FORMULA
MENDAULATKAN ISLAM
Seperti kata YAB Perdana Menteri,
dalam kita menempuhi alaf baru ini, kita harus menoleh ke belakang sebelum menentukan arah
ke hadapan. Ini kerana laungan terhadap
negara atau wilayah Islam semakin ketara dan semakin kuat kini. Pun begitu, penindasan terhadap umat Islam
juga semakin menjadi-jadi. Semakin kuat kita
melaungkan Islam, semakin teruk penindasan terhadap Islam.
Walau apapun perjuangan kita terhadap Islam, kita haruslah berjuang dengan bijak
bukan berjuang dengan air liur semata-mata. Setiap
perjuangan harus ada formula dan strateginya. Perjuangan
seperti ini tidak dapat diselesaikan dalam jangka waktu terdekat malah ia mengambil
masa bertahun-tahun malah mungkin beratus-ratus tahun.
Dan lagi adalah tidak berbaloi
jika kita berjuang bermati-matian untuk mencapai status Negara Islam tetapi di masa yang
sama ciri-ciri keIslaman di dalam diri sendiri hilang entah ke mana. Lebih tidak berbaloi lagi jika kita berjuang
bermati-matian untuk mencapai status Negara Islam sehingga makanan dan pelajaran anak-anak
kita tidak menentu. Ini kerana tanpa
pemakanan dan pelarajan yang sempurna, walaupun anak-anak kita akan mewarisi agama Islam
tetapi mereka mungkin hanya boleh membentuk satu masyarakat Islam yang miskin dan hina di
kemudian hari. Ini adalah satu perjuangan
yang sia-sia kerana jika kita miskin dan hina bagaimana kita boleh mengembalikan
kegemilangan Islam?
Umat Islam di seluruh dunia
memang berbangga dengan sejarah kegemilangan agama Islam suatu waktu dahulu. Kegemilangan Empayar Islam suatu masa dahulu masih
terngiang-ngiang di fikiran kita semua. Kita
bangga bahawa orang Islamlah yang paling maju ketika itu.
Segala ilmu di dunia ini dimiliki oleh orang Islam.
Orang Islam menjadi Ahli Sains, Ahli Matematik, Ahli Perubatan, Ahli Arkitektur,
Ahli Perniagaan dan segala macam ahli lagi. Segalanya ini adalah fakta, namun ianya
sekarang hanyalah fakta sejarah.
Realitinya sekarang adalah Umat
Islam diketawakan, dibonekakan, ditindas dan dibunuh. Negara
Islam miskin dan mundur. Negara Islam penuh
dengan keganasan dan huru hara. Pakistan,
Bangladesh, Indonesia, malah Umat-umat Islam di Eropah Chechnya, Bosnia serta
Umat-umat Islam di negara-negara Afrika semuanya seolah-olah memberi simbol kemiskinan,
ketidakupayaan dan keganasan. Apakah yang
telah terjadi dengan kegemilangan yang kita capai suatu waktu dahulu? Di manakah
salah kita?
Perkara inilah yang perlu dikaji
oleh para pendakwah, ulama-ulama dan lain-lain cendekiawan agama. Perkara ini perlu dikaji secara menyeluruh dalam satu persatuan atau badan yang
mungkin juga boleh bertindak secara global. Kita perlu bersatu untuk memulihkan
kegemilangan Islam itu jika benar itu yang kita mahu. Namun, sebelum menangani perkara ini dalam
skop yang global, adalah terlebih dahulu kita harus melihat perkara ini dalam skop yang
lebih kecil, iaitu di negara kita sendiri.
Apa saja yang diperjuangkan harus ada perancangan,
strategi atau formula. Formula kegemilangan
Islam wajib mempunyai ramuan-ramuan seperti berikut:
1) Iman
& Kebersihan rohani seperti berbaik sangka, jujur, merendah diri, ikhlas dll yang
kemudiannya membentuk
2) Akhlak
yang baik seperti saling menghormati, menyayangi, memaafi dll akan secara automatik
memudahkan Umat Islam untuk
3) Bersatu
dan saling bantu-membantu dari segi
4) Pelajaran/ilmu
yang mana akan meningkatkan
5) Ekonomi
lalu membawa kepada
6) Kemajuan
seterusnya
KEGEMILANGAN.
Berbanding dengan negara Islam lain, Malaysia
mempunyai masalah yang agak unik kerana Malaysia sudah hampir sampai kepada tahap
ke 6 (kemajuan) dalam formula di atas tanpa melalui tahap 1 hingga 3 (kerohanian, akhlak
ilmu & bersatu). Di samping itu juga,
ramuan 4 6 (ilmu dan ekonomi) pula hanya dimasukkan dengan pertolongan masyarakat
bukan Islam di sini. Dan sudah tentulah tanpa semua ramuan-ramuan tersebut, adalah
mustahil sama sekali bagi kita untuk mencapai objektif iaitu mengembalikan kegemilangan
Islam. Dengan itu, tidak boleh tidak,
harus bermula daripada Ramuan 1.
Sebenarnya apa yang perlu adalah
keikhlasan seseorang Muslim itu sendiri dalam mengakui apa sebenarnya yang dicari dan apa
sebenarnya yang diperjuangkan. Benarkah
orang-orang yang melaung-laung memperjuangkan negara Islam itu sebenarnya benar-benar
ingin mendaulatkan Islam? Benarkah
orang-orang yang melaung-laungkan Islam itu benar-benar menyangka bahawa dengan melabelkan
negara kita negara Islam lengkap dengan perundangan-perundangan Islam, maka mereka secara
automatik akan dinaikkan darjat di sisi Allah seterusnya Islam dapat didaulatkan semula?
Darjat seseorang
Muslim di sisi Allah bergantung pada imannya dan akhlaknya iaitu dua ramuan asas untuk
mengembalikan kegemilangan Islam. Darjat
seseorang Muslim sama sekali tidak bergantung kepada undang-undang, negara, kerajaan atau
Perdana Menteri. Undang-undang negara
tidak dihitung sebagi amalan di akhirat nanti, jadi jangan mengharapkan kerajaan atau
Perdana Menteri untuk menolong memasukkan ramuan-ramuan 1 3 di dalam formula di
atas ke dalam diri kita kerana tidak ada kerajaan di dunia yang bertanggungjawab terhadap
Iman rakyatnya. Seorang Muslim boleh menjadi
Muslim yang sebenar di mana-mana saja dia berada. Sedangkan di zaman permulaan Islam, ketika umat Islam dihalang dari bertakwa kepada
Allah, masih ramai yang menjadi Muslim sejati - apatah lagi di zaman ini di mana tidak ada
sesiapa pun yang menghalang kita dari beribadat kepada Allah malah diberi
kemudahan-kemudahan pula.
Kesimpulannya, jika
kita menyedari hakikat ramuan 1 3 di atas, barulah kita akan dapat melangkah di
jalan yang betul untuk meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam.
Di Malaysia,
rata-rata yang melaung-laungkan Islam itu tanpa segan silu menonjolkan sifat riak dan
sombong iaitu salah satu simptom penyakit rohani. Sedangkan kebersihan rohani adalah
ramuan asas dalam perjuangan mendaulatkan Islam. Lalu bagaimana kita dapat mencapai
matlamat perjuangan sedangkan asasnya saja sudah tidak ada.
Apabila sudah terlalu riak maka timbullah sifat memperlecehkan orang lain
kemudiannya menyalahkan orang lain lalu terjadilah perpecahan di kalangan Umat Islam. Maka semakin jauhlah kita dari objektif
perjuangan kita.
Inilah keunikan
masalah di Malaysia dan betapa uniknya masalah ini sehingga seorang yang
mengagung-agungkan mencarut juga dilantik sebagai wakil rakyat oleh orang-orang yang kononnya
memperjuangkan Islam. Inilah bukti
betapa akhlak dan kebersihan rohani tidak diambil berat oleh mereka.
Rasanya sudah sampai
masanya golongan yang mengaku memperjuangkan Islam tadi berhenti dari mempertikaikan iman
dan keislaman orang lain. Berhentilah dari
melihat didalam diri orang lain dan sedarlah
bahawa kita semua adalah manusia biasa dan tidak mempunyai hak untuk menilai iman manusia
lain. Sekali-sekala kita perlu merendah diri
dan melihat diri sendiri kalau-kalau terlanjur.
Iman orang lain adalah antara mereka dengan Allah bukan mereka dengan kerajaan atau
kerajaan dengan Allah. Selagi kita
tidak merasa bahawa kebersihan rohani dan akhlak itu adalah tanggungjawab kita dan
meletakkan segala-galanya atas bahu kerajaan maka selagi itulah kita tidak dapat bersatu. Dan selagi kita tidak bersatu selagi itulah kita
tidak dapat mendaulatkan bangsa dan agama kita.
Tak perlulah berteriak tentang negara Islam
sedangkan di dalam hati penuh dengan riak, takbur, amarah, benci, dengki dan iri hati. Ini kerana melabelkan negara kita sebagai Negara
Islam tidak akan memberi kesan terhadap darjat kita di sisi Allah tetapi sebaliknya darjat
kita di sisi Allah S.W.T mungkin terjejas jika kita mempunyai penyakit-penyakit hati
sedemikian.
Jadi janganlah kita beria-ia ingin melihat
keindahan di sebalik bintang sedangkan selut terpalit di belakang lengan pun kita tak
tahu. Periksa diri masing-masing dahulu
barulah kita dapat meneruskan perjuangan dengan melalui jalan yang betul.