Tuntutan Suqiu melampau
 
MENJELANG pilihan raya umum November 1999, sebuah Gabungan Persatuan-persatuan Cina (Suqiu) telah
mengemukakan 83 tuntutan di bawah 17 Perkara.Tuntutan ini disifatkan sebagai memenuhi hak kaum Cina di negara ini. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri dalam Perutusan Hari Kemerdekaan ke 43, menyifatkan Suqiu sama dengan komunis 
kerana mengamalkan sifat ekstremisme. 

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock mengemukakan soalan meminta Perdana Menteri Datuk Seri
 Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan maksud komunis seperti yang dilabelkan beliau kepada Suqiu yang dikatakan 
telah menyinggung perasaan kaum Cina. 

Berikut jawapan penuh Perdana Menteri, kepada soalan berhubung Suqiu di Dewan Rakyat. 

SOALAN asal Kerk Kim Hock (DAP-Kota Melaka) meminta Perdana Menteri menyatakan: 

a) Apakah beliau maksudkan dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan ke-43 yang menyatakan jawatankuasa 
Suqiu tidak banyak berbeza dengan komunis dulu yang hendak menghapuskan sama sekali kedudukan istimewa orang Melayu; 
dan dari segi pendekatan, mereka adalah sama dengan Al-Ma'unah; dan 

b) Adakah beliau sedar bahawa kata-katanya yang tidak berasas dan telah menyinggung perasaan komuniti Cina. 

Jawapan: 

MALAYSIA adalah sebuah negara berbilang kaum yang aman dan makmur. Semasa Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu
 mencapai kemerdekaan ramai yang meramalkan bahawa Malaya bukan sahaja tidak akan maju tetapi tidak akan aman kerana
 orang Melayu akan merebut kuasa dan akan menindas kaum-kaum lain. Ini adalah kerana 80 peratus daripada warganegara 
Persekutuan Tanah Melayu semasa kemerdekaan dicapai adalah orang Melayu yang termiskin dan ketinggalan dalam bidang 
pelajaran dan perniagaan. 

Pada masa itu pendekatan yang popular di negara yang baru merdeka ialah memiliknegarakan semua perniagaan dan 
perusahaan dan mengagihkan kekayaan kepada warganegara. Tetapi pemimpin-pemimpin Melayu telah bermuafakat dengan 
pemimpin-pemimpin kaum Cina dan India yang diwakili oleh MCA dan MIC supaya rampasan harta tidak dilakukan dan 
sistem sosialis ditolak. 

Sebaliknya lebih satu juta penduduk bukan Melayu diberi kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu setelah mereka bersetuju 
dan mengiktiraf orang Melayu sebagai bumiputera anak watan dengan hak istimewa. Dengan perkataan lain orang Melayu
 sanggup cairkan (dilute) dominasi mereka dalam politik kerana ingin mengiktiraf hak bukan Melayu dan menerima konsep
 negara berbilang kaum. 

Pakatan atau sosial kontrak ini membolehkan semua kaum menuntut kemerdekaan bersama. Malangnya setelah merdeka
 tidak banyak kemajuan yang dicapai oleh orang Melayu dan bumiputera lain. Mereka memiliki hanya 1 peratus sahaja dari
 kekayaan dan punca kekayaan negara. 

Dalam pilihan raya 1969 apabila mereka lihat bagaimana hak istimewa mereka tidak menjamin kemajuan mereka dan setelah 
diejek oleh parti tertentu bahawa mereka akan hilang kuasa mereka, maka rusuhan kaum berlaku. 

Sekali lagi ramalan bahawa Malaysia tidak akan dapat dipulih dan akan terus dilanda huru-hara dan rusuhan kaum sepanjang 
masa. Tetapi kebijaksanaan pemimpin-pemimpin Perikatan sekali lagi diperlihat apabila Mageran yang dikuasai oleh orang 
Melayu tidak dikekalkan. 

Sebaliknya pemimpin Perikatan mengajak semua parti dan semua kaum berunding untuk menjalin kerjasama antara kaum 
yang baru. Rundingan ini akhirnya menghasilkan pendekatan baru untuk menyelesaikan masalah ketidakseimbangan 
pembangunan antara kaum.

