UCAPAN MENGENAI HUDUD

 

Bismillahir Rahmanir Rahim,

 

Dengan   nama   Allah   yang   Maha  Pemurah  dan  Maha Mengasihani.

 

Setiap kali kita berucap atau membuat sesuatu kita mula dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengasihani.

 

Sementara kita menyebut sifat-sifat yang ada pada Allah Subhanahu wa Ta'ala kita dapati ada orang  yang  tidak  pula mengambilkira  sama  ada  kita  sendiri  wajib  mengamal dan menunjukkan sifat-sifat ini.  Sebaliknya apabila menjalankan urusan-urusan Islam  jika  terdapat  tafsiran  al-Quran  dan Sunnah  yang  tidak secocok dengan sifat-sifat yang ada pada Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala,  mereka  terima  sahaja  tanpa  menyoal  sama ada ianya adalah daripada ajaran al-Quran atau Sunnah atau kerana kesilapan dalam  kefahaman  dan  tafsiran ajaran-ajaran ini.

 

Antara  kita  ada juga yang tidak cuba mengikut atau menghayati sifat-sifat yang  ada  pada  Allah  Subhanahu  wa Ta'ala.    Antara kita ada yang bukan sahaja tidak penyayang dan pengasih, tetapi juga mudah bertindak dengan tidak  adil kepada  umat  Islam  yang lain dan umat manusia.  Mereka ini tidak  menganggap  kebengisan  atau   ketidakadilan   mereka sebagai  bertentangan  dengan ajaran Islam.  Dengan ini maka agama Islam tercemar dan orang Islam tidak dihormati.

 

Agama Islam disampaikan kepada  umat  manusia  melalui bahasa  Arab  asli.    Namun tiap seorang Arab tidak mungkin memahami ajaran Islam hanya kerana ia faham dan  menggunakan bahasa Arab setiap hari.

 

Untuk memahami ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi, semua orang Arab perlu kepada tafsiran dan penjelasan  oleh  orang yang  sudah  mempelajari  agama  dan membaca serta mentafsir ajaran al-Quran dan Sunnah.  Tetapi tafsiran dan  penjelasan oleh  pakar-pakar agama ini bergantung kepada pengertian dan kefahaman atau fikh mereka  tentang  apa  yang  mereka  baca dalam  Quran  dan Hadith.   Selepas itu apa yang disampaikan oleh  mereka  kepada  orang  Arab  pun   bergantung   kepada terjemahan  mereka  ke  bahasa Arab harian.  Ini mendedahkan mereka kepada dua kemungkinan.   Jika kefahaman  orang  yang menyampai  ajaran  Quran  dan  Hadith  salah,  maka salahlah ajaran mereka.  Yang kedua jika penterjemahan ke bahasa Arab harian salah, maka salahlah ajaran.   Kemungkinan  kesalahan berlaku  menjadi lebih apabila orang bukan Arab tetapi faham bahasa Arab cuba menyampaikan ajaran Quran dan Hadith  dalam bahasa  bukan Arab.  Kefahaman dan tafsirannya mungkin salah di samping penterjemahannya juga salah.

 

Kemungkinan kesalahan berlaku  apabila  seorang  bukan Arab  menyampaikan  ajaran  Islam  dalam  bahasa  bukan Arab adalah sama dengan  kemungkinan  kesalahan  berlaku  apabila orang  Arab  yang  fasih  dalam  bahasa  bukan Arab mengajar melalui syarahan atau buku dalam bahasa berkenaan.   Justeru itu  janganlah sesiapa mendakwa bahawa ajarannya lebih tepat hanya kerana ia faham bahasa Arab.  Ianya juga mungkin salah sama seperti orang Arab  yang  menulis  dalam  bahasa  lain.

 

Orang  yang  mempelajari  agama  Islam  yang  tidak memahami bahasa Arab tidak semestinya selalu salah berbanding  dengan orang  yang  memahami  bahasa  Arab.    Semua pihak terdedah kepada kesalahan kefahaman atau tafsiran atau penterjemahan oleh  diri sendiri atau oleh ulama.

 

Amatlah angkuh bagi orang  Melayu  yang  faham  bahasa Arab moden mendakwa  bahawa  hanya  kefahaman  dan  tafsiran mereka sahaja yang tepat dan sesiapa yang mempelajari  agama melalui tafsiran dan kefahaman ulama lain dalam bahasa bukan

Arab tidak tepat  dan  tidak  boleh  diterima.    Tiap  kali mereka mengulas  tafsiran  mereka  dalam  bahasa bukan Arab, mereka juga boleh melakukan  kesalahan  sama  seperti  orang yang menulis buku-buku agama dalam bahasa bukan Arab. 

 

Tidak ada  perbezaan  antara  orang  yang  tahu  bahasa  Arab  dan mengajar dalam bahasa Melayu, dengan orang  yang  juga  tahu bahasa Arab dan menulis dalam bahasa Melayu.

 

Perbezaan tafsiran terhadap ajaran Islam memang berlaku sepanjang  zaman,  walaupun di kalangan orang yang berbahasa Arab.  Ini adalah oleh kerana terdapat dalam al-Quran  bukan sahaja   ayat-ayat   yang  jelas  dan  terang  seperti  yang menyatakan babi dan zina adalah haram.

 

Tetapi terdapat kebanyakan  daripada  ayat-ayat  dalam al-Quran  yang  memberi  panduan  secara  umum.   Ini memang begitu  kerana  panduan  ini  adalah  untuk   keadaan   yang berbeza-beza.    Dengan  itu  tafsiran ayat-ayat ini melalui proses ijtihad sekali pun boleh berbeza  mengikut  kefahaman atau fikh pentafsir atau keadaan atau zaman.

