SUQIU PERLU LUPAKAN TUNTUTAN
 
PENOLAKAN orang Melayu dan sebahagian besar masyarakat keturunan Cina terhadap tuntutan Jawatankuasa Rayuan 
Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu) adalah tepat kerana menyedari hakikat bahawa ia mampu 
menggoncang ketenteraman yang dinikmati oleh rakyat sekarang. 

Penolakan itu juga wajib menjadi pengajaran kepada Suqiu dan golongan yang berkepentingan bahawa rakyat dari pelbagai
 kaum, khususnya orang Melayu tidak akan berkompromi dengan tuntutan yang akan memudarkan keluhuran asas
 Perlembagaan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh tiga parti politik yang mewakili tiga kaum sebelum negara 
mencapai kemerdekaan. 

Sesungguhnya, tiada siapa berhak menggugat persetujuan ini kerana orang Melayu telah membuat pengorbanan besar untuk
 mendapatkan Hak Keistimewaan mereka dipersetujui dan atas sebab itu mereka tidak akan merelakan tuntutan Suqui 
yang bakal menidakkan persetujuan lalu. 

Tuntutan itu amat sensitif bagi orang Melayu dan sekiranya Suqui masih mahu memperingatinya dengan menjadikannya
 sebagai acara tuntutan tahunan, ia akhirnya mampu membuka ruang konflik yang lebih serius.

Orang Melayu yang bangga dengan ketuanannya mahu pengorbanan mereka dihargai dan perjanjian tiga kaum terbesar 
di negara ini yang menjadi teras kedamaian selama ini mesti dihormatkan. 

Suqiu tidak boleh lupa hakikat ini dan orang Melayu pernah menyuarakan penentangan keras sebelum ia menjadi hampir 
sepi kerana menghormati kehendak pemimpin tertinggi negara. 

Tetapi, suara dan penentangan seterusnya tidak mungkin boleh dibendung sekiranya tuntutan yang hanya mewakili segelintir
puak yang berkepentingan diteruskan juga tanpa menghiraukan sensitiviti orang Melayu. 

Dengan lain perkataan, Suqiu hanya mempunyai dua pilihan. Pertama lupakan tuntutan yang mampu merobek hati dan 
perasaan orang Melayu dan kedua, jika mahu diteruskan juga, ia harus bersedia menerima penentangan keras dan kutukan
 berpanjangan dari majoriti rakyat Malaysia. 

Sesungguhnya, kita tidak faham apa lagi yang diingini sehingga Suqiu berani mengemukakan 83 tuntutan, yang bukan hanya 
mampu mengusik sensitiviti kaum lain malah boleh menjurus kepada kocakan ketenteraman negara. 

Walau apa pun motifnya, kita sependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan 
akan membelakangkan kontrak sosial dan mengetepikan Perlembagaan Malaysia jika semua tuntutan Suqiu diterima. 

Apa yang lebih menyedihkan ialah tuntutan itu membayangkan semua orang keturunan Cina perlu mendapat semua perkara 
yang dianggap sebagai hak mereka dan ini bererti persatuan itu bukan hanya cuba mencabar kontrak sosial yang dipupuk
 selama ini tetapi juga cuba merebut semua untuk satu kaum sahaja. 

Inilah yang dapat diandaikan daripada maksud memansuhkan perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera. 

Suqiu wajib menghentikan sikap ini dan perlu melupakan tuntutan yang mampu mengusik hati orang Melayu. Kembalilah
 ke landasan perpaduan yang telah terbukti berjaya mewujudkan perpaduan sesama kita selama ini.