Dengan itu Dasar Ekonomi Baru dibentuk dan dilaksanakan. Walaupun 60 peratus dari warganegara Malaysia terdiri dari
 orang Melayu dan bumiputera lain, Dasar Ekonomi Baru hanya memperuntukkan 30 peratus dari kekayaan ekonomi negara
 bagi mereka. 

Untuk mencapai matlamat yang sederhana ini beberapa affirmative action plan dilaksanakan. 

Untuk meningkatkan ekonomi bumiputera dari 1 peratus kepada 30 peratus pertumbuhan sebanyak 3000 peratus dalam
 masa 20 tahun diperlukan. Bagi bukan bumiputera pertumbuhan 33 peratus dalam 20 tahun mencukupi untuk mencapai 
matlamat 40 peratus. Tidak hairanlah jika hari ini Melayu dan bumiputera mencapai hanya 20 peratus. Itu pun 17 peratus
 dimiliki oleh agensi kerajaan dan hanya tiga peratus oleh orang Melayu. Bukan bumiputera pula sudah mencapai jauh lebih 
tinggi dari 40 peratus yang dijadikan matlamat Dasar Ekonomi Baru. 

Jika diberhentikan affirmative action maka prestasi orang Melayu dan bumiputera lain akan merosot. Mereka akan kembali 
menjadi kaum yang termiskin dan terasing di negara mereka sendiri. Sudah tentu ketegangan akan berlaku dalam hubungan 
mereka dengan kaum-kaum lain. Keamanan tidak boleh dijamin dan kemajuan juga akan tergugat. 

Di Malaysia kita terima hakikat bahawa tidak akan ada mana-mana kaum yang akan dapat semua yang dianggap sebagai
 hak oleh mereka. Semua kaum mesti korban sedikit supaya hak orang lain tidak terhakis. Sebab itu keharmonian antara 
kaum dan pembangunan yang pesat dapat dicapai di Malaysia. 

Suqiu telah membuat 83 tuntutan di bawah 17 tajuk. Walaupun ada beberapa yang boleh diberi pertimbangan tetapi 
umumnya tuntutan Suqiu ialah supaya orang Cina mendapat semua yang mereka anggap senagai hak mereka. Inilah maksud 
dan hasil daripada memansuhkan perbezaan antara bumiputera dengan bukan bumiputera. 

Memang benar Suqiu tidak berkata demikian. Seperti juga dengan Malaysian Malaysia, yang dituntut ialah hak sama rata 
dan meritokrasi. Kita sudah lihat di sebuah negara berdekatan dan di negara negara lain yang telah dirampas oleh pendatang
 asing daripada penduduk asal, bagaimana penduduk asal yang diketepikan menjadi miskin dan daif dan tidak berperanan 
dalam pemerintahan apabila hak sama rata dan meritokrasi diamalkan kononnya. Sebenarnya mereka sengaja disekat dan 
ditindas. 

Kajian ilmiah yang dibuat di negara tertentu menunjuk bagaimana kaum yang lemah dapat diketepikan sama sekali dan kekal 
dalam kemiskinan dan kedaifan tanpa affirmative action. 

Saya tidak berhajat untuk mengulas semua yang terkandung dalam tuntutan Suqiu. Jika semua 83 tuntutan Suqiu diterima 
maka bukan sahaja kita perlu membelakangkan sosial kontrak, asas negara yang terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India
 tetapi Perlembagaan Malaysia juga akan diketepikan. Saya yakin jika ini dibuat negara kita tidak lagi akan aman dan tidak 
mungkin maju. 

Sebagai Perdana Menteri, saya bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan negara. Saya tahu sebarang 
percubaan untuk merampas hak Melayu dan bumiputera akan menyebabkan huru-hara berlaku. Ia tidak menjadi serius
 dan rusuhan tidak berlaku kali ini kerana saya melarang Pemuda UMNO dan lain-lain kumpulan orang Melayu daripada 
memprotes secara keras. Mereka diberitahu bahawa saya akan menangani tuntutan Suqiu ini. Hasutan orang asing