 

Hanya kerana ada perbezaan tafsiran ini tidak bermakna yang satu itu betul dan yang lainnya  semua  salah.    Semua tafsiran  mungkin  betul  dan  semua mungkin salah, dan juga mungkin ada yang betul dan mungkin  ada  yang  salah  antara tafsiran-tafsiran  yang dibuat.  Bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi hasil ijtihad yang dahulu dibatal atau  diubah oleh  ijtihad  yang kemudian.   Yang tidak boleh diubah atau dipinda ialah ayat-ayat  al-Quran  dan  Hadith  yang  sahih. Ahli  fikh  boleh mempunyai kefahaman yang berbeza berkenaan ayat dan Hadith yang sama.

 

Oleh kerana terdapat perbezaan  tafsiran  ajaran  Islam dalam  al-Quran  dan   Hadith   maka   terbentuklah   banyak mazhab.   Tidak ada satu mazhab yang berhak  mendakwa bahawa ianya  sahaja Islam, dan yang lain tidak Islam.

 

Walaupun  ada ajaran yang tetap menyeleweng dan tidak Islam tetapi mazhab-mazhab yang diiktiraf, walaupun berbeza, tidak boleh didakwa tidak Islam dengan sewenang-wenangnya.

 

Yang ditegah oleh  agama  Islam  ialah  perpecahan  di kalangan  ummah.    Dalam  Surah  Al-An'am  Ayat  159  Allah berfirman yang bermaksud:

     "Sesungguhnya orang-orang yang memecahbelah agamanya dan  mereka  menjadi  beberapa  golongan, tidak  ada sedikit pun  tanggungjawab terhadap mereka ....  Allah  yang akan memberitahu kepada  mereka  apa  yang  telah       mereka  perbuat"

 

Dakwaan  oleh  PAS  bahawa  sesiapa  tidak   menerima undang-undang  hudud PAS menjadi murtad amatlah bertentangan dengan ajaran Islam yang memberi kelonggaran dalam mentafsir ajaran Islam sehingga perbezaan boleh berlaku.  Kita dibenar menolak atau menerima  mana-mana  tafsiran.    Undang-undang hudud  PAS  adalah  hasil  kefahaman  atau fikh dan tafsiran orang PAS akan ajaran al-Quran dan hukum syarak. Ia  juga adalah  hasil  kepentingan politik parti.   Ia tidak menjadi sebahagian daripada ajaran Islam yang  mesti  diterima  oleh semua orang Islam.  Ia tidak pun termasuk dalam ajaran Islam hasil  kefahaman  dan tafsiran imam-imam yang diiktiraf baik oleh puak Sunni atau Syiah.

 

Kita tidak menafikan adanya orang  yang  boleh  menjadi murtad.   Ada syarat dan perbuatan tertentu yang membolehkan kita mendakwa orang itu murtad.  Penolakan undang-undang PAS tidak   termasuk   dalam   syarat-syarat   ini.  Bahkan undang-undang  PAS juga tidak memasukkan 'kesalahan' menolak undang-undang  PAS  sebagai  sebahagian  daripada  perbuatan irtidad  atau  riddah.    Ini boleh dilihat dalam seksyen 23 dalam undang-undang PAS.

 

Oleh  itu   PAS   tidak   boleh   mendakwa   bahawa undang-undangnya   tepat  dan  menjadi  sebahagian  daripada ajaran Islam.  Kesahihan undang-undang PAS pun  belum  boleh ditentukan.    Ia  mungkin  bertentangan dengan ajaran Islam sendiri.

 

Untuk menentukan  sama  ada  undang-undang  hudud  PAS Kelantan  mematuhi  hukum hudud dalam Islam, tidak ada ujian yang lebih tepat daripada penilaian terhadap adil atau tidak adilnya hukuman yang akan dihasilkan oleh undang-undang PAS. Jika adil maka  kemungkinannya  ialah  ia  diasaskan  kepada hukum-hukum  Islam.   Jika  hukuman  yang dibuat berasaskan kepada undang-undang PAS itu jelas dan nyata tidak adil maka mustahillah ia adalah berasaskan  kepada  hukum-hukum  Islam sepenuhnya  yang  juga  mengambilkira  maslahah  Am Syariah. Soal berat atau tidak hukum Islam  berbanding dengan  hukum dalam undang-undang semasa tidak perlu diambilkira.

 

Sebagai contoh untuk kajian, kita boleh mengambil kes rogol.   Secara ringkas seorang  wanita  yang  belum  kahwin dirogol.  Ia   membuat  pengaduan  terhadap  orang  yang merogolnya, orang yang dikenali olehnya.  Apakah yang  akan berlaku  dengan  kes  ini  mengikut undang-undang PAS, iaitu Seksyen 10 berkenaan Zina.

 

Untuk mengesahkan bahawa wanita itu  benar-benar  telah dirogol  dan  bukan  ianya  dengan  rela hati berzina, empat orang saksi yang terdiri daripada orang yang  tidak  berdosa besar  dan  tidak  melakukan  dosa-dosa  kecil  berulangkali diperlukan.

 

Saksi seperti ini sudah tentu  sukar  didapati.  Yang pertamanya,  perogol  tidak  merogol  di hadapan saksi.  Ia sudah tentu tidak ingin mendedahkan dirinya  kepada  hukuman yang  berat  yang  akan dikenakan ke atasnya. Jika hukuman tidak berat sekalipun ia tidak akan mendedahkan dirinya.

 

Saksi yang  mulia  tidak  akan  berdiam  diri  melihat perbuatan  merogol  berlaku  di  hadapan  mereka. Tentulah mereka tidak bertanggungjawab jika  mereka  melihat  jenayah yang  begitu  dasyat berlaku di hadapan mereka tanpa memberi pertolongan.  Jika mereka tidak cuba  menolong  maka  mereka akan  menjadi  orang  yang  bersubahat dengan perogol.   Ini bermakna mereka turut berdosa dan  tidak  layak  lagi  untuk menjadi saksi yang boleh diterima.

