Umat Islam
digalak hidup bersatu padu dan saling bantu membantu antara satu sama lain. Tetapi sejak
kebelakangan ini, sikap benci membenci sesama Islam semakin ketara dan menular di seluruh
negara. Ini semua disebabkan adanya kempen politik keterlaluan oleh sesetengah parti
politik yang tidak lagi memperdulikan batasan kesusilaan dengan memaki hamun dan mencerca
peribadi pemimpin Muslim yang lain. Ini bertentangan dengan ajaran Islam yang amat jelas
melarang umatnya bermusuhan dan saling membenci.
Persoalan ini
memang menjadi satu masalah sosial di negara kita, khususnya di kalangan umat Islam masa
kini. Memang tidak dinafikan punca utama
masalah ini kerana permainan politik keterlaluan oleh sesetengah pihak.
Kalau ditinjau
dari sudut pandangan Islam, maka secara terang dan jelas kita akan mendapati banyak ayat
al-Quran dan hadis melarang umatnya daripada bertelagah, apa lagi bermusuh-musuhan sesama
sendiri.
Ini kerana hasil daripada
sikap yang tidak baik itu semata-mata akan menghancurkan kekuatan ummah dan sekiranya ini
terjadi, maka sudah tentu ia memenuhi impian musuh Islam yang selama ini menanti saat
seumpama ini.
Merujuk sepotong hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, katanya,
Rasulullah bersabda, bermaksud: "Ditunjukkan amalan itu kepada Allah oleh kalangan
malaikat pada hari Isnin dan Khamis. Lalu
Allah memberikan pengampunan kepada setiap orang yang tidak menyengutukan Allah dengan
sesuatu, melainkan (Allah tidak mengampunkan) seseorang yang antara dirinya dan saudaranya
ada rasa kebencian (dalam hati masing-masing). Lalu
Allah berfirman: "Tinggalkanlah kedua-dua orang ini, yakni jangan dihapuskan dosanya
sehingga kedua-duanya berdamai semula." - (Riwayat Muslim).
Hadis ini dengan jelas
menunjukkan betapa sikap bencikan saudara sendiri (apa lagi yang seagama) amat dimurkai
Allah dan sukar mendapat pengampunan-Nya.
Hubungan sosial atau
kemasyarakatan, tunggak kesejahteraan ummah. Oleh itu, setiap anggota masyarakat
sewajarnya berada dalam satu kelompok keluarga yang besar secara harmoni tanpa sikap benci
membenci antara satu dengan yang lain.
Hidup bersatu padu dan
tolong menolong antara satu sama lain ke jalan takwa sepatutnya pegangan umat Islam.
Sebaliknya, janganlah kita tolong menolong dalam membesarkan permusuhan atau perkara dosa
yang lain.
Dalam keadaan apapun, umat
Islam tidak sepatutnya menyemai sikap permusuhan serta perpecahan kerana kelemahan paling
besar bagi sesuatu ummah ialah permusuhan dan
perpecahan sesama sendiri.
Islam mengajar umatnya
tidak membenci orang lain, khususnya yang se agama. Malah, kita dilarang menimbulkan
kebencian atau menghasut orang lain supaya membenci sesuatu golongan dalam kelompok Islam.
Dalam hadis lain, ada
dinyatakan Rasulullah memperingatkan umatnya agar tidak berhasad dengki dan tidak halal bagi seorang Muslim untuk tidak
bersapa sesama saudara Muslim yang lain selama lebih
daripada tiga hari kerana perasaan benci kepada saudaranya itu.
Selepas tiga hari bermasam
muka, wajarlah orang yang berselisih faham
memohon maaf sesama sendiri dan mereka juga wajar bertaubat serta kembali menyatukan
Silaturrahim antara satu sama lain.
Dalam hadis ini
dinyatakan, amalan kita diangkat setiap hari Isnin dan Khamis kepada Allah, tetapi
sekiranya kita masih dalam keadaan benci membenci sesama saudara seagama hingga saat
amalan kita itu diangkat kepada Allah, Dia tidak akan mengampunkan dosa kita kerana sikap
membenci saudara seagama itu.
Oleh kerana itu, segeralah bertaubat sebelum amalan kita diangkat kepada-Nya, Allah. Wallahu 'Aklam.