KESILAPAN NIK AZIZ - ISU CARUT
Pada pandangan saya, kesilapan
pertama yang dilakukan oleh Haji Nik Aziz ialah beliau berijtihad di tempat
yang ada nas. Ini menyalahi manhaj
ijtihad yang disepakati oleh para ulama.
Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menyatakan: "Tidak boleh berijtihad
apabila terdapat Sunnah Rasulullah S.A.W.
Menurut Imam Syafiei: "Seluruh ulama telah ijma'(sepakat)
mengatakan bahawa apabila terdapat Sunnah
yang jelas daripada Rasulullah S.A.W., maka tidak harus sesiapa
meninggalkan beramal dengan Sunnah tersebut
untuk mengambil pendapat orang lain" (lihat
Ibnu al-Qayyim, I'laam al-Muwaqqi'in jld. 4).
Kesilapan kedua ialah: Cara istidlal atau
berdalil yang beliau gunakan tidak mengikut mana-mana kaedah yang diterima oleh
para ulama mujtahid seperti yang terdapat dalam ilmu Usul alFiqh. Umat Islam
dilarang menggunakan fikiran semata-mata tanpa mengikut kaedah yang sah dalam
soal pengambilan hukum seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah dalam sebuah
Hadis yang bermaksud: "Umatku akan berpecah kepada lebih daripada tujuh
puluh puak; yang paling besar kerosakannya ialah golongan yang memakai kias
dalam menentukan agama dengan menggunakan fikiran mereka semata-mata. Melaluinya mereka mengharamkan apa yang
dihalalkan oleh Allah, dan menghalalkan apa yang diharamkan olehnya". Saidina Umar Bin al-Khattab berkata:
"Sesungguhnya mereka yang menggunakan fikiran semata-mata (dalam
menentukan hukum-hukum agama) merupakan musuh pada Sunnah. Mereka tidak mengetahui Hadis-Hadis dan
tidak pula mengingatinya, Ialu mereka mengeluarkan pendapat dalam hukum agama
dengan fikiran semata-mata" (Ibid, jld. 1).
Dalam menyokong
fatwanya bahawa:"Islam tidak melarang umatnya mencarut asalkan kena pada
tempatnya", beliau berhujah: "Allah sendiri gunakan perkataan memaki,
mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang mengunakan maki hamun,
tetapi terserahlah kepada manusia dimana tempatnya"(Utusan Malaysia, Rabu 28 April 1999). Ada beberapa pemerhatian yang ingin saya
bangkitkan mengenai hujah tersebut. Pertamanya,
kita Umat Islam diperintahkan mengikut apa yang disuruh dan menjauhi apa yang
dilarang oleh Allah S.W.T.; bukan melakukan apa yang Allah lakukan. Dalil
mengenainya terlalu banyak sama ada dalam Quran mahupun Sunnah dan diketahui
umum. Sebelum ini saya telah memetik nas-nas yang jelas daripada Quran dan
Sunnah yang melarang umat Islam memaki, mencarut dan mengucapkan kata-kata yang
kotor.
Pemerhatian saya yang
kedua ialah mengenai kaedah yang beliau gunakan,
iaitu "manusia boleh melakukan apa yang Allah lakukan". Apa yang disebutkan itu tidak terdapat dalam
kaedah-kaedah pengambilan hukum yang digunakan oleh para mujtahid. Menggunakan kaedah seperti ini boleh
menjerumuskan seseorang ke lembah dosa besar, malah boleh membawa kepada syirik. Misalnya, dalam Quran Allah bersumpah dengan
makhluk, seperti: "Demi masa", "Demi waktu fajar",
"Demi matahari" dan sebagainya; sedangkan manusia dilarang bersumpah
dengan mahkluk, malah ianya termasuk dalam dosa besar seperti yang dinyatakan
dalam Sabda Nabi yang bermaksud: "Barang siapa bersumpah dengan yang
lain daripada Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan perbuatan kufur dan
syirik"(al-Tirmizi). AlQuran
menerangkan bahawa: Allah menghalal dan mengharamkan sesuatu; menyembuhkan
penyakit; memberi pemerintahan kepada orang yang dikehendakinya; memberi
hidayat kepada orang yang dikehendakinya; memasukkan orang dikehendakinya ke
dalam syurga atau ke dalam neraka dan seterusnya. Apakah manusia juga boleh melakukan perkara-perkara di atas
kerana Allah boleh melakukannya? Tidakkah
ini syirik namanya?
Dalam mempertahankan
fatwanya, Haji Nik Aziz membawa sebuah Hadis yang bermaksud: "Berakhlaklah
kamu dengan akhlak Allah".
Penggunaan Hadis ini memperlihatkan bahawa fatwa telah dikeluarkan
terlebih dahulu sebelum mencari dalilnya.
Ini ialah kerana Hadis yang disebutkan itu bukan sahaja tidak
menunjukkan keharusan mencarut, malah penggunaannya tanpa kefahaman yang betul
boleh membawa satu kesalahan lain yang lebih besar. Hadis di atas perlu difahami bersama dengan sebuah Hadis lain
yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mempunyai seratus tujuh belas
akhlak (sifat); sesiapa yang berakhlak dengan salah satu daripadanya, ia akan
masuk syurga" (al-Baihaki dan
al-Tirmizi). Imam Ghazali dalam
kitabnya "al-Maqsid al-Asna Fi Syarh
al-Asma' al-Husna" telah membuat huraian yang agak panjang tentang
maksud kedua-dua Hadis ini, kerana kesalah fahaman tentang pengertiannya boleh
membawa kepada syirik.
Menurut al-Ghali,
maksud daripada Hadis di atas ialah: seseorang hamba itu hendaklah berusaha
menghayati makna yang sesuai dengan makhluk daripada makna sifat-sifat Allah (al-Asma' al-Husna) supaya dengan itu ia
dapat mencapai mertabat 'rabbaniy', yakni hampir dengan Allah. Misalnya, penghayatan seseorang hamba
daripada sifat "Arrahim" ialah kasih sayang dan belas kasihan
terhadap sesama makhluk. Oleh itu Hadis di atas sama sekali tidak boleh
dijadikan dalil bagi keharusan mencarut atau memaki, kerana ini membawa makna
bahawa antara akhlak atau sifat Allah itu ialah "Pencarut" dan "Pemaki"
(Maha Suci Allah daripada sifat-sifat kekurangan yang tidak layak dengan
keagungan, kebesaran dan kesempurnaanNya).
Seperkara lagi yang menimbulkan kemusykilan ialah Haji Nik Aziz tidak
menjelaskan tempat dan keadaan bagaimanakah seseorang itu diharuskan mencarut.
Perkara ini perlu dijelaskan dan tidak boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja
menentukannya, kerana ia adalah masalah hukum syarak. Imam Ghazali ketika
membicarakan mengenai hukum berdusta menjelaskan keadaan di mana seseorang itu
harus berdusta dengan dalilnya sekali (lihat
al-Ehya' jld. 3).
Oleh kerana fatwa beliau timbul daripada soalan tentang novel yang ditulis oleh Shannon Ahmad, dan novel tersebut jelas membicarakan suasana politik semasa; bolehkah kita mengatakan bahawa kata-kata maki hamun dan carut yang terdapat dalam novel tersebut ditujukan kepada golongan pemerintah yang ada pada hari ini ? Dan inikah tempat yang dikatakan mencarut dan memaki itu harus dalam Islam ? Maka bagi menguji kebenaran fatwa Haji Nik Aziz ini, kita perlu merujuk kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama berasaskan Quran dan Sunnah dan mereka pula tidak terlibat dalam pertikaian politik semasa serta tidak juga menjadi pemimpin mana-mana parti politik.