Ayat-ayat yang disebutkan di bawah tajuk Jamaah Islamiah menjadi
sumber utama tentang ciri-ciri Jemaah Islamiah dan sifat-sifat pendokongnya. Antara
sifat-sifat pendokong Jemaah Islamiah berdasarkan ayat-ayat di atas ialah :
i) Benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul dan menjadikan
kedua-duanya (Allah dan Rasul) sebagai pemimpin serta tempat rujuk bagi segala perkara
ii) Melantik orang-orang beriman sebagai pemimpin
iii) Beriman kepada hari Akhirat
iv) Mendirikan sembahyang Fardu
v) Mengeluarkan zakat
vi) Benar-benar patuh kepada perintah dan hukum Allah
vii) Tidak berkasih sayang dengan orang yang menentang agama
(engkar hukum) Allah
viii) Tidak bersikap assobiyah qaumiah yakni tidak bertolak ansur
dalam menjalankan
kegiatan Islam walaupun dengan ibubapa, anak-anak, saudara mara dan kaum kerabat
sekiranya mereka itu anti-Islam atau melakukan maksiat dan kemungkaran.
Para ulama juga merumuskan beberapa ciri-ciri lain berdasarkan kepada AlQuran tentang
ciri-ciri Jemaah Islamiah yang sebenarnya. Antaranya:
i) Dapat
menegakkan Islam secara syumul didalam Jemaah itu
ii) Menzahirkan
kebenaran : iaitu mewujudkan sistem
hidup Islam seperti sistem keluarga, masyarakat, ekonomi, sosial, kesihatan, kebajikan,
media massa, dakwah dan perhubungan serta lain-lain secara Islam. Dengan sistem hidup ini
mereka dapat mengisi program hidup harian dan juga dapat menampung hidup, sekaligus dapat
memberi khidmat kepada masyarakat. Dari sini masyarakat pula dapat menumpang pelbagai
kemudahan itu. Sistem-sistem yang ditegakkan itu bukanlah ditiru dari sistem jahiliah yang
bersifat sekular atau bercampur-baur dengan perkara mungkar seperti sistem-sistem hidup
tajaan orang-orang Barat. Tetapi ianya benar-benar berbeza dari segala sistem hidup
ciptaan manusia. Kemunculan sistem hidup Islam ini memang mencabar sistem sekular dimana
seterusnya berlaku pertembungan baik dari segi minda mahupun dari segi amali cara
hidupnya. Walaubagaimanapun sistem Islam dalam Jemaah Islamiah itu tetap menang dan hidup
lancar, tanpa boleh diganggu-gugat atau dirosakkan kerana ia sentiasa diberi pertolongan
oleh Allah SWT.
iii) Jemaah
yang hakiki ialah bersifat universal, iaitu ianya dianggotai oleh segala jenis bangsa di
pelbagai negara. Ianya tidak bersifat
lokal di negeri sendiri. Begitu juga dengan pemimpinnya boleh diterima oleh masyarakat
sejagat. Pembawaan Jemaah ini dapat mengisi keinginan umat yang menyintai kebenaran dan
perpaduan sejagat. Oleh itu Jemaah mampu mengisi fitrah semua manusia tanpa dibatasi oleh
bangsa dan agama, juga tidak dibatasi oleh peringkat umur, golongan dan taraf pendidikan.
Jemaah ini dapat menjadi model perpaduan sejagat kerana didalamnya ada pelbagai bangsa
yang mengamalkan satu sistem hidup yang sama. Yang berlainan agama pula akur dengan
sesuatu yang memang selari dengan fitrahnya, kerana agama Islam adalah agama fitrah
manusia tanpa ada apa-apa kepentingan yang bernilai rendah (remeh-temeh). Walaupun mereka
belum menukar akidah, tetapi dengan kebenaran syariat zahir mereka boleh menerima
kebenaran Allah dengan dada terbuka.
iv) Jemaah
Islamiah tidak bergantung harap kepada musuh dalam sebarang sistem dan keperluan hidup
anggota dan juga Jemaahnya.
Bahkan tidak terlibat sama sekali dengan sebarang bentuk mungkar. Ia mempunyai
keupayaan tersendiri yang dapat menampung keperluan anggota, sehingga semua masyarakat
lain (penganut agama lain) memerlukannya.Contohnya ialah seperti berlaku pada zaman
Rasulullah saw dan pada zaman para sahabat. Islam ketika itu menjadi tempat rujukan dan
dicontohi dalam semua persoalan.
v) Jemaah
Islamiah, walaupun ianya belum sampai ketaraf sebuah negara atau sebuah kerajaan besar, namun ianya merangkumi sebuah sistem hidup yang
lengkap seolah-olah menyerupai prinsip dalam sesebuah negara atau kerajaan. Bahkan ada
sudut-sudut tertentu yang kerajaan besar mencontohinya, hasil daripada kebenaran yang
dibawa oleh Jemaah Islamiah.
vi) Jemaah
Islamiah memang dimusuhi oleh semua jenis taghut, tetapi ia tidak dapat dihancurkan dan
dikalahkan oleh musuhnya, kerana Allah
sendiri telah berjanji melalui lidah kekasih-Nya (Rasulullah saw) akan sentiasa memelihara
Jemaah Islamiah daripada dirosakkan oleh orang yang membencinya. Sabda Rasulullah saw :
Sentiasalah ada satu toifah (puak) yang dapat menzahirkan kebenaran ditengah-tengah
masyarakat, dia tidak dapat dirosakkan oleh orang-orang yang menentangnya. Ia tetap kekal
dan hidup sehinggalah hari Kiamat. (Riwayat Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah).
vii) Jemaah
Islamiah kaya dan pendokongnya miskin.
Bukan sebaliknya iaitu Jemaahnya miskin sedangkan para pemimpinnya menjadi kaya raya
sehingga ada yang memilik banglo bertingkat-tingkat dan mempunyai beberapa buah kereta
mewah sekaligus menonjolkan kekayaan mereka. Kekayaan mereka pula tidak disumbangkan
kepada Jemaah yang didokonginya bagi menstabilkan imej perjuangan Islam.Antara sebab
Jemaah menjadi kaya ialah kerana pendokongnya termasuk para pemimpinnya kuat berjihad dan
banyak berkorban. Mereka berjuang kerana Allah dan bukan kerana mencari kepentingan dalam
Jemaah. Jikalaupun ada yang berkhidmat sepenuh masa, mereka cuma mangambil habuan untuk
keperluan hidup semata-mata. Kita dapati sesetengah pemimpin Jemaah Islamiah lampau
merupakan individu yang kaya sebelum menyertai Jemaah, tetapi setelah berjuang bersama
Jemaah mereka menjadi miskin. Ini menepati sejarah Rasulullah saw dan para sahabat seperti
Saidina Abu Bakar, Saidina Osman, Saidina Ab. Rahman bin 'Auf dan sebagainya.
Pemimpin-pemimpin tersebut sebelum menyertai Jemaah mereka terdiri daripada tokoh-tokoh
korporat dan saudagar. Tetapi setelah berjuang dalam Jemaah mereka telah mengorbankan
harta ke jalan Allah sehingga mereka menjadi miskin.
viii) Jemaah Islamiah dinaungi oleh masyarakat sejagat. Puncanya ialah kerana perjuangan mereka membawa
imej sejagat. Sebab itu ia mampu mengembangkan Islam keserata dunia, kadang-kadang tidak
perlu melalui peperangan dan penaklukan fizikal. Caranya ialah dengan menyebar dan
memautkan hati-hati insan dengan fitrah (tabiat semulajadi) kasih sayang sejagat dan juga
aktiviti-aktiviti bercorak kebendaan dan kebenaran yang diperlukan oleh mesyarakat serta
sesuai dengan semua fitrah manusia.
ix) Kekuatan Jemaah
tidak terletak kepada kekuatan kebendaan semata-mata, tetapi kepada kekuatan takwa. Oleh itu, penekanan asas dalam pendidikan
pendokongnya ialah iman dan takwa, ukhuwah dan kasih sayang, pengorbanan, syura dan takut
kepda Allah.