyarakat. Wanita
yang seringkali dikaitkan dengan keremehan seperti perhiasan, hiburan, masakan atau
fesyen, kini perlu mengatur langkah meluaskan pemikiran mereka ke arah teknologi dan
pembangunan negara tanpa perlu mengenepikan minat dan kegemaran semulajadi mereka itu. Lebih dari itu, wanita Islam di Malaysia perlu
memainkan peranan membuktikan pada dunia bahawa sesungguhnya benarlah Islam memuliakan
wanita-wanitanya dan Islam adalah agama yang saksama dan tidak menindas sesiapa.
Dalam soal memuliakan wanita, Umat Islam
seringkali terpengaruh dengan adat. Kita
tidak dapat menafikan bahawa adat Melayu meletakkan wanita sebagai golongan kedua. Bagi Melayu, lelaki perlu diutamakan
dalam apa jua segi baik di dalam majlis atau di dalam rumahtangga. Berlainan dengan adat di barat di mana
wanita diberi keutamaan di dalam majlis-majlis. Sedikit
sebanyak adat Melayu ini sebenarnya perlu dinilai semula dari segi agama. Adatlah yang mengongkong
wanita, adat juga yang menyebabkan wanita Melayu serba salah dalam melahirkan pemikiran
dan pendirian mereka, adatlah yang membelakangkan mereka, bukannya agama.
Namun begitu, bukan semua mengenai adat itu
tidak baik, cuma janganlah kita berpegang pada adat melebihi pegangan kita pada agama. Benar bahawa Allah menjadikan lelaki sebagai
pemimpin dan ketua rumahtangga. Kerana
itulah juga, seorang pemimpin dan ketua yang baik harus bijaksana dalam menilai peranan
golongan manusia yang dipimpinnya. Apatah
lagi di zaman ini, wanita sama-sama memikul tugas menyara kehidupan keluarga mereka. Walaupun di akhirat nanti, tanggungjawab itu
diletakkan di bahu lelaki, tetapi realiti di dunia kini, tanggungjawab itu telah terbahagi
hampir sama rata. Ibu, isteri dan
saudara-saudara perempuan kita bukan makhluk yang dijadikan untuk menguruskan makan, pakai
dan kehidupan kita. Mereka sebenarnya
dijadikan Allah sebagai pelengkap dan penyeri di samping memainkan peranan yang sama
dengan lelaki dalam membina ketamadunan manusia di dunia.
Sekali lagi ditegaskan bahawa wanita di Malaysia
amat bertuah kerana berada di bawah kerajaan yang benar-benar menghayati Islam. Kita tidak dapat membayangkan betapa tertekannya
wanita-wanita yang dihalang dari mendapat pendidikan, mempunyai pemikiran sendiri dan
dihalang dari melahirkan minat mereka dalam aktiviti-aktiviti tertentu. Jika PAS benar-benar menghayati Islam,
mereka sepatutnya tidak punya masalah dalam menentukan kedudukan mahupun hala tuju
Muslimat mereka. Tetapi PAS masih buntu
dan keliru antara adat dan agama. Bagi
PAS, wanita hanyalah sebagai pak turut bagi apa saja yang diputuskan oleh kaum
lelaki. Sedangkan UMNO lebih memuliakan
wanita kerana UMNO menghayati ajaran Islam yang sebenar.
Ungkapan bahawa adanya seorang wanita di sebalik kejayaan setiap lelaki perlu
difikirkan semula. Pandangan kepimpinan
UMNO mengenai wanita amatlah jelas, dengan bersandarkan kata-kata YAB Dato Seri Dr.
Mahathir Mohamad mengenai isteri beliau dalam buku Mahathir: Statesman and Leader: isteri saya tidak pernah berdiri di belakang saya, tetapi dia
sentiasa berdiri di samping saya.