KEMAMPUAN NIK AZIZ MEMBERI FATWA
Saya ingin berbalik
kepada persoalan tentang kemampuan Nik Aziz untuk memberi fatwa. Adakah beliau menguasai dengan mendalam
ilmu-ilmu yang berkaitan dengan fatwa dan
ijtihad seperti ilmu fiqh, usul
al-fiqh, qawa'id al-fiqh, maqaasid al syariah dan seterusnya, yang mana ia
dipelajari secara mendalam dalam jurusan Syariah
dengan pengkhususan dalam ilmu usul
al-fiqh. Menurut al-Syaukani, ilmu usul
al-fiqh merupakan tiang seri kepada ijtihad dan menjadi asas untuk tegak
segala sendinya. Al-Fakh al-Razi menegaskan: "Sesungguhnya ilmu yang paling
penting bagi seseorang yang ingin berijtihad ialah ilmu usul al-fiqh". Pandangan
yang sama juga dikemukakan oleh Imam Ghazali: "Sesungguhnya pengetahuan
yang paling penting dalam berijtihad mengandungi tiga cabang ilmu, iaitu Hadis, Bahasa Arab, dan usul al-fiqh" (lihat al-Syaukani,
Irsyad al-Fuhul). Persoalan
pengkhususan tidak boleh dipandang ringan dalam berurusan dengan hukum
Allah. Ini kerana terdapat peringatan
yang agak berat daripada Rasulullah melalui sebuah Hadis yang bermaksud: "Sesiapa
yang memberi fatwa tanpa ilmu yang mencukupi, ia akan dilaknat oleh Malaikat di
langit dan di bumi" (Ibnu
'Asakir).
Kenyataan kedua oleh
Haji Nik Aziz yang boleh mengelirukan jika tidak diberi penjelasan ialah
tentang keharusan berkawan dengan syaitan untuk mencapai matlamat perjuangan
Islam. Ini
ialah memandangkan Quran dan Sunnah dengan jelas dan tegas memerintahkan umat
Islam supaya menjadikan syaitan sebagai musuh mereka yang paling utama tanpa
sebarang kompromi. Kerana syaitan itu
sendiri merupakan punca kejahatan yang tidak boleh diharapkan apa-apa kebaikan
daripadanya pada bila-bila masa dan keadaan sekalipun, seperti yang ditegaskan
dalam firmannya yang bermaksud: "Sesungguhnya laknat
itu tetap menimpamu (iblis) sampai hari kiamat" (Thoha. 35). Menurut Ibnu al-Qayyim: "Sesiapa yang meneliti Quran dan
Sunnah akan mendapati kedua-duanya memberi penekanan yang lebih banyak dalam
memperingatkan manusia tentang tipu helah syaitan dan keperluan memeranginya,
berbanding dengan peringatan tentang bahaya nafsu" (Ighathah al-Lahfan, jld. 1).
Ibnu Kathir, ketika mengulas ayat yang memerintahkan umat Islam berbuat
baik terhadap manusia yang bermusuh dengan mereka (Fushshilat: 34), beliau menyatakan: "Allah memerintahkan umat
Islam supaya berdamai dengan musuh yang terdiri daripada manusia serta berbuat
baik kepada mereka; supaya dengan itu permusuhan dapat dijernihkan disebabkan
terdapat asas kebaikan dalam diri setiap manusia. Tetapi Allah memerintahkan supaya mereka memohon perlindungan
daripada syaitan, kerana permusuhannya dengan manusia bersifat total dan tidak
ada sebarang kemungkinan untuk berdamai dan berbaik-baik lagi. Ini ialah memandangkan seluruh usaha syaitan
ditumpukkan untuk membinasakan anak Adam disebabkan permusuhan yang sangat
ketat antaranya dengan bapa mereka Adam sebelum ini" (Tafsir al-Quran al-'Azim, jld. 1).
Apa yang disebutkan
oleh Ibnu Kathir ini dapat disaksikan dalam banyak ayat Quran, antaranya firman
yang bermaksud: "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu,
maka jadikanlah dia sebagai musuh; kerana sesungguhnya syaitan itu hanya
menyeru puaknya supaya mereka menjadi penghulu neraka sa'ir" (Faathir: 6). Menurut AI-Quran, hanya orang yang tidak
beriman sahaja yang menjadikan syaitan sebagai pembantunya, seperti yang
dinyatakan dalam surah al-A'raaf ayat yang bermaksud: "Sesungguhnya kami jadikan syaitan itu sebagai pembantu-pembantu
kepada orang-orang yang tidak beriman". AI-Quran seterusnya menegaskan bahawa orang-orang
yang menjadikan syaitan sebagai kawan tidak akan mendapat apa-apa kecuali
kerugian di dunia dan di akhirat: "Dan sesiapa yang
menjadikan syaitan sebagai penolong selain Allah, maka sesungguhnya ia
menderita kerugian yang nyata" (Maksud ayat 119 surah Annisaa').
Jadi persoalan
syaitan sebagai musuh utama umat Islam dan tidak boleh dijadikan kawan atau
pembantu dalam mencapai cita-cita perjuangan Islam adalah merupakan perkara yang
qat'ei (tidak terdapat perbezaan
pandangan atau tafsiran mengenainya). la termasuk dalam hukum yang
dikategorikan oleh ulama sebagai "al-ma'lum
min al-din bi al-dharurah" (hukum yang diijmak oleh ulama dan dapat
diketahui dengan mudah tanpa perlu kajian yang mendalam). Hukum seperti ini tidak boleh dipermainkan;
kerana mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran. Oleh itu sebarang bentuk kenyataan yang boleh menampakkan
percanggahan dengan keterangan Quran yang jelas dan qatei ini boleh menimbulkan kekeliruan dikalangan orang ramai, memandangkan
ia menyentuh persoalan akidah yang tidak boleh ada sebarang ijtihad lagi mengenainya.
Mudah-mudahan dengan
penjelasan ini saya berharap telah dapat melaksanakan tanggungjawab
menyampaikan apa yang perlu disampaikan.
Bagi pihak orang ramai pula, mereka berpeluang meneliti manakah
pandangan yang benar dan menyakinkan untuk dijadikan pegangan dan amalan, yang
mana mereka akan bertanggungjawab di hadapan Allah kelak terhadap pegangan
tersebut secara bersendirian - bukan secara berparti. Wallahu A'Iam.
Wan Zahidi Wan Teh