UMAT
ISLAM DAN CABARAN GLOBALISASI
Isu Globalisasi
atau dunia tanpa sempadan sedang hangat dibincang dan dibahaskan di seluruh dunia. Apa yang kita faham mengenai dunia tanpa sempadan
ini adalah negara-negara lemah akan dengan mudah dilemahkan lagi kerana ketiadaan daya
saing terutamanya dalam pasaran terbuka. Umat
Islam, yang rata-ratanya mewakili bahagian dunia yang lemah harus mula memikirkan di
manakah kita dan bagaimanakah kita akan menempuh arus globalisasi ini. Reaksi yang berbagai mengenai arus ini
dapat kita saksikan di media-media massa. Ada
yang menunjuk perasaan menentangnya, ada yang beria-ia mempertahankannya, dan Malaysia di
bawah pimpinan YAB Dato Seri Dr. Mahathir Mohamad telah memilih untuk berhujah
secara diplomasi di mana-mana kesempatan yang diberikan di arena antarabangsa mengenai
keburukan globalisasi yang jelas menandingi kebaikan.
Nampaknya, hanya Malaysialah satu-satunya negara Islam yang lantang mempertahankan
kepentingan rakyatnya sekaligus rakyat di negara membangun dan miskin di seluruh dunia.
Kelantangan YAB
Perdana Menteri itu pasti sedikit sebanyak mampu menentukan arah tuju negara-negara
membangun khususnya negara Islam di masa depan. Ke
manakah arah Iran yang baru mula menerima keterbukaan, ke manakah arah Indonesia yang
bagaikan menuju kehancuran, ke manakah arah Iraq yang terpaksa menanggung kebencian
Amerika terhadap pemimpin mereka dan ke manakah arah Malaysia sebuah negara Islam yang
seolah-olah merupakan harapan untuk memberi panduan kepada negara Islam lain?
Di waktu orang
lain bergelut dengan pandangan masing-masing mengenai globalisasi, umat Islam pula masih
terpaksa bergelut dengan nama agamanya yang masih lagi dianggap sebagai punca kelemahan
serta dicemari dengan keganasan, kemiskinan, kemunduran dan kecelaruan fikiran. Semuanya kerana umat Islam sendiri seolah-olah
membuktikan yang tuduhan ini benar. Melabelkan
perjuangan ke arah kesaksamaan ekonomi, pendidikan dan segala asas keduniaan sebagai
perjuangan demi Islam atau Jihad seperti yang dilakukan oleh Abu Sayaff mahupun pejuang
Islam di Acheh, telah memberi peluang bagi musuh Islam membuktikan tuduhan mereka. Memanggil peserta demonstrasi sebagai pejuang
Islam atau menggelar negeri paling mundur di Malaysia sebagai Serambi Mekah juga menjurus
ke arah akibat yang sama. Ini membuktikan
bahawa keseluruhannya negara-negara Islam masih jauh dari bersedia untuk mengharungi arus
globalisasi
Kita tidak akan
dapat mengharungi cabaran ini dengan meneruskan Jihad untuk menubuhkan wilayah Islam
berasingan ataupun dengan melaungkan slogan-slogan Islamik semata-mata. Peperangan dan keganasan tidak akan menguatkan
kita malah akan melemahkan kita. Tafsiran kekuatan kini bukan lagi senjata. Kekuatan sebenar terletak pada keperibadian
yang mantap dan pemikiran yang betul. Tanpa
keperibadian yang teguh dan mantap, umat Islam tidak akan mampu menguatkan ekonomi bagi
menangani cabaran globalisasi.
Sedangkan tafsiran
Perang di zaman globalisasi ini pula adalah ekonomi itu
sendiri. Dengan itu, jika kita ingin berJihad atau sekadar ingin mempertahankan diri, kita
perlulah menggunakan senjata yang sesuai dengannya iaitu kebijaksanaan.
Bom-bom dan
peluru-peluru dalam peperangan ini kini dijatuhkan melalui pasaran terbuka dan satu hari
nanti ianya akan dijatuhkan melalui teknologi maklumat pula.
Justeru, kita
bertuah kerana YAB Dato Seri Dr. Mahathir telah bertindak melontar kita jauh ke
hadapan daripada negara-negara Islam lain dengan mencetus idea multimedia koridoraya. Ini sebenarnya adalah senjata untuk
kita menangkis serangan yang bakal kita hadapi.
Universiti Multimedia, di samping pusat-pusat pengajian tinggi lain ditubuhkan bagi
melahirkan perajurit-perajurit untuk memikul senjata tersebut. Manakala, golongan professional yang
sedia ada pula adalah perajurit-perajurit yang telah pun memikul senjata masing-masing.
Malaysia secara
logiknya sepatutnya sudah memulakan langkah persediaan mengharungi arus globalisasi. Tetapi, Malaysia punya masalah yang bukan kecil,
iaitu perajurit-perajurit kita masih belum memahami tugas mereka yang sebenar. Perajurit-perajurit ini bukan sahaja
tidak faham akan peranan mereka, tetapi juga tidak dapat mengenalpasti musuh sebenar
mereka. Mereka masih bergelut dengan masalah
yang sama yang dihadapi oleh kebanyakan umat Islam dan negara-negara Islam lain iaitu
pemikiran dan keperibadian yang bercelaru. Kebijaksanaan
tanpa kekuatan keperibadian juga tidak akan dapat membantu kita mengharungi cabaran ini.
Keperibadian yang
lemah inilah yang memudahkan mereka terpedaya dengan segala macam tipu helah yang
bertopengkan agama yang akhirnya akan memecahbelah dan melemahkan lagi umat Islam. Kerana
keliru, kita dapat melihat bagaimana seorang muslim yang amat mengambil berat tentang
ibadah begitu mudah mempercayai bahawa ada unsur carut dalam Al-Quran. Atau bagaimana seorang muslim yang begitu ghairah
menonjolkan keIslamannya melalui pakaian dan pelekat-pelekat kereta tiba-tiba dengan mudah
memanggil saudara seIslamnya sebagai kafir. Kita
hairan, bagaimana seorang yang begitu labuh jubahnya tetapi membiarkan jubah itu menyapu
kotoran di jalanan?
Perajurit-perajurit
ini perlu punya pengetahuan dan pemahaman supaya mereka dapat menghalakan senjata mereka
dengan tepat. Melalui pengetahuan dan
pemahaman, mereka akan punya pendapat dan
pemikiran sendiri dan tidak lagi mudah terpedaya oleh segala macam tipu helah yang boleh
memesongkan mereka dari perjuangan mereka.
Dengan memiliki pemikiran yang berasaskan pemahaman, barulah mereka dapat berdiri teguh dan megah di atas apa yang mereka perjuangkan dan
tidak lagi berdiri dengan sebelah kaki sedangkan sebelah kaki lagi bersedia untuk berlari
andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Amatlah malang
jika perajurit-perajurit ini terus menghunus senjata mereka kepada ketua mereka dan
bukannya pada musuh mereka. Akibatnya
kita bukan sahaja akan hanyut dalam arus globalisasi tetapi juga akan tenggelam dan lemas
di dalamnya.