ULAMA DAN
FATWA
Saya selamanya berpendirian bahawa perkara yang membabitkan hukum Islam hendaklah terlebih dahulu dibahaskan dikalangan mereka yang ahli tentangnya untuk diambil kata sepakat sebelum dihebahkan untuk pengetahuan umum. Ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan orang ramai disebabkan percanggahan pendapat di kalangan ahli agama dalam memperjelaskan hukum bagi masalah-masalah yang berbangkit. Namun perkembangan akhir-akhir ini memperlihatkan kepada kita bahawa bagi sesetengah pihak, kepentingan parti dan keghairahan membela kumpulan sendiri semacam telah menenggelamkan perkiraan-perkiraan tentang kepentingan umum dan keperluan memelihara kemurnian hukum Islam serta menjaga martabat dan maruah umat khususnya di kalangan orang bukan Islam.
Dengan
perkembangan ini, perbahasan secara terbuka isu-isu tentang masalah hukum yang
berbangkit menjadi satu keperluan yang tidak dapat dielakkan supaya masyarakat
dapat membuat penilaian manakah hukum yang berpandukan Quran dan Sunnah seperti
yang difahami oleh para ulama yang muktabar, dan hukum yang dipengaruhi oleh
fahaman politik tertentu.
Persoalan
halal dan haram adalah perkara yang sangat besar kedudukannya dalam Islam,
kerana ia merupakan salah satu daripada tugas-tugas utama para Rasul S.A.W. :
"
Orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati
tertulis didalam Taurat dan Injil yang ada disisi mereka, yang menyuruh mereka
mengerjakan yang ma'ruf dan melarang mereka mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang
baik dan mengharamkan bagi mereka
segala yang buruk........ (Maksud ayat 157 Surah
Al-A'raf)."
Dalam
kehidupan muslim ia merupakan kewajipan yang membabitkan aspek kepercayaan dan
amalan. Seseorang muslim wajib
mempercayai setiap hukum yang ditentukan oleh Allah, seperti mempercayai wajib
perkara yang diwajibkan dan haram perkara yang dlharamkan. Kemudian ia wajib beramal dengan hukum
tersebut, iaitu melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram
umpamanya.
Menurut
Ibnu al-Qayyim, memperkatakan tentang
halal dan haram tanpa ilmu yang mencukupi dan tanpa dalil merupakan dosa yang
paling besar seperti yang dapat difahami daripada firmannya yang
bermaksud:
"Dan
janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut oleh lidah kamu secara
dusta, ini 'halal dan ini haram,' untuk kamu mengada-adakan pembohongan terhadap
Allah. Sesungguhnya orang-orang
yang ada-adakan pembohongan terhadap Allah tidaklah akan beroleh kejayaan" (An-Nahl :116).
Di
dalam Sunnah juga terdapat banyak
Hadis yang memberi amaran berat terhadap mereka yang memberi fatwa tanpa
kelayakan, antaranya Hadis-Hadis berikut yang bermaksud: " Sesiapa yang
bercakap tentang hukum Quran tanpa ilmu, maka hendaklah ia bersedia mengambil
tempatnya dalam neraka" (AI-Tirmizi).
"Orang
yang paling berani memberi fatwa dikalangan kamu, bermakna ia paling berani
mengharung api neraka" (AlDarami).
Berdasarkan
peringatan-peringatan diatas, para ulama salaf amat takut dan sangat berhati-hati
dalam memberi fatwa. Apabila timbul
sebarang kemusykilan tentang hukum, para Khulafa' Rasyidin mengumpul
Sahabat-Sahabat yang alim bagi mendapatkan pandangan mereka sekalipun
Khalifah-Khalifah itu sendiri merupakan ulama besar. Ata' Bin Al-Saib menyatakan: " Aku
menemui ramai daripada kalangan para sahabat; apabila salah seorang daripada
mereka ditanya mengenai sesuatu masalah hukum, badannya kelihatan menggeletar
ketika memberi jawapan". Al-Qasim Bin Muhammad, salah seorang
daripada tujuh orang ulama terkemuka di Madinah daripada kalangan Tabi'in,
ketika ditanya tentang suatu masalah hukum, beliau inenjawab: " Aku tidak
tahu. Janganlah kamu lihat kepada
panjangnya janggut aku dan ramainya orang disekeliling aku, demi Allah aku tidak
tahu". Imam Malik berkata: " Sesiapa yang
ditanya tentang suatu masalah hukum, sebelum memberi jawapan ia perlulah
terlebih dahulu mengingatkan dirinya bahawa fatwanya itu akan menentukan
nasibnya samada ke syurga atau ke neraka".
Memandangkan
pentingnya kedudukan fatwa dalam Islam, maka para ulama membincangkan persiapan
yang perlu ada pada orang yang ingin berijtihad dan memberi fatwa. Daripada huraian yang dibuat oleh
imam-imam mujtahid seperti Syafiei,
Malik, Ahmad dan lain-lain, Dr Yusof
Qaradawi merumuskan seperti berikut: Tidak harus memberi fatwa bagi mereka
yang tidak mahir dalam ilmu Usul Fiqh;
tentang qias dan illatnya, dan bila qias boleh digunakan. Begitu juga tidak harus memberi fatwa
mereka yang tidak mengkaji pendapat-pendapat ulama dalam kitab-kitab mereka,
dalil-dalil yang digunakan serta masalah-masalah yang terhadap persepakatan dan
perbezaan pandangan mereka (Dr Yusof
al-Qaradawi, al-Fatwa).
Dalam
pengajian Syariah, ilmu yang khusus
membicarakan tentang kaedah berijtihad bagi mengeluarkan hukum daripada Quran
dan Sunnah serta dalil-dalil yang lain dikenali dengan ilmu Usul al-Fiqh. Imam Syafi'ei yang begitu alim
tentang Quran dan Sunnah serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bahasa Arab
dan kesusasteraannya, memerlukan kaedah tertentu untuk
berijtihad.
Beliau
telah berusaha mengkaji dan merumuskan kaedah-kaedah yang perlu digunakan dalam
berijtihad dan dimuatkan dalam kitabnya al-Risalah. Menurut Imam Syafiei, "Tidak halal bagi
seseorang memberi fatwa dalam agama Allah melainkan mereka yang arif tentang
ilmu al Quran; tentang ayat nasikh dan mansukh, arif tentang al-Hadis, serta mempunyai pengetahuan
yang mendalam dalam bahasa Arab dan kesusasteraannya. Kemudian ia mengetahui pula hukum-hukum
yang telah dibahaskan oleh para ulama"(lihat Ibnu alQayyim, I'laam al
Muwqqi'in).
Setelah mengetahui persyaratan yang perlu ada pada orang yang memberi fatwa seperti yang disebutkan oleh para ulama diatas, adalah dirasakan munasabah diambil kira latar belakang Haji Abdul Nik Aziz sebagai orang yang memberi fatwa, sebelum fatwanya dihujahkan khususnya daripada segi kemampuan ilmiah berdasarkan pengkhususan yang beliau miliki.