Dalam
al-Quran istilah ulama secara jelas disebut pada dua tempat, iaitu:
"Tidakkah
mereka yang musyrik sedar akan kebenaran dan tidaklah menjadi satu keterangan kepada
mereka bahawa pendita agama Bani Israel mengetahui kebenaran al-Quran." (surah
Asy-Syuara' ayat 197); dan:
"Sebenarnya
yang menaruh bimbang dan takut kepada Allah daripada kalangan hambaNya hanya orang yang
berilmu, sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Pengampun." (surah al-Fathir ayat
28)
Walaupun
surah Ash-Syuara berkaitan dengan Bani Israel, ia menunjukkan bahawa seseorang dikatakan
ulama apabila memiliki ilmu pengetahuan yang luas dan mendalam khususnya ilmu fatwa. Ayat
kedua menjelaskan seseorang dikatakan mencapai tahap ulama apabila memiliki rasa
'khasyyah' yang bermaksud 'takut dan cinta yang tinggi kepada Allah SWT serta sentiasa
memelihara hubungannya dengan Allah.
Selain
itu, pengajaran dan ilmu yang disampaikan kepada masyarakat mencerminkan takwanya kepada
Allah. Dalam aspek ini, Said Hawwa dalam kitabnya 'al-Assasu fi-Tafsir (1985) mengupas
pendapat Ibnu Mas'ud yang menyatakan bahawa ulama bukanlah semata-mata orang yang
mempunyai banyak ilmu tetapi juga orang yang banyak 'khasyyah' (takut dan cinta yang
tinggi) kepada Allah".
Ada
hadis yang menjelaskan mengenai beberapa ciri ulama dan hampir keseluruhannya mengulas
mengenai akhlak dan keperibadian serta sikap terhadap perkara hak dan batil dan sikap
terhadap pemerintah. Hadis Riwayat Ahmad menyatakan, "Gambaran ulama di muka bumi
adalah seperti bintang di langit yang memberi petunjuk dalam kegelapan di daratan dan
lautan.
Apabila
bintang berkenaan hilang, maka ditakuti manusia akan tersesat jalan."
Ulama
adalah cermin dan pemimpin ummah. Barang siapa yang sentiasa bergaul dengannya bertambah
kebaikannya" (Hadis Riwayat Jamaah). Seorang sahabat pernah bertanya kepada
Rasulullah SAW mengenai keutamaan dan kemuliaan seseorang ulama yang mengamalkan ilmunya
berbanding orang yang semata-mata digelar ulama tanpa didukung oleh keluasan ilmunya.
Rasulullah
bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya keutamaan dan kelebihan seorang yang alim
berbanding seorang abdi (ahli ibadah) adalah seperti kelebihanku berbanding orang yang
paling rendah antara kamu. Sesungguhnya Allah, malaikat, makhluk di langit dan di bumi,
malah semut di dalam lubang dan ikan di laut sentiasa memohon keampunan untuk orang lain
(ulama
selalu
membimbing umat ke arah kebaikan). (Hadis Riwayat Imam Tarmizi)
Ketinggian
dan kemuliaan kedudukan seorang ulama sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis ternyata
bahawa seseorang ulama mempunyai penguasaan ilmu agama yang tinggi dan mendalam. Mereka
juga menjadi cermin dan pemimpin umat dalam
menegakkan
agama Allah, sanggup mengatakan perkara yang hak.
Taraf
ulama adalah tinggi. Oleh itu, ulama disebut sebagai waris anbiya, malah Rasulullah
menyebut dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Muliakanlah ulama kerana sesungguhnya
mereka adalah pewaris Nabi. Barang siapa yang memuliakan ulama sesungguhnya mereka
memuliakan Allah dan Rasul-Nya."
(Hadis
Riwayat Iman Khatib dari Jabir).
Berdasarkan
hadis berkenaan istilah ulama tidak perlu lagi ditambah seperti ulama-cendekiawan kerana
ulama memang mempunyai ciri-ciri cendekiawanan Muslim yang memahami dengan baik al-Quran,
as-Sunnah dan ilmu syariat. Ini ditambah pula dengan ketakwaan dan keperibadian yang
mulia.
Persoalannya
sekarang wujudkah apa yang disebut sebagai ulama jahat?
(as-su'u).
Dalam hubungan ini, Rasulullah menyebut dalam beberapa hadisnya bahawa ada orang yang
berilmu, mengetahui halal-haram, mengetahui hak dan batil dan memahami al-Quran serta
al-hadis sanggup mencampur-adukkan perkara yang hak dan yang batil. Inilah yang dikatakan
ulama yang menyeleweng (ulama syirar, as-syin, fasik).
Rasulullah
pernah ditanya oleh seorang sahabat, "apakah amal perbuatan yang paling utama?"
Baginda menjawab, "Teman yang menolong kamu apabila kamu susah dan mengingatkan kamu
jika kamu melakukan kesalahan." Sahabat berkenaan bertanya lagi, "manusia yang
bagaimana yang paling buruk?"
baginda
menjawab, "ulama yang selalu membuat kerosakan." (Hadis Riwayat Jamaah).
Dalam
hadis yang lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Rosaknya agama disebabkan tiga
perkara, iaitu faqih (ahli agama) yang jahat, pemimpin yang zalim dan orang yang bodoh
tetapi mahu berijtihad." (Hadis Riwayat Dailami dari Ibnu Abbas).
Imam
al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin memberi peringatan mengenai wujudnya ulama yang
membinasakan dirinya sendiri tetapi ingin menyelamatkan orang lain. Ini bermaksud ulama
jenis ini berusaha menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran untuk orang lain, tetapi
secara diam-diam mereka sendiri mengejar kedudukan dan harta duniawi.
Rasulullah
pernah bersabda yang bermaksud: "Ketika seseorang dicampakkan ke dalam neraka jahanam
pada hari kiamat dan bertaburan isi perutnya, ahli neraka lain bertanya: "mengapakah
anda jadi begini sedangkan anda sentiasa menyuruh kami berbuat baik dan mencegah
kemungkaran?" Dia menjawab: "Ya benar saya menyuruh kamu semua berbuat baik
tetapi saya tidak
melakukannya
dan saya yang melarang anda tidak melakukannya tetapi saya sengaja melanggarnya."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Beberapa
peringatan berkenaan menunjukkan wujudnya ulama yang tidak menepati ciri-ciri ulama. Apa
yang penting ialah ilmu dan penghayatannya serta niat seseorang. Ulama yang berhati
bersih, jujur, teguh pendiriannya dan mengutamakan Allah serta RasulNya tetap berpegang
teguh pada prinsip dan amanah. Mereka memahami bahawa Allah melaknat mereka jika taraf
ulama
yang
ada pada diri mereka diselewengkan.
Ini
berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa
yang telah kami turunkan dari keterangan yang jelas dan petunjuk setelah kami nyatakan
kepada manusia dalam al-Quran, mereka dilaknati Allah dan dilaknati semua makhluk yang
dapat melaknati mereka."
(al-Baqarah-159)
Ulama
yang menunjukkan sikap jujur, bersih dan ikhlas demi menegakkan kalimah Allah dan syiar
Islam, merekalah yang "Ulama warasatul anbiyaa".
Bagaimanapun,
ulama yang mengingkari perjanjian dengan Allah serta mempunyai niat untuk kepentingan diri
sehingga sanggup mengorbankan nilai ulama dan imej ulama umumnya perlu kembali ke pangkal
jalan. Mereka perlu menghayati sabda Nabi Muhammad yang bermaksud: "Seorang ulama
yang menggunakan ilmunya untuk mencari keredhaan Allah, maka segala sesuatu akan tunduk
dan kagum kepadanya. Tetapi jika dia menggunakan ilmunya hanya untuk mendapatkan harta
dunia, maka hilanglah sesuatu daripadanya." (Hadis Riwayat Dailami) -