SEJAUH MANAKAH KERAJAAN TELAH MELAKSANAKAN TANGGUNG JAWABNYA SEBAGAI SEBUAH NEGERA ISLAM
Untuk menjawab persoalan ini,
kita terlebih dahulu perlu mengetahui apakah tugas dan tanggungjawab yang perlu
dilaksnakan oleh sebuah kerajaan Islam seperti yang diterangkan oleh para Ulama
dalam kitab-kitab fiqh. Untuk tujuan ini, kita berpandukan kepada kita-kitab
tulisan Abu Yaala (ms. 458H) dari mazhab Hambali dan Al-Mawardi (ms. 450H)
seorang ulama terkemuka mazhab Syafie. Mereka telah menggariskan tugas-tugas yang
menjadi tanggungjawab sesebuah pemerintahan Islam dalam buku masing-masing yang
berjudul "Al Ahkam As-Sultaniah". Menurut Al-Mawardi secara umumnya
tugas pemerintah Islam ialah: menjaga kepentingan agama dan mentadbir urusan
negara dan umat. Menurut Ibnu Taimiyah; "Urusan pemerintahan adalah antara
kewajipan agama yang terbesar; malah agama itu sendiri tidak dapat ditegakkan
tanpa wujudnya pemerintahan" (al-Siyasah al-Syariyah).
Setelah
menyebut secara umum tanggungjawab pemerintah dalam Islam, Al-Mawardi
menghuraikan secara terperinci tugas-tugas tersebut yang dapat dirumuskan
seperti berikut:
1.
Memelihara agama dari sebarang
pencerobohan fahaman dan ajaran yang boleh memesong akidah dari ajaran Islam
sebenar seperti yang diijtimak oleh ulama yang berlandaskan Quran dan Sunnah.
2.
Melantik jemaah menteri bagi
membantu negara dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan. Menurut Al-Mawardi,
"Harus melantik orang kafir yang menjadi warga negara Islam (Zimmi)
sebagai menteri untuk melaksanakan dasar-dasar yang dibuat oleh pemerintah
Islam (Wazir Tanfiz)" (1996, 27). Mengenai perlantikan wanita sebagai
menteri dan jawatan-jawatan awam yang lain, para ulama mempunyai pendapat yang
berbeza. Sebahagian ulama seperti Al-Mawardi berpendapat tidak harus, manakala
sebahagian yang lain seperti Imam Abu Hanifah dan Ibnu Jarir At-Tabari
berpendapat harus melantik wanita memegang jawatan-jawatan awam kecuali jawatan
tertinggi sebagai ketua negara. Dr. Ibrahim Abdul Hamid dari Universiti Al
Azhar dalam kajiannya "Nizamul Qada' Fil Islam" menyokong pendapat
terakhir ini, kerana tiada sebarang dalil yang kukuh melarangnya. Bahkan di
dalam sejarah Islam terdapat contoh-contoh dalam mana wanita dilantik memegang
jawatan awam. Antaranya ialah Saidina Umar R.A pernah melantik seorang wanita
bernama Assyifa' sebagai ketua perbandaran di zaman pemerintahannya. Saidina
Aisyah R.A pernah menjadi pemerintah tertinggi salah satu pasukan tentera yang
terlibat dalam peperangan Al-Jamal. Beliau adalah seorang ahli Ijtihad dari
kalangan sahabat, (Al-Ansari, 1980, 303).
3.
Menyediakan tentera yang mampu
mempertahankan negara dan agama dari pencerobohan dan menjamin keamanan dalam
negeri.
4.
Mewujudkan sistem kehakiman
bagi menyelesaikan pertikaian dan menegakkan keadilan.
5.
Mendirikan sembahyang lima waktu,
sembahyang Jumaat dan sembahyang hari Raya, dengan membina masjid-masjid dan
melantik imam-imam. Al-Qadi Abu Yaala mengkelaskan masjid kepada dua jenis
iaitu : Masjid Sultan, iaitu masjid yang terletak di bawah kuasa pemerintah,
dan Masjid Am, iaitu masjid persendirian. Bagi masjid sultan, kuasa melantik
imam adalah menjadi hak pemerintah. Dengan itu, 'tidak harus menjadi imam di
masjid sultan melainkan orang-orang yang dilantik oleh kerajaan. Sekiranya
kerajaan melantik imam, maka dialah yang berhak menjadi imam sembahyang,
sekalipun ada orang lain yang lebih afdal dan lebih alim darinya.' Malah
menurut Abu Yaala, "sekiranya imam rasmi telah selesai menunaikan
sembahyang secra berjemaah, tidak harus bagi orang lain mendirikan jemaah,
kerana ditakuti perbuatan tersebut dianggap sebagai satu bentuk tentangan
terhadap kuasa pemerintah." Ini juga adalah pendapat Imam-imam Syafie,
Maliki dan Hanafi (1974, 95).
6.
Mengedalikan urusan ibadat
mengerjakan ibadat Haji.
7.
Mengendalikan urusan
pemungutan dan pembahagian zakat seperti perlantikan amil dan sebagainya.
8.
Memungut hasil dari
sumber-sumber yang ada dalam negara (Kharaj).
9.
Hal-hal yang berkaitan dengan
pengurusan dan pembangunan tanah (Ehya' al-Mawat)
10.
Mewujudkan pentadbiran yang
cekap bagi mengendalikan urusan-urusan kewangan, harta benda kerajaan, pekerja
dan juga pasukan bersenjata.
11.
Membenteras jenayah dan
mengenakan hukuman terhadap penjenayah dengan hukuman yang sesuai sam ada had
(jenayah) yang ditetapkan hukumannya oleh syarak dengan syarat-syarat tertentu
seperti zina, minum arak dan sebagainya.
Atau taazir (jenayah-jenayah lain yang diberi kuasa kepada pemerinta
menetukan bentuk hukumannya).
12.
Melaksanakn tugas hisbah yang
dalam konteks negara moden dikenali dengan bahagian penguatkuasaan. Ia bertujuan
memastikan supaya adab-adab, akhlak dan syiar Islam serta peraturan-peraturan
yang diwujudkan untuk kesejahteraan masyarakat dapat ditegakkan.
Apa
yang disebutalan oleh kedua-dua ulama
ini bolehlah dianggap sebagai kewajipan-kewajipan asas sahaja dan bukannya
bersifat menyeluruh. Ada beberapa perkara lagi yang tidak disebutkan
kerana belum diambil alih oleh kerajaan
atau belum wujud pada mas itu seperti bidang pendidikan, kesihatan, industri
dan sebagainya.
Adalah
nyata dari apa yang dipaparkan di atas bahawa kewajipan sesebuah kerajaan Islam
itu meliputi bidang yang sangat luas dan bukan terhad kepada melaksanakan hukum
hudud semata-mata, sekalipun tidak dinafikan bahwa ianya salah satu kewajipan
asas yang wajid dilaksanakan. Dengan demikian, tentulah tidak logik dan tidak
adil untuk mengambil perlaksanaan hukum hudud semata-mata sebagai asas
penilaian bagi menentukan sesebuah kerajaan itu Islam atau tidak.
Dalam
konteks Malaysia, kecuali beberapa perkara kerana sebab-sebab yang tidak dapat
dielakkan, boleh dikatakan keseluruhan tanggunjawab yang menjadi kewajipan
sesebuah kerajaan Islam telah dilaksanakan, walaupun terdapat kelemahan dan
kekurangan di sana sini, yang mana proses memperbaiki dan menyempurnakannya
dilaksanakan secara berterusan.
Oleh kerana
sistem pemerintahan yang ada hari ini adalah warisan peninggalan penjajaha maka
terdapat beberapa peraturan dan undang-undang yang berjalan tidak bersesuaian
dengan kehendak Islam. Menyedari hakikat ini, maka kerajaan telah melancarkan
dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran Negara. Malalui dasar ini,
segala yang bercanggah dengan Islam akan disesuaikan dengan kehendak Islam
secara berperingkat dan dengan cara yang bijaksana.
Dasar
penerapan nilai-nilai Islam sebenarnya adalah satu dasar yang luas dan terbuka,
dengan erti kata ini merangkumi semua nilai dan hukum Islam yang menjadi
kewajipan kerajaan melaksanakannya. Ia juga adalah satu dasar yang akan dijalan
secara berterusan sehinggalah matlamat menegakkan Islam dalam sistem negara terlaksana
dengan sepenuhnya.