Ungkapan
bahawa Islam adalah cara hidup senantiasa bermain di bibir pemimpin-pemimpin PAS
seolah-olah tiada lagi yang lebih Islam melainkan cara hidup yang dilalui oleh mereka. Mereka mengakui bahawa cara hidup Islam itu sesuai
dengan semua zaman dan Islam itu sesuai untuk semua tempat.
Bagaimanapun, tafsiran mereka tentang sesuai dan tafsiran mereka
mengenai cara hidup agak mencurigakan.
Apa yang mereka lakukan adalah cuba menyesuaikan cara hidup masyarakat Arab pada
zaman Nabi dengan dunia sekarang. Mereka juga
mentafsirkan cara hidup Islam itu sebagai undang-undang Islam semata-mata. Selain itu, jubah, serban dan tudung masih lagi
menjadi lambang cara hidup Islam bagi mereka selain dari slogan-slogan mengenai Islam.
Secara dasarnya, cara hidup Islam sudah
seharusnya merangkumi semua aspek iaitu, sosial, pendidikan, undang-undang dan sebagainya. Di masa yang sama, dalam konteks seseorang
individu pula, hidup dengan cara Islam bukan bermakna melaungkan nama agama
itu setiap hari, tetapi bermaksud setiap niat, langkah dan pertuturan haruslah
berlandaskan ajaran Islam.
Bangsa Melayu telah mewarisi Islam semenjak
zaman berzaman dan turun temurun. Dalam
tahun 50an dan 60an, Bangsa Melayu menjalani kehidupan yang agak moden atau kebaratan
lantaran pengaruh yang diserap oleh penjajah British.
Cara pemakaian barat dan juga majlis tari menari menjadi kelaziman pada waktu itu. Di penghujung tahun-tahun 70an seterusnya tahun
80an pula, kita menyaksikan sedikit demi sedikit Bangsa Melayu mengubah cara pemakaian dan
majlis-majlis dansa juga berkurangan. Kononnya,
Bangsa Melayu sedang menggunapakai cara hidup Islam.
Jika Islam diukur berdasarkan keterampilan
semata-mata, maka apakah kita menidakkan atau merendahkan keIslaman ibu bapa atau nenek
moyang kita di masa lalu? Jawapannya ialah
tidak seorang pun dari kita dapat atau berhak untuk menilai, menghukum atau mengukur
keIslaman orang lain. Samada terhadap
orang-orang sebelum kita ataupun orang-orang di sekeliling kita sekarang. Di sinilah kita patut menilai kembali
cara hidup Islam dalam ertikata yang sebenar.
Sesungguhnya kita tidak akan dapat menghayati cara hidup Islam jika kita asyik
memikirkan keIslaman orang lain sehingga kita ketinggalan dalam mengejar perubahan zaman.
Kita punya tanggungjawab untuk membuktikan
bahawa Islam itu sesuai dari zaman Kesultanan Melaka
sehinggalah ke Zaman Globalisasi.
Malaysia telah mengalami beberapa perubahan dan
peningkatan seiring dengan kemajuan dunia. Wajarlah
Umat Islam terutamanya PAS yang begitu lantang melaungkan cara hidup Islam itu, memikirkan
bagaimana untuk meletakkan diri kita sama tahap kalaupun tidak terkehadapan daripada
masyarakat bukan Islam dalam zaman yang serba canggih ini.
Setidak-tidaknya kerajaan UMNO yang tidak melaungkan slogan-slogan Islam itu, telah
bertindak untuk membuktikan kesesuaian Islam itu dengan zaman sekarang.
Di zaman kegemilangan Islam, Ulama, tidak
semestinya terdiri dari mufti-mufti atau ustaz-ustaz.
Mereka terdiri dari professor-professor, pakar-pakar dalam segala macam ilmu dunia
kerana mereka tekun menghayati tuntutan Al-Quran. Lalu
bagaimana pula Ulama di zaman ini menghayati Al-Quran dalam meletakkan Islam itu sesuai
dengan zaman? Ulama di zaman ini kalaupun
tidak menjadi pakar-pakar dalam bidang duniawi, mereka harus cuba menyesuaikan pengetahuan
dan pemikiran mereka dengan arus deras perubahan zaman.
Mereka harus mula memikirkan kedudukan Umat Islam di segi ekonomi seterusnya
persediaan Umat Islam bukan sahaja dari segi rohani tetapi juga secara realitinya dari
segi material. Seperti Islam itu
sendiri, pemikiran Ulamanya juga sudah seharusnya sesuai dengan zaman untuk memastikan
yang Umat Islam tidak terus ketinggalan.
Justeru,
kita amat ingin mendengar para Ulama pembangkang yang begitu lantang memperkatakan tentang
Islam sebagai cara hidup itu juga bercakap mengenai cara hidup Umat Islam dalam zaman
globalisasi. Kita amat ingin mendengar
Presiden PAS bercakap mengenai teknologi dan Menteri Besar yang baru mendapat takhta di
Terengganu, bercakap mengenai ekonomi dalam skop yang lebih menyeluruh. Kita juga amat ingin mendengar pendapat Tok
Guru di Kelantan mengenai aerospace, atau k-ekonomi, e-dagang atau mungkin
juga pendapat beliau mengenai sistem pertahanan dunia Islam. Untuk hidup di zaman ini, kita tidak perlukan
teguran yang bersifat peribadi terhadap individu-individu tertentu. Apa yang kita perlu dan apa yang ingin kita lihat
adalah teguran, kritikan dan pandangan mahupun bangkangan yang lebih global, bernas dan
bermanfaat demi kepentingan Islam sejagat.
Jika
benar PAS melaksanakan cara hidup Islam yang sesuai sepanjang zaman, kenapakah setelah 10
tahun memerintah, Kelantan masih ketinggalan zaman?
Negeri itu bukan sahaja ketinggalan kini, iaitu semasa kita sedang beranjak ke era
globalisasi malah telah ketinggalan semenjak kita sedang beranjak dari era pertanian ke
era industri lagi.
Ini
sudah cukup membuktikan bahawa PAS tidak layak untuk memimpin Umat Islam di zaman ini dan
cara hidup Islam ala PAS bukan hanya akan menyebabkan kita terhenti dari terus
maju tetapi juga akan menggerakkan kita ke belakang.
Islam
di zaman ini memerlukan pemimpin yang mampu membawa kita mengharungi perubahan zaman
bukannya pemimpin yang sibuk memikirkan tentang keIslaman orang lain. Umat Islam memerlukan pemimpin yang berfikiran
jauh dan tajam untuk melihat di sebalik tabir masa, dan yang dapat memahami cabaran
ekonomi, industri serta teknologi dalam proses menuju globalisasi, bagi memastikan
keselamatan mahupun ketuanan bangsa dan agama.
Maka
bersyukurlah, kerana sesungguhnya pemimpin itu telah pun berada di depan mata dan sedang
berkhidmat sebagai Perdana Menteri kita. Itulah
tanda yang Allah S.W.T masih menyayangi kita, rakyat Malaysia. Janganlah kita buta terhadap kurniaan Allah S.W.T
kepada kita kerana umat yang tidak bersyukur terhadap kurniaanNya akan hanya mengundang
bala.