TAATI PEMERINTAH
AI-Qurtubi ketika
mentafsirkan perkataan 'ulilamri' dalam ayat 59 surah Annisa' yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah
dan taatilah Rasulnya, dan 'ulilamri' di
antara kamu", beliau menyatakan: "Yakni golongan
yang memerintah mengikut pendapat Jumhur (bilangan terbesar dikalangan ulama),
Abu Hurairah, Ibnu Abbas dan lain-lain" (lihat al-Jaami' Liahkaam al-Quran).
Imam Ahmad Bin Hambal berkata: "Sesiapa yang memegang jawatan
ketua pemerintah yang mana sebahagian besar umat telah menyokong dan
mempersetujuinya, maka ia adalah sah sebagai Ketua Negara. Ibnu Malik al-Qattan menyebut satu riwayat
dari Imam Ahmad katanya: "Sesiapa yang memperolehi kuasa walaupun dengan
menggunakan kekuatan Ialu ia berjaya memegang tampuk pemerintahan, maka ia sah
sebagai pemerintah umat Islam. Oleh itu
tidak halal bagi orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat tidak
mengiktirafnya sebagai pemerintah walaupun dalam tempoh semalam, samada ia orang
baik atau orang fasik, ia tetap sebagai pemerintah umat Islam" (lihat Abu Ya'la, alAhkaam al-Sultaniyyah).
AI-Zarqani dalam
kitabnya Syarh al-Muwatta' menyebut
pendapat Imam Malik yang juga merupakan pendapat Jumhur Ahlussunnah: "Walaupun terdapat tindakan yang dianggap zalim
oleh Ketua Negara, maka dalam keadaan demikian pun, kesetiaan lebih diutamakan
daripada penentangan terbuka; kerana ia boleh menggugat keamanan, menyebabkan
pertumpahan darah, serang menyerang yang akan menimbulkan kerosakan yang lebih
besar". Dr. Yahya Ismail dalam bukunya
"Manhaj al-Sunnah Fi al-Alaqa Baina
al-Hakim wa al-Mahkum" (sebuah tesis PhD yang dikemukakan kepada
Universiti al- Azhar) ketika
menyokong pendapat ulama mujtahid di atas berkata :"Tindakan yang dianggap
zalim oleh pemerintah terhadap mana-mana individu tidak mengharuskan
penentangan terbuka serta tuntutan memecat mereka. Ini ialah kerana mengutamakan kepentingan perpaduan umat daripada
hak individu sepertimana yang disebutkan oleh Iman Nawawi".
Pandangan para ulama
di atas diasaskan kepada Hadis-Hadis soheh yang menyatakan pentingnya kedudukan
pemerintah sebagai benteng pertahanan ummah daripada ancaman musuh dan
penjenayah. Imam Ahmad meriwayatkan
sebuah Hadis yang bermaksud :"Akan wujud selepas aku
pemerintah-pemerintah; maka hendaklah kamu tunaikan hak ketaatan kepada mereka,
kerana pemerintah adalah laksana perisai yang dengannya umat mendapat
perlindungan. Jika mereka menjalankan
urusan pemerintahan dengan baik, maka kamu dan mereka mendapat faedah daripadanya;
tetapi jika mereka melakukan perkara yang buruk, maka keburukkan itu ditanggung
oleh mereka, dan kamu terselamat daripadanya". Memandangkan kedudukan pemerintah yang
begitu penting dalam menjaga kepentingan agama dan umat, maka umat Islam
dilarang keras menghina dan mengancam kedudukan mereka. Imam Tirmizi, Ahmad dan al-Tobarani
meriwayatkan sebuah Hadis daripada Abi Bakarah yang bermaksud: "Pemerintah
adalah perlindungan Allah (Zillullah) di muka bumi; maka barangsiapa yang
memuliakan kuasa Allah (Sultanullah) Ta'ala di dunia, Allah akan memuliakannya
di akhirat. Dan sesiapa yang menghina
kuasa Allah Azzawajalla di dunia, Allah akan hinakan dia pada hari kiamat"
(Hadis ini menamakan kuasa yang ada pada pemerintah sebagai "Kuasa
Allah", kerana melaluinya kejahatan dapat dicegah, seperti yang dinyatakan
dalam sebuah Hadis yang bermaksud "Allah mencegah kejahatan dengan
kuasa (kuasa pemerintah) apa yang tidak dapat dicegah dengan Quran"
(lihat al-Mawardi, Adab alDunya Wa
al-Din).
Dr. Yahya Ismail
mengkategorikan sebagai dosa besar perbuatan memaki dan mengumpat pemerintah,
berasaskan sabda Nabi yang bermaksud: "Jika kamu berada di bawah
pemerintah-pemerintah yang menyuruh kamu mengerjakan sembahyang, berzakat dan
berjihad, maka haram ke atas kamu memaki mereka dan halal bagi kamu mengikut
mereka" (alTobarani dan Abu
Daud). Sementara al-Baihaqi pula meriwayatkan
sebuah Hadis yang bermaksud: "Janganlah kamu memaki pemerintah, kerana
ia adalah sebagai perlindungan Allah di buminya". Imam Ahmad meriwayatkan sebuah Hadis yang
bermaksud: "Sesungguhnya akan ada selepas aku pemerintah, maka
janganlah kamu menghinanya: kerana barang siapa menghina pemerintah maka
sesungguhnya ia telah menanggalkan kalungan Islam daripada tengkoknya, dan
taubatnya tidak diterima hingga ia menampal kecacatannya itu (memperbetulkan
kesalahannya)". Menurut beliau
lagi kedudukan golongan pemerintah yang penting ini tidaklah menghalang
tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran terhadap mereka,
namun ia hendaklah dilakukan secara yang lembut dan bukannya dengan cara yang
kasar ataupun menggunakan kata-kata yang kesat dan bersifat menyerang. Ini ialah berpandukan sabda Rasulullah
S.A.W. yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa
berkenaan sesuatu perkara, maka janganlah ia lakukan secara terang-terangan:
tetapi hendaklah ia sampaikan nasihat tersebut secara rahsia. Jika nasihat itu diterima, maka itulah yang
sebaik-baiknya. Tetapi jika tidak
diterima, maka ia (pemberi nasihat) telah melaksanakan kewajipan yang
tertanggung ke atasnya" (Imam
Ahmad).
Adalah jelas di sini
bahawa setiap kewajipan syarak mestilah dilaksanakan dengan cara dan kaedah
yang ditetapkan. Contohnya, dalam
mengerjakan ibadat, kita bukan sahaja wajib menunaikannya dengan ikhlas, tetapi
juga dengan cara dan kaifiat yang betul.
Sembahyang tanpa menyempurnakan rukun dan syarat umpamanya, bukan sahaja
tidak sah, tetapi juga merupakan satu dosa walaupun ia dilakukan dengan
ikhlas. Kalau seseorang itu ingin
berdakwah, maka ia perlu mengikut contoh yang ditunjukkan oleh para Ambia'
Alaihimussalam. Sewaktu Nabi Musa dan
Harun Alaihimussalam diperintahkan menghadap Firaun, Allah berfirman kepada
kedua-duanya: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun,
sesungguhnya la telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya
dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (maksud ayat 43 - 44 surah Thoha). Ketika mengutus
surat kepada Raja Rom Hercules, Rasulullah S.A.W. merujukkannya dengan
panggilan "Azim al-Rum" (Pembesar Rom). Dalam surat baginda kepada Yahudi Khaibar, mereka dirujukkan
dengan panggilan "Sohaib Musa Wa
Akhihi" (Sahabat Musa dan Saudaranya).
Inilah sebenarnya akhlak Islam yang dibawa oleh para Ambia' Alaihimussalam, dan akhlak beginilah yang sepatutnya diajar oleh ulama sebagai pewaris Nabi-nabi. Dalam hubungan ini, satu hakikat yang tidak seharusnya dilupakan ialah: Walau sehebat mana sekalipun seorang ulama atau pendakwah itu, yang pasti ia tentunya tidaklah lebih baik daripada para Rasul, dan sasaran dakwah mereka pula bukanlah lebih jahat daripada Firaun. Perlu juga diperingat di sini bahawa kata-kata seperti: Karya ini hanya sebuah cerita rekaan dan tidak ditujukan kepada sesiapa; baik yang hidup mahupun yang sudah mati hanya boleh menggelak daripada tindakan manusia, tetapi tidak boleh menyelamatkan diri daripada hukum Allah; kerana Dia Maha Mengetahui niat dan tujuan seseorang, dan Malaikat yang merekodkan amalan juga mengetahui isi hati kita.