PAS
APAKAH KESUDAHANNYA ?
Memerhatikan
perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan satu yang melucukan, menghairankan dan
menyedihkan. Parti ini yang kononnya memperjuangkan Islam telah dengan sewenang-wenangnya
membanjirkan Malaysia dengan fitnah. Sekecil-kecil
fitnah seperti menuduh YAB Perdana Menteri jatuh kuda, fitnah bahawa UMNO tidak
memperjuangkan Islam, fitnah bahawa ekonomi negara kita tidak pulih sehinggalah
sebesar-besar fitnah bahawa Allah mencarut, semuanya diterima oleh penyokong mereka tanpa
ditapis, difikir, disiasat dan disoal langsung.
Fitnah itu pula disebar tanpa rasa takut, bersalah mahupun perasaan berdosa. Dan apabila berita itu dibuktikan sebagai
fitnah semata-mata, penyokong mereka memejam mata serapat-rapatnya dan menyumbat telinga
sedalam-dalamnya sementara pemimpin mereka berhadapan dengan orang yang mereka fitnah,
berhadapan dengan dunia dan berhadapan dengan Allah lima kali sehari dengan
selamba.
Tindak
tanduk PAS dalam mencapai matlamat perjuangan mereka memang lucu kerana mereka boleh
mengubah pendirian, keputusan hatta tafsiran ayat Al-Quran sekalipun asalkan ianya memberi
kelebihan pada Parti mereka. Kelucuan
PAS jelas terserlah apabila mereka bersekongkol dengan DAP yang menentang negara Islam dan
hak keistimewaan Melayu. Begitu juga
dengan bersekongkol dengan KeAdilan yang bersusah payah mengemis simpati dari seorang
Presiden raja maksiat dan juga dari beberapa pemimpin barat. Apabila bersekongkol,
mereka-mereka ini menjadi bertambah lucu kerana mereka terpaksa berjuang menegakkan negara
Islam dengan mempertahankan perlaksanaan hukum hudud tetapi di masa yang sama terpaksa
bersetuju dengan pendirian DAP. Akhirnya,
apabila mereka memenangi pilihanraya dan berjaya memerintah Terengganu, mereka mengambil
jalan tengah dan sederhana iaitu jalan yang telah
lama diambil oleh UMNO. Hudud ke mana, negara
Islam ke mana, lesen arak tetap di situ dan ternakan babi pula yang muncul.
Kelucuan
ini tidak terhenti di situ. PAS yang
kononnya memperjuangkan Islam telah bertindak bertentangan dengan sikap seorang muslim
sejati. Kejadian mengejek dan menumbuk
penyokong dan pemimpin UMNO, mencarut dan
memaki hamun dan juga menceroboh e.mail serta
laman-laman web penyokong UMNO telah menjadikan mereka seperti badut. Betapa lucunya PAS ini sehinggakan dalam
pilihanraya yang lepas, mereka dengan bangganya memilih seorang Professor
Carut sebagai wakil rakyat di tempat mereka.
Hairan
sekali, dalam kepekakkan dan kebutaan mereka, mereka tidak bisu dan walaupun telah dapat
menambah kerusi di Dewan Rakyat, mereka memilih untuk menyebar fitnah melalui internet dan
risalah bagi menyuarakan kesalahan kerajaan.
Segala yang mereka tuduh, tak dapat diketengahkan kerana tidak ada satu bukti pun.
Bertambah
hairan lagi apabila mereka memfitnah YAB Dato Seri Dr. Mahathir bersekongkol dengan
barat. Bukan rahsia lagi yang barat begitu
membenci YAB Dato Seri Dr. Mahathir dan menyebar berbagai fitnah terhadap beliau
termasuklah satu fitnah oleh majalah Newsweek yang penulis anggap kelakar iaitu kononnya
beliau adalah anak seorang nelayan? Barat
mengecam tindakan YAB Perdana Menteri dalam menyelamatkan ekonomi negara. Barat memuji penyokong pembangkang yang
merusuh sebagai berani. Hampir seluruh
media barat bersatu dan menghentam beliau dalam isu perlucutan jawatan Timbalannya pada
2hb September 1998. Justeru, penulis
menjadi hairan apabila membaca tulisan-tulisan dalam akhbar Harakah yang begitu konsisten
dengan tulisan-tulisan dalam media barat lain yang beria-ia dan bersungguh-sungguh memupuk
kebencian terhadap YAB Dato Seri Dr. Mahathir.
Bukankah ianya menghairankan apabila sebuah Parti yang memperjuangkan Islam
tiba-tiba bersuara satu rentak, senada dan seirama dengan barat? Tulisan-tulisan mereka menggambarkan betapa
sekiranya YAB Dato Seri Dr. Mahathir
dapat ditumbangkan, maka puaslah hati mereka, sepuas hati musuh-musuh Islam di barat juga.
Sebaliknya,
YAB Perdana Menteri terus menerus menerima sokongan dari negara Islam lain yang mengkagumi
dan mengiktiraf pemikiran beliau. Bagaimana
pula seorang yang dituduh tidak cukup Islam dan kadang-kadang tidak
Islam dikagumi oleh pemimpin dan rakyat di negara Islam lain? Apakah PAS juga mengecap pemimpin dan
rakyat negara Islam tersebut sebagai tidak cukup Islam kerana menyokong YAB
Perdana Menteri?
Segala
kelucuan dan kehairanan inilah yang kemudiannya menjurus kepada kesedihan.
Kita
tidak boleh menyifatkan senario ini sebagai sekali peristiwa dalam negara yang akan
berlalu tanpa menjejaskan apa-apa. Kita
tidak seharusnya berlengah-lengah atau ragu-ragu untuk bangun menyedarkan
penyokong-penyokong PAS ini dari tidur hanya kerana tidak sanggup meninggalkan keselesaan
atau segan untuk turun padang bersemuka dengan pendapat mereka samada di dalam penulisan
atau di dalam dialog kerana dengan mengambil sikap begitu akan hanya membawa kesudahan
yang amat sedih untuk agama, bangsa dan negara kita satu hari nanti. Kita sendiri perlu bangun sebelum kita
dapat membangunkan orang lain dari tidur yang nyenyak itu.
Ada
yang mengatakan bahawa untuk memenangi satu peperangan, kita perlu berfikir dan mungkin
bertindak mengikut cara musuh kita. Ada pula
yang mengatakan kita tidak seharusnya berfikir dan bertindak seperti musuh kita tapi perlu
mencari strategi lain untuk memerangkap musuh kita.
Apa pun alasannya dan apa pun caranya, yang penting ialah kita perlu bertindak
dengan berkesan asalkan tindakan kita tidak salah di sisi agama, tidak salah di segi
undang-undang, dan cara kita itu membuahkan hasil. Kita
tidak seharusnya bertindak dengan cara yang sama jika cara itu terbukti tidak berkesan. Memetik kata seorang pakar pemikiran,
Edward de Bono, Kita tidak boleh mengharapkan
yang kita dapat menggali sebuah lubang yang lain dengan hanya menggali lubang yang sama
dengan lebih dalam.
Pendek
kata, kita perlu menentukan kesudahan perjuangan lucu PAS ini kerana ia pasti tidak lucu
lagi apabila semuanya telah musnah.