MALU
Antara sifat yang
sangat dipertahankan oleh Islam ia mempunyai kaitan yang rapat dengan iman,
ialah sifat malu. Orang yang suka
menggunakan perkataan yang lucah dan keji mencerminkan ketandusan sifat
tersebut dalam dirinya. Sabda Nabi
S.A.W. (maksudnya): "Malu itu sebahagian daripada iman, dan iman itu
dalam syurga; manakala kelucahan adalah daripada perangai yang kasar
(al-jafa'), dan perangai yang kasar itu dalam neraka" (al-Bukhari dan al-Baihaqi). Memandangkan pentingnya menjaga lidah
daripada menuturkan kata-kata yang keji, kerana ia mempunyai kaitan yang rapat
dengan iman, Rasulullah melarang umatnya memaki sekalipun terhadap syaitan. Abu
al-Malih menceritakan daripada seorang Sahabat
katanya: Satu ketika aku menaiki kuda bersama Rasulullah S.A.W.; tiba-tiba
kudanya tergelincir, Ialu aku berkata: "Celaka syaitan". Rasulullah S.A.W. bersabda: "Jangan
kamu berkata: Celaka syaitan; kerana jika kamu berkata begitu syaitan akan
membesar hingga menjadi sebesar rumah.
Sebaliknya katakanlah: Bismillah; jika kamu berkata demikian syaitan
akan mengecil hingga menjadi sebesar Ialat" (Abu Daud). Dalam sebuah
Hadis yang lain Rasulullah bersabda: "Janganlah kamu maki syaitan,
tetapi hendaklah kamu mohon perlindungan Allah daripada kejahatannya" (lihat al-Suyuti, al-Jaami' al-Soghir).
Daripada nas-nas yang dipaparkan di atas jelas menunjukkan bahawa memaki dan mengucapkan kata-kata yang kotor dan lucah adalah perbuatan yang sangat dilarang dalam Islam. Dan saya berpendapat apa yang dipaparkan itu sudah memadai bagi mereka yang ingin mencari kebenaran semata-mata untuk menentukan pendiriannya.