AYAT-ayat al-Quran yang umum, tidak jelas dan mempunyai pelbagai
makna yang dipanggil tidak qati'iyyah ad-dalalah atau tidak muktamad sering
digunakan orang-orang tertentu untuk menghukum UMNO atau kerajaan sebagai tidak
Islam atau kafir.
Penggunaan ayat-ayat yang tidak muktamad ini dilakukan secara
meluas oleh puak pembangkang terutama dalam ceramah dan internet.
Berdasarkan kepada pengalaman peribadi, ada yang berhujah dengan
ayat-ayat itu dalam banyak e-mel yang dikirim kepada penulis dan ada yang
menggunakannya semasa berdialog dengan penulis dalam majlis-majlis ceramah.
Pokoknya penggunaan ayat-ayat al-Quran secara tidak tepat ini sudah
menjadi satu fenomena yang membimbangkan kerana ada keghairahan di kalangan
orang-orang tertentu yang bukan ahli dalam bidang agama mahu berhujah dengan
ayat-ayat al-Quran.
Yang anehnya orang yang menggunakan ayat-ayat al-Quran secara tidak
tepat ini bukan saja orang yang bukan ahli dalam bidang agama, tetapi ada juga
mereka yang pernah mendapat pendidikan agama secara formal termasuk yang
bergelar ustaz dan ulama.
Sebenarnya kita perlu mengambil tahu tentang kaedah memahami
hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran agar tidak mudah tertipu dan
terpedaya serta menganggap ayat-ayat yang dibaca oleh orang-orang tertentu
tepat atau tidak dengan maksud dan hukum yang akan dijatuhkan kepada
perkara-perkara yang dibincangkan.
Umpamanya seseorang membincangkan mengenai hukum hudud, sedangkan
dia berhujah dengan ayat yang menyebut perkataan al-hudud. Ayat itu sebenarnya
tidak ada kaitan dengan hukum hudud yang bermaksud hukuman potongan tangan dan
rejam yang tidak dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w dan Khulafa Rasyidun
itu. Sebaliknya maksud al-hudud itu ialah batasan atau segala suruhan dan larangan
agama yang umum.
Para pembaca perlu faham dengan baik tentang kaedah untuk memahami
hukum-hakam yang terkandung dalam al-Quran ini. Jika kita dapat memahami kaedah
ini, insya-Allah kita akan dapat mengenali sedikit sebanyak sama ada ayat yang
diguna dan dihujahkan oleh orang-orang tertentu itu tepat atau tidak.
Kaedah itu secara mudahnya dihuraikan seperti berikut: Setiap kali
kita membaca al-Quran atau mendengar orang lain membacanya, kita perlu
mengetahui apakah ia ayat yang muktamad atau tidak.
Jika ia ayat muktamad, maka wajiblah kita mengguna pakainya sebagai
hukum tanpa boleh berbelah-bahagi, mempertikai dan memilih. Contoh ayat
berkenaan ialah ayat-ayat yang membincangkan tentang pelbagai ibadat yang wajib
seperti sembahyang, puasa, zakat dan lain-lain ibadat yang wajib.
Contoh ayat yang tidak muktamad pula ialah ayat-ayat yang umum,
tidak jelas dan mempunyai banyak maksud seperti kebanyakan ayat yang
membincangkan tentang politik, ekonomi, sosial dan lain-lain perkara yang
berkaitan dengan urusan kehidupan kita.
Di antara ayat-ayat yang tidak muktamad yang sering digunakan oleh
orang-orang tertentu secara tidak tepat ialah ayat 44 daripada surah al-Maidah:
Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah
(kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
Ayat ini boleh dikategorikan sebagai ayat yang membincangkan
tentang politik dan agama sekali gus.
Untuk tujuan menghentam kerajaan atau UMNO, ayat ini digunakan oleh
golongan tertentu sebagai bukti bahawa kerajaan atau UMNO tidak melaksanakan
hukum yang diturunkan oleh Allah. Maka ia dianggap kafir.
Penulis merujuk kepada penggunaan ayat secara tidak tepat seperti
ayat 44 daripada surah al-Maidah itu oleh mereka yang mendakwa atau didakwa
menjadi ustaz yang berdialog dalam beberapa majlis ceramah.
Seorang yang didakwa sebagai ustaz (tetapi sebenarnya beliau hanya
cikgu sekolah) telah menggunakan ayat ini semasa berdialog dengan penulis di
Kampar, Perak bulan lepas.
Ketika memberi jawapan, penulis menegur beliau dengan membaca
sambungan ayat 44 daripada surah al-Maidah itu, iaitu ayat 45 dan 47. Ayat 45
itu bermaksud: dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim, manakala ayat 47
pula bermaksud: dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Membaca ayat 44 surah al-Maidah dan memberi erti yang bersifat
hukum sedemikian tidak tepat.
Maksud tidak berhukum dengan hukum Allah dalam ayat-ayat berkenaan
mempunyai tiga hukum iaitu kafir, zalim dan fasik.
Inilah yang dipanggil ayat tidak jelas dan mempunyai banyak maksud
iaitu tidak muktamad dan tidak qati'iyyah ad-dalalah.
Selain itu, ayat-ayat tersebut pula diturunkan ke atas kaum Yahudi
dan tidak diturun ke atas orang Islam.
Cuba perhatikan ketiga-tiga ayat itu sepenuhnya.
Dalam ayat al-Maidah: 44 Allah berfirman: Sesungguhnya Kami telah
menurunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi;
dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum
bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan
pendeta-pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan
memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat) itu, dan
mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan).
Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut
kepada-Ku (dengan menjaga diri daripada melakukan maksiat dan patuh akan
perintah-Ku); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan
harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan
dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh
Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
Dalam ayat al-Maidah: 45 Allah berfirman: Dan kami telah tetapkan
atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan
mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas
dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas
(seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia
penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Dalam ayat al-Maidah: 47 pula Allah berfirman: Dan hendaklah ahli
kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya;
dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,
maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Jadi hanya dengan memerhatikan kepada maksud sepenuh ketiga-tiga
ayat itu dapat kita mengetahui bahawa ia tidak muktamad kerana ayat itu
diturunkan ke atas kaum Yahudi di mana hanya perlu mengambil iktibar saja.
Cuba kita perhatikan sedikit lagi apa kata Rasulullah, para
sahabat, tabii dan ulama tentang ayat-ayat itu.
Dalam beberapa hadis yang diriwayat oleh Muslim, Ahmad, Abu Daud,
an-Nasa'i dan lain-lain ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat orang
Yahudi dikenakan hukuman dengan dicoreng muka dan dipukul. Lalu baginda
bertanya apakah salah orang Yahudi itu? Mereka menjawab, orang Yahudi itu telah
berzina. Lalu baginda berkata, apakah ini hukumnya dalam kitab kamu? Mereka
menjawab, ya.
Bagaimanapun, Rasulullah tidak percaya. Lalu baginda menyuruh
panggil seorang ulama mereka dan menuntutnya membaca hukum dalam kitab Taurat.
Ulama Yahudi itu dengan terus terang berkata bahawa hukum dalam Taurat tidak
begitu terhadap penzina kerana hukum sebenarnya ialah rejam. Ulama Yahudi itu
berkata, jika bukan Rasulullah s.a.w yang bertanya tentang perkara itu, dia
akan berdiam diri saja dan tidak akan menceritakan hukum yang sebenar.
Ulama Yahudi itu bercerita bahawa hukum yang ringan itu
dilaksanakan kerana perzinaan sangat berleluasa di kalangan golongan bangsawan.
Maka dengan itu dikenakan hukuman yang ringan itu.
Mendengar keterangan ulama Yahudi yang jujur itu Rasulullah menyeru
kepada Allah: Ya Allah! Akulah yang mula-mula menghidupkan kembali perintah
Engkau yang telah mereka matikan.
Bagaimanapun, para sahabat, tabii dan ulama berbeza pandangan
mengenai hukum yang dikenakan ke atas Yahudi mesti dikenakan ke atas orang
Islam atau tidak. Malah mereka juga berbeza pandangan tentang hukum orang yang
tidak berhukum dengan ketiga-ketiga hukum iaitu kafir, zalim dan fasik
sebagaimana tersebut dalam ayat-ayat al-Quran di atas.
Abdullah bin Abbas berpendapat ayat-ayat berkenaan diturun kepada
Ahlul Kitab dan kepada orang Islam sekali gus. Cuma Ibn Abbas pula berpendapat
bahawa hukum kafir itu bukan mencapai hukum kafir syirik, hukum zalim bukan
mencapai hukum zalim syirik dan hukum fasik bukan mencapai hukum fasik syirik.
Asy-Sya'abi berpendapat bahawa ayat pertama dan kedua diturunkan
kepada kaum Yahudi dan ayat ketiga diturunkan kepada kaum Kristian.
Said bin Jubair pula berpendapat bahawa ketiga-tiga ayat itu
diturunkan kepada kaum Yahudi dan orang Islam sekali gus.
Manakala para ulama pula seperti bekas Syeikh al-Azhar Syeikh Mahmd
Shaltut berpendapat bahawa kebanyakan mereka menganggap yang dianggap kafir itu
ialah kafir amali (perbuatan) dan bukan kafir iktikadi (pegangan) kecuali jika
seseorang itu beriktikad bahawa hukum Allah itu tidak betul dan tidak sesuai.
Sebahagian kecil ulama pula berpegang dengan zahir ayat-ayat tanpa
mentakwil iaitu kerana luaran ayat-ayat itu menyebut hukum kafir, zalim dan
fasik, maka mereka menghukum orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah
adalah kafir, zalim dan fasik.
Seorang aktivis al-Ikhwan al-Muslim yang dikenakan hukum gantung
oleh Presiden Gamal Abdel Nassir, Abdul Qadir Audah menyokong pandangan ulama
kategori ini.
Perlu dijelaskan bahawa jika berlaku perbezaan pandangan di
kalangan ulama terhadap sebarang hukum yang tidak jelas dalam al-Quran, maka
hukum berkenaan tidak dianggap muktamad.