 

Hanya  jika  mereka  dipaksa menyaksi dan diugut oleh perogol atau rakan-rakannya mungkin saksi terpaksa  menyaksi tanpa  membuat  apa-apa.   Keadaan ini tidak mungkin berlaku melainkan dalam peperangan umpamanya, di  waktu  mana   rogol berlaku  tanpa  apa-apa  sekatan  seperti di Bosnia, di mana orang Serb yang bukan Islam sering merogol.   Tetapi  mereka bukan Islam dan mengikut undang-undang PAS mereka tidak akan dikenakan hukum hudud.

 

Yang  jelas ialah mangsa rogol yang membuat pengaduan tidak mungkin mendapat saksi-saksi yang  boleh  diterima  di bawah  undang-undang  PAS.    Dengan itu perogol tidak boleh didakwa di bawah undang-undang PAS.

 

Undang-undang   PAS   juga   tidak   akan   menerima 'circumstantial evidence' iaitu tanda-tanda pada mangsa yang membuktikan  ia  telah  dirogol.    Undang-undang  PAS tidak menerima kesan atau cedera luka di  tempat-tempat  berkenaan atau  tanda-tanda pada perogol yang menunjuk mangsanya telah melawan untuk mempertahankan kehormatannya.

 

Dengan tidak adanya saksi yang empat yang diterima  sah oleh   undang-undang   PAS   dan  penolakan  'circumstantial evidence' maka pengaduan dan tuduhan oleh mangsa rogol  akan ditolak.  Perogol akan terlepas daripada apa-apa hukuman.

 

Sementara  itu  jika  wanita  yang  tidak  berkahwin melahirkan anak maka ia dianggap telah melakukan zina.  Oleh kerana ia tidak dapat membuktikan ia telah dirogol  maka  ia tidak  akan  dapat  mempertahankan  dirinya daripada tuduhan zina  apabila  ia  hamil  dan  melahirkan  anak.    Mengikut undang-undang   PAS   wanita  yang  tidak  berkahwin  tetapi melahirkan anak adalah salah kerana zina.    Dengan  itu  ia akan  dihukum kerana berzina.  (Seksyen 46 Sub seksyen 2) -- Undang-undang PAS.

 

Hukuman ini berat,  jika  yang  melakukan  zina  itu telah  berkahwin,  boleh  dihukum  dengan rejam sampai mati. Jika dia belum  berkahwin,  boleh dihukum   dengan   sebatan sebanyak 100  kali.  Terdapat pandangan baru dalam hukuman rejam ke atas orang  yang  telah  berkahwin tetapi ini telah tidak diambil kira.

 

Apakah  boleh  umat  Islam  menerima bahawa menghukum mangsa rogol tetapi melepaskan  orang  yang  merogol  adalah adil?    Kita  boleh  kata  bahawa wanita sepatutnya menjaga dirinya dan tidak bergerak ke mana-mana tanpa  muhrim  untuk mengelak  daripada  dirogol.   Tetapi kita tahu bahawa walau bagaimana  dijaga  sekalipun  akan  ada  wanita  yang   akan dirogol.  Mereka boleh diculik walaupun selalu berada dengan muhrim.  Kemudian mereka boleh dirogol.

 

Apakah  kita  boleh  terima  bahawa  menghukum mangsa jenayah dan melepaskan penjenayah adalah adil?  Sudah  tentu siapa sahaja akan menganggap hukuman seperti ini tidak adil, bahkan  menganiayanya.   Apakah wanita dalam masyarakat yang sanggup menghukum mereka jika  mereka  dirogol  akan  berasa terselamat?  Apakah  masyarakat  yang  begitu tidak  adil sehingga melepaskan perogol dengan  sewenang-wenangnya  akan menjadi tenteram?  Apakah ada keadilan dalam masyarakat yang sedemikian?

 

Islam  adalah agama yang membawa keadilan kepada Arab Jahiliah dan kepada  umatnya  yang  lain.  Islam  menjamin keadilan  bagi  semua  rakyat yang berada dalam negara Islam dan masyarakat  Islam.  Islam  tidak  mungkin  mengizinkan etidakadilan  menjadi sebahagian daripada ajarannya.  Islam tetap menegakkan keadilan dan mempertahankannya.  Kezaliman bukan sesuatu yang menjadi sifat KeIslaman.

Firman Allah S.W.T. dalam Surah Saad Ayat 27 - bermaksud;

     "  Dan  tiadalah  kami  mencipta  langit dan bumi serta segala  yang ada di antara  keduanya  sebagai  ciptaan yang tidak mengandungi  hikmat  dan  keadilan  ".

 

Dalam   Surah  Asy-Syura Ayat  17 Allah Berfirman bermaksud,

     "  Allah  yang  menurunkan  Kitab  suci  dengan membawa  kebenaran,  dan  menurunkan  keterangan  yang  menjadi   neraca  keadilan ".

 

Dalam Surah Arrahman Ayat 7 -

     "  Dan langit  dijadikannya  tinggi serta Ia mengadakan  undang-undang dan peraturan neraca keadilan ".

 

Ayat  8

     "  Supaya kamu tidak melampau batas  dalam  menjalankan  keadilan ".

 

Justeru  itu  sebarang  kezaliman  yang berlaku dalam masyarakat Islam bukanlah kerana  ajaran  Islam.    Sebarang kezaliman  dalam  masyarakat  Islam  dan negara Islam adalah kerana umat Islam atau pemimpin Islam  atau  Kerajaan  Islam idak  mengikut  ajaran  Islam atau mereka menyalahtafsirkan ajaran Islam yang sebenar.  Dan ini memang kerap berlaku dan enyebabkan masyarakat  dan  negara  Islam  menjadi  mundur, tidak tertib, kucar-kacir dan lemah.

 

Undang-undang  PAS adalah hasil tafsiran PAS terhadap ajaran agama Islam.   Ia bukanlah undang-undang  Islam  yang sli.    Ia  juga  bukan mengikut tafsiran ajaran Islam yang tepat.  Ia adalah hasil kefahaman  dan  kajian  agama  Islam ang  dibuat oleh orang-orang yang mempunyai kefahaman Islam yang tidak mendalam.  Lebih buruk lagi ialah ia dibuat  oleh orang  dan  puak  yang  mempunyai kepentingan tertentu, yang mana  kepentingan  ini  tidak  ada   kena   mengena   dengan kepentingan  Islam.  Kepentingan Islam dalam sesebuah negara mengambilkira maqasid Am Syariah.   Ini  telah  diketepikan. Ia  adalah dipengaruhi oleh kepentingan politik sebuah parti politik yang dicipta oleh orang  yang  beragama  Islam  yang sama  dengan orang Islam lain di zaman ini dan dalam sejarah Islam.  Dan kita lihat bagaimana  berkali-kali  orang  Islam atau  Kerajaan  orang Islam sengaja menyalahtafsirkan ajaran agama  Islam  untuk  kepentingan  mereka.  Sudah   tentu undang-undang PAS hasil tafsiran PAS termasuk dalam tafsiran golongan  tersebut.  Ini bukan kali pertama yang orang Islam membuat kesuatu yang tidak Islam tetapi berselindung  dengan agama  Islam.   Sepanjang sejarah Islam perkara ini berlaku. Jika tidak kenapakah orang Islam yang  bersaudara  berperang sesama   sendiri?   Tidakkah   peperangan   sesama  Islam bertentangan dengan  ajaran  Islam?    Tetapi  masing-masing mendakwa  mereka  berperang kerana Islam, bahkan menggunakan nama Allah.

 

Ajaran Islam tidak salah.  Adalah mustahil ajaran Islam menghasilkan undang-undang  yang  begitu  jelas  tidak  adil seperti   yang   telah   dihuraikan   berkenaan  kes  rogol. Ketidakadilan tidak boleh berlaku jika  ajaran  agama  Islam dilaksanakan.  Jika ia berlaku maka ia bukan daripada ajaran agama   Islam.      Adalah   dusta   jika   sesiapa  berkata ketidakadilan adalah Islam dan keadilan adalah tidak Islam.

 

Lebih buruk lagi ialah undang-undang PAS  bukan  sahaja tidak  adil tetapi ia menyebabkan agama Islam menjadi ejekan orang  lain,  memburukkan  imej  Islam,  dan  memisah  serta menjauhkan  orang lain daripada agama Islam dan orang Islam. Jika undang-undang PAS dilaksanakan maka  bilangan  penganut agama  Islam  tidak akan bertambah, bahkan akan berkurangan. Sebaliknya kita tahu Islam telah berkembang sebelum ada  PAS dan  undang-undang PAS.   KeIslaman orang PAS sendiri adalah kerana tidak ada PAS dan undang-undang PAS  di  zaman  orang Melayu menerima Islam.

 

Kerana  ketidakadilan ini sahaja pun kita tidak boleh terima  undang-undang  PAS   sebagai   undang-undang   Islam sebenar.  Tetapi undang-undang PAS mempunyai unsur-unsur dan kesan-kesan   lain   yang   buruk  yang  juga  tidak  Islam. Umpamanya di negara berbilang kaum seperti di Malaysia ianya dihadkan oleh Kerajaan PAS kepada orang Islam sahaja.

 

Di zaman Nabi memang benar orang Yahudi dihukum  dengan undang-undang  mereka  semasa  Nabi  memerintah  di Madinah. Tetapi hukuman di bawah undang-undang Taurat  Yahudi  adalah sama berat dengan hukuman di bawah undang-undang Islam.

 

Apabila  orang  Islam  memerintah  negara-negara  yang mempunyai rakyat yang bukan beragama Islam, umpamanya  orang Kristian  Koptik  di Mesir,   undang-undang  yang  dikenakan ke atas orang Koptik ialah  undang-undang  yang dicipta oleh Kerajaan Islam hasil kajian dan interpretasi mereka terhadap ajaran Islam.  Oleh itu orang Koptik tidak dikenakan bayaran zakat dan fitrah.    Mereka  dikenakan  cukai  kepala,  atau jizyah iaitu  tiap  seorang  orang  Koptik  dikenakan  cukai sekian  banyak tiap-tiap  tahun.    Ini juga amalan beberapa Kerajaan Islam  dahulu.  Setelah  membayar  jizyah  mereka mendapat perlindungan.   Mereka boleh dikecualikan  daripada perkhidmatan ketenteraan.   Dengan  mengenakan  jizyah  maka cukai  ke  atas  orang bukan Islam menjadi sama dengan orang Islam.  Tidak siapa boleh berkata  jizyah  tidak  adil  atau

zakat tidak adil.

 

Ini adalah undang-undang Kerajaan Islam.  Akan tetapi cara  pelaksanaannya  berubah   mengikut   keadaan. Ada fleksibiliti dalam pelaksanaan.  Jika masyarakat atau negara Islam  lain  tidak  menerima  atau  tidak mengamalkan sistem cukai jizyah ke atas orang bukan Islam, ini  tidak  bermakna bahawa  mereka  tidak  Islam.    Mereka masih Islam.   Hanya keadaan di sesebuah negara itu yang boleh menentukan.  Dalam perkara ini kaedah fekah ada menyatakan, " Hukum itu berubah dengan sebab perubahan masa, tempat dan waktu "  dan  kaedah lain  menyatakan,  " Tindakan imam atau ketua negara ke atas rakyat bergantung kepada maslahah ".     Kaedah-kaedah   ini terkandung  dalam  prinsip  yang besar yang dipanggil Siasah Syari'ah.

 

Undang-undang PAS tidak akan dikenakan  ke  atas  orang bukan  Islam  di  Kelantan.    Tetapi  orang  bukan Islam di Kelantan tidak terletak  di  bawah  undang-undang  mana-mana kitab.    Mereka  terletak  di  bawah  undang-undang ciptaan manusia.

 

Selain daripada itu hukum di bawah  undang-undang  yang akan dikenakan ke atas orang bukan Islam amat berbeza dengan hukuman  ke  atas  orang  Islam  di bawah undang-undang PAS. Sementara orang Islam yang berzina  akan  dikenakan  hukuman rejam  dengan batu sampai mati, orang bukan Islam hanya akan didenda atau di  penjara  buat  beberapa  bulan  atau  tahun sahaja.    Bolehkah  kita menerima hukuman bunuh dan hukuman penjara itu sama?

 

Sebaliknya mengikut Taurat Yahudi  orang  yang  berzina dikenakan  hukuman rejam dengan batu sampai mati, iaitu sama dengan hukuman dalam Islam.  Inilah hukuman yang  dijatuhkan oleh  Nabi  apabila  sepasang orang Yahudi dihadapkan kepada  Baginda kerana berzina.   Tidaklah ada  sesiapa  yang  boleh berkata  hukuman  ke  atas  orang  bukan  Islam lebih ringan daripada hukuman ke atas orang Islam.  Dengan perkataan lain ketidakadilan tidak berlaku di Madinah di bawah pemerintahan Nabi.

 

Sekali lagi  terbukti  yang  undang-undang  PAS  tidak sedikit  pun  berasas  kepada  maqasid  syariah.    Ia  akan menyebabkan ketidakadilan yang  ketara  berlaku dan ketidakadilan tidak boleh dianggap sebagai Islam.  Perbezaan hukuman  bagi orang Islam dan orang bukan Islam adalah tidak Islam.

 

Undang-undang PAS adalah hasil  tafsiran  agama  Islam oleh  orang  PAS.    Tiada  ada siapa yang berhak menjadikan tafsirannya sebahagian daripada agama Islam.  Punca dan asas agama Islam hanyalah al-Quran dan Sunnah Nabi.

 

Tafsiran  oleh  orang  lain  walaupun  melalui  proses ijtihad  tidak  menjadi sebahagian daripada hukum Islam yang mutlak sehingga penolakannya  menjadi  seseorang  Islam  itu murtad.

 

Kita  tahu  bahawa  penentuan  hukuman, tafsiran atau pandangan Islam terhadap  sesuatu  walaupun  melalui  proses ijtihad  berbeza  di  antara  kumpulan  dengan kumpulan, dan daripada satu masa  ke  satu  masa.    Apatah  lagi  apabila tafsiran,  hukuman  dan  pandangan yang dibuat tidak melalui proses ijtihad yang sah.

 

Undang-undang PAS bukanlah hasil  proses  ijtihad  yang sah.  Ia dibuat kerana kepentingan yang lain daripada agama, khususnya  kerana  politik parti PAS.   PAS sendiri mendakwa bahawa  undang-undang ini dibuat kerana tekanan politik oleh UMNO.  Ia bukan kerana politik Islam.    Politik  parti  dan politik  Islam bukan perkara yang sama.  Dengan itu ia tidak boleh diterima sebagai sah di sisi agama Islam.

 

Hukuman yang tidak sama, hukuman yang membezakan antara pesalah yang melakukan kesalahan  yang  sama,  hukuman  yang amat  berat  bagi  seseorang pesalah tetapi amat ringan bagi pesalah yang lain yang melakukan kesalahan yang sama  adalah tidak  adil,  baik  daripada  segi  Islam  atau bukan Islam. Hukuman yang tidak adil  tidak  boleh  dikatakan  berasaskan kepada  agama Islam.   Dalam Islam ketidakadilan tidak boleh berlaku.   Jika ia berlaku sudah  tentu  ia  bukan  daripada Islam.      Dakwaan  PAS  dengan  sewenang-wenangnya  bahawa undang-undang ciptaan PAS hanya akan dikenakan kepada  orang Islam  sahaja dan tidak kepada orang bukan Islam tetap tidak adil dan dengan itu tidak Islam.

 

Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. ada bersabda,

     " Sesungguhnya  yang  menyebabkan  binasanya  orang  di zaman silam ialah kerana  mereka apabila seorang yang mempunyai kedudukan di kalangan mereka mencuri mereka biarkan  dan apabila orang  yang  lemah  di  kalangan mereka  mencuri,  mereka  potong tangannya. "

 

Islam  bukan  agama  yang  buta  tuli,  yang  tidak mengambilkira  keadaan,  yang  tidak  mengambilkira  masalah penganutnya  dan  umat Islam setempat atau keseluruhan, yang membebankan individu Islam dan umat Islam.  Sebaliknya Islam adalah agama Tuhan yang Maha  Pemurah  dan  Maha  Penyayang, yang   memberi   pertimbangan  kepada  segala  masalah  yang dihadapi oleh penganut dan  umat,  yang  tidak  menekan  dan menyusahkan  mereka.    Kalaulah  dalam  perkara  ibadah ada kelonggaran,   apakah  dalam  perkara perundangan tidak ada?

 

Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Hajj  ayat  78  yang bermaksud,

     "  Dan  sekali-kali  tidak  menjadikan untuk kamu dalam agama  suatu kesempitan ".

 

Untuk itu banyak kelonggaran diberi dalam pengamalan ajaran-ajaran Islam,  dalam pelaksanaan  dan  amalan  ibadat dan  sudah tentu dalam penguatkuasaan hukum.  Sebagai contoh amalan rukun Islam yang lima pun diberi  kelonggaran.   Bagi anak  kecil  yang  belum  boleh bertutur dan memahami,  bagi orang yang bodoh atau gila, lafaz dua kalimah syahadat tidak dikenakan.    Demikian  bagi orang yang diancam seksaan atau bunuh  tidak  melafazkan dua  kalimah syahadat tidak menjadi kesalahan asalkan diniat dalam hati.

 

Untuk solat, keadaan alam sekeliling diambilkira.  Yang pertamanya   masa   dilonggarkan,  bahkan  sembahyang  boleh didahulukan atau  ditangguhkan,  dipendek  atau  dicantumkan dalam  keadaan  tertentu.   Bagi yang sakit yang tidak dapat bergerak dengan sempurna,  gerakbadan  semasa  bersembahyang tidak  diperlukan sepenuhnya sebelum sembahyang menjadi sah. Bahkan penganut Islam boleh sembahyang sambil tidur,  sambil duduk atau semasa bergerak dalam kenderaan.  Untuk wuduk pun banyak  kelonggaran diberi.   Islam memberi 'rukhsah' kepada umatnya.

 

Demikian juga dengan puasa, mengeluar zakat dan  ibadat haji.     Semuanya  bergantung  kepada  kemampuan  tertentu. Tidaklah  menjadi   kesalahan   dan   berdosa   jika   tidak melakukannya kerana keadaan tidak mengizinkan, kerana sakit, kerana miskin dan sebab-sebab lain.  Jelas sekali fardhu ain pun  tidak dipaksa ke atas umat dengan begitu keras sehingga menimbul masalah dan menjadi beban  kepada  mereka.    Jelas bahawa semuanya dibenarkan mengikut prinsip-prinsip Islam.

 

Larangan  terhadap  orang  Islam  juga  mengambilkira keadaan dan masalah yang dihadapi.  Daging babi tidak  boleh dimakan.  Tetapi oleh kerana Islam menghargai nyawa manusia, terutama  nyawa orang Islam, daging babi pun dihalalkan jika tidak ada makanan lain untuk menyelamatkan nyawa.    Darurah membolehkan yang terlarang.

 

Sudah  tentu  dalam  pelaksanaan  hukum  hudud, ianya tidaklah sehingga memudaratkan orang  Islam.    Hukum  hudud adalah  untuk  keadilan  dan kebaikan ummah.  Jika ini tidak tercapai kerana keadaan  atau  sebab-sebab  lain,  ia  boleh ditangguhkan   pelaksanaannya.      Sebagai   contoh   dalam pemerintahan Khalifah Hisyam bin  Abdul  Malik,  pelaksanaan hukum  hudud  telah  digantungkan selama setahun.  Tentu ada justifikasinya mengapa pemerintahan Islam ketika  itu  tidak melaksanakan  hukuman  hudud.    Menguatkuasakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam, sehingga menjadi masyarakat mereka kucar kacir dan ditindas  oleh  orang  lain  tidaklah secocok  dengan  amalan  ibadat-ibadat dan ajaran Islam yang lain yang memberi berbagai-bagai  kelonggaran  supaya  tidak menjadikan  beban  kepada  orang Islam.   Allah Subhanahu wa Ta'ala  yang  disebut   berkali-kali   sebagai   Yang   Maha Mengasihani  dan  Maha  Menyayangi  tidak  menjadikan  Islam sebagai agama yang zalim dan tidak bertimbangrasa.

 

Yang  menyebabkan  Islam  menjadi  beban,  zalim  dan penghalang  kepada  kesejahteraan  umat  Islam  ialah  orang tertentu yang fanatik dan  ingin  menjadikan  Islam  sebagai agama ibadah dan amalan buta-tuli.

 

Ini  mungkin  benar  dalam  agama-agama  lain  yang menganggap ibadat yang  menyusah  dan  menyeksa  pengikutnya boleh  menguji  kekuatan  pegangan  kepada  agama berkenaan. Dengan itu banyaklah acara  menyeksa  diri  yang  diamalkan. Kadang-kadang  membunuh  diri  dianggap  perlu dan baik bagi penganut yang setia, yang kuat kepercayaannya.

 

Dalam Islam tidak ada ajaran yang menyeksa  diri  untuk mendapat  pahala.   Banyak kelonggaran diberi sehingga dalam keadaan tertekan orang Islam  boleh  secara  zahir  menerima agama  lain  tetapi secara tersembunyi terus memegang kepada agama Islam.  Sebab itu di zaman Komunis memerintah beberapa negara Islam di Eropah Timur dan Asia  Tengah,  agama  Islam ternampak  seolah-olah  sudah hilang.  Tetapi apabila sahaja Komunis ditewas,  Islam  kembali  kepada  negara-negara  ini walaupun berpuluh tahun telah berlalu setelah Islam ditegah.

 

Jika kelonggaran diberi dalam Islam sehingga ke peringkat ini, apakah dalam pelaksanaan hukum hudud tidak ada sama sekali kelonggaran, tidak ada  faktor  dan  keadaan yang  diambilkira?    Apakah  hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau  apapun  keadaan  sehingga  mendatangkan  mudarat kepada  orang  Islam  dan agama Islam?  Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang  boleh  melemahkan  lagi orang  Islam  mesti  dilaksanakan juga?   Apakah orang Islam yang  tinggal  di  negara  majoriti  bukan  Islam   terpaksa melaksanakan  juga  hukum  hudud  sehingga mereka didakwa di bawah undang-undang negara berkenaan?   Bukankah  Islam  itu luas  dan  `flexible' serta mampu `respond' kepada perubahan yang berlaku pada umat manusia, perubahan masa  dan  tempat. Inilah  yang menyebabkan Islam itu sesuai dengan setiap masa dan  tempat.    Keadaan  yang  berlaku  tentu   diambilkira. Lebih-lebih lagi apabila keadaan umat Islam itu berada dalam keadaan  lemah dan kurang kemampuan.  Keadaan demikian boleh dianggap sebagai berada dalam keadaan

darurat.

 

Islam bukan agama buta-tuli  yang  tidak  mempedulikan keadaan  sekeliling dan kesan daripada pengamalan ajarannya. Tuhan yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi  tidak  akan menyeksa  umatnya.  Yang buta tuli ialah sesetengah daripada ahli fikh dan pentafsir fanatik dalam  Islam.    Mereka  ini yang  menjadikan  agama  Islam beban besar kepada umat Islam sehingga mereka lemah dan tidak dapat menjayakan diri mereka walaupun untuk akhirat.  Yang ingin menjadikan  agama  Islam agama  buta  tuli  ialah  mereka  yang mempunyai kepentingan lain, umpamanya politik persendirian.

 

Undang-undang  PAS  perlu  dikaji  sebelum  ia  boleh diterima  atau  ditolak  oleh  sebuah  Kerajaan  yang  ingin menerap nilai-nilai Islam seperti Kerajaan Barisan Nasional. Sudah  tentu  Kerajaan  tidak  boleh  membelakangkan  dengan sewenang-wenangnya   undang-undang  yang  didakwa   berpunca daripada ajaran Islam.

 

Kerajaan Barisan Nasional  di  Peringkat  Pusat  telah mengambil  masa  yang  panjang  untuk mengkaji undang-undang yang diluluskan dengan begitu mudah  oleh  Kerajaan  PAS  di Kelantan.    Kajian  ini  belum  tamat.    Kajian  ini  akan diteruskan.   Tetapi untuk  memberi  panduan  kepada  rakyat negara  ini,  hasil  kajian  hingga  kini  perlu dimaklumkan kepada  mereka.     Ini  adalah  bertujuan   untuk   menjaga kepentingan  umat Islam di Malaysia tanpa mengira parti atau kumpulan.  Walaupun orang Islam di Malaysia  terselamat  dan mampu  menghadapi  banyak  cabaran dunia luar, tetapi mereka masih lemah dan  belum  dapat  memelihara  keselamatan  diri mereka.   Sudah tentu mereka belum boleh menolong umat Islam yang  tertindas  di  tempat-tempat  lain.     Justeru   itu, Kerajaan yang bertanggungjawab terhadap umat Islam dan agama Islam  tidak  boleh  membenar  mana-mana  pihak melaksanakan sesuatu yang berkaitan dengan  agama  Islam  tanpa  terlebih dahulu mengkaji baik buruk kesannya terhadap orang Islam dan agama Islam.  Kerajaan Pusat bertanggungjawab dan tidak akan mengabaikan  tanggungjawab  ini.    Kerajaan Negeri Kelantan tidak  boleh  dibenar   melakukan   sesuatu   yang  mungkin bertentangan dengan agama Islam.

 

Perkara yang pertama yang perlu ditentukan ialah apakah undang-undang   ini  dibuat  melalui  proses  yang  mengikut kehendak dan amalan dalam Islam,  iaitu  berdasarkan  kaedah feqah  yang  syaamil.    Jawapan secara ringkas tetapi tepat kepada soalan ini ialah proses ini tidak digunakan.   Segala alim  ulama  di dalam negara, bahkan di negeri Kelantan pun, tidak terlibat dalam proses tafsiran dan kajian ajaran  yang terdapat  dalam  undang-undang Hudud PAS.  Yang dibuat ialah kajian yang terhad yang tidak boleh ditafsir sebagai  selari dengan kaedah feqah dan mencapai maslahah umat Islam.

 

Mereka  yang diberi peluang mengambil bahagian adalah ulama daripada parti politik tertentu atau  yang  bersimpati dengan   parti   itu  sahaja.    Pendirian  mereka  sudahpun diketahui.     Mereka  tidak   bebas   dan   tidak   mungkin mengasingkan  diri daripada pendirian politik mereka.  Dalam keadaan ini ajaran dan  kepentingan  Islam  dan  umat  Islam tidak mendapat kedudukan yang utama dan unggul.  Kepentingan politik   parti  mempengaruhi  fikiran  dan  proses  kajian.

 

Politik Islam juga tidak mendapat tumpuan yang unggul kerana politik parti dicampuradukkan.

 

Hukum  hudud  adalah   berkenaan   dengan  jenayah. Ulama yang alim dalam ajaran Islam  dan  hukum  hakam  Islam tidak semestinya  pakar dalam bidang jenayah.    Keadaan dan jenayah di zaman  Nabi  tidak  sama  seperti  di zaman  ini. Demikian   masyarakat   diMadinah,    bahkan  masyarakat  di negara-negara   Islam   semasa   hukum   hudud  dilaksanakan sepenuhnya,  amat berbeza dengan masyarakat di  Malaysia  di waktu  ini.     Masalah  penduduk  berbilang   kaum   dengan komposisinya  di Malaysia   memerlukan  pertimbangan  secara serius  dan istimewa.    Jenis jenayah  perlu  diambil kira.

 

Hukuman dibawah  undang-undang biasa juga perlu diambilkira.

 

Untuk  semua  ini  pendapat  dan hujah-hujah daripada pakar-pakar jenayah  bukan  sahaja  di  Kelantan  tetapi  di seluruh  negara  (kerana  undang-undang  yang hendak digubal akan melibatkan secara langsung atau secara  tidak  langsung rakyat  seluruh  negara) perlu bersama dalam proses ijtihad. Tidak ada bukti  yang  pakar-pakar  ini  mengambil  bahagian sepenuhnya.    Ini bermakna proses ijtihad daripada segi ini juga tidak diamalkan.  Ini menjadikan proses rundingan cetek dan tidak menepati kehendak dan semangat ijtihad.

 

Kerana ini sahaja pun  undang-undang  PAS  tidak  boleh diterima  sebagai secocok dengan kehendak agama Islam.  Jauh daripada penolakannya menjadikan seseorang orang  Islam  itu murtad,  kemungkinannya  ialah  penerimaannya  akan  menjadi orang yang baru memeluk Islam kembali semula ke  agama  asal mereka.

 

Kajian  yang akan dibuat oleh Kerajaan Pusat terhadap undang-undang PAS tertumpu kepada semua aspek  yang  penting dalam  Islam.    Perkara yang akan dipersoalkan ialah apakah undang-undang  PAS  berkenaan  dengan  hukum   hudud  Islam menepati  dan mencapai maksud dan matlamat hukum hudud dalam Islam?

 

Soal yang kedua ialah  apakah  undang-undang  PAS  akan menjamin keadilan bagi mereka yang akan didakwa di bawahnya? Hukum hudud bukan menekan keberatan hukum dalam Islam tetapi sebaliknya adalah untuk keadilan.  Menganggap keadilan tidak penting  dalam  Islam  adalah salah.   Sebenarnya kedatangan Islamlah yang membawa  keadilan  kepada  Arab  Jahiliah  dan masyarakat  lain  yang menerima Islam.  Sebab keadilannyalah Islam mudah diterima.

 

Secara sambil lewa dan  mudah  pemimpin  PAS  mendakwa bahawa undang-undang PAS tidak akan dipaksakan ke atas orang bukan Islam.  Dakwaan ini dibuat kerana kepentingan politik. Walaupun  Nabi sendiri tidak menggunakan undang-undang Islam untuk mengadili orang bukan  Islam,  tetapi  hasilnya  masih keadilan bagi semua pihak, yang Islam dan yang bukan Islam.

 

Tetapi jika undang-undang PAS diguna untuk orang Islam dan undang-undang jenayah biasa  diguna  untuk  bukan  Islam maka  hasilnya  ialah  perbezaan  hukuman  yang  amat ketara antara penjenayah Islam  dan  penjenayah  bukan  Islam  bagi jenayah  yang  sama.    Perbezaan hukuman untuk jenayah yang sama amatlah tidak adil bagi  apa  juga  sistem  nilai  atau agama.

 

Daripada kajian yang telah dibuat amatlah jelas bahawa undang-undang PAS Kelantan adalah tidak menepati  sepenuhnya undang-undang,  semangat dan sifat-sifat yang ada pada agama Islam.   Ia  tidak  mengasaskan  sepenuhnya  kepada  maqasid syariah.     Undang-undang  PAS  bukan  sahaja  tidak  boleh diterima tetapi setakat ini hendaklah ditolak.

 

Ini tidak bermakna kita menolak  hukum  hudud.    Kita hanya  menolak  tafsiran dan undang-undang PAS Kelantan yang tidak serasi dengan maqasid syariah.  Penolakan sesuatu yang salah adalah wajib jika kita berpegang kepada ajaran Islam.

 

UMNO tidak melihat  undang-undang  ini  sebagai  UMNO, sebagai  sebuah  Parti Politik.  UMNO mengasingkan parti dan politik dalam perkara ini.   UMNO  hanya  mengkaji  daripada sudut agama semata-mata.  Siapa juga mesti kaji, terima atau tolak  undang-undang PAS daripada sudut agama.  Adalah salah melihat undang-undang Islam daripada sudut atau kepentingan Parti.    UMNO tidak berbuat demikian.

 

Yang menolak dan patut menolak undang-undang PAS ialah orang Islam dalam  UMNO.  Pendirian UMNO sehingga kini ialah kerana orang Islam dalam  UMNO  belum  mendapat bukti kajian yang tepat  dilakukan  berlandaskan  ilmu feqah dan maqasid syariah. la bukanlah satu keputusan yang  dibuat  oleh  UMNO secara sewenang-wenang.

 

Saya bercakap di sini sebagai seorang orang Islam yang dipertanggungjawab  sebagai  Presiden  UMNO.   Saya   juga dipertanggung  jawatan  Perdana  Menteri  Kerajaan Malaysia. Soal undang-undang PAS bukan soal Dewan Rakyat  semata-mata, walaupun    Dewan    Rakyat   mempunyai   peranan   mengikut Perlembagaan Negara.

 

Kerajaan perlu mengkaji secara teliti undang-undang PAS Kelantan.  Satu badan yang terdiri daripada orang Islam yang pakar dalam agama, hukum hakam dan  jenayah  perlu  ditubuh. Mereka  ini  hendaklah  terdiri  daripada  orang  yang tidak mempunyai apa-apa  kepentingan  yang  lain  selain  pegangan kepada  agama  Islam.    Namun  mereka perlu kepakaran bukan sahaja dalam agama Islam tetapi juga dalam agama-agama  lain dan   dalam  bidang  jenayah  dan  undang-undang  sivil  dan jenayah.  Seperti biasa mereka perlu  mengambilkira  keadaan semasa  yang  mempengaruhi  amalan  dan  pelaksanaan ajaran, ibadat dan hukum dalam Islam.

 

Kerajaan   Malaysia,   sebagai    Kerajaan    yang bertanggungjawab  terhadap  agama dan umat Islam di Malaysia akan  mengambil  tindakan  untuk   menubuhkan   badan   ini.  Sementara  itu  undang-undang  PAS tidak boleh diterima atau dilaksanakan   oleh   sesiapa   kerana   ia   masih    bukan undang-undang Islam dan bukan undang-undang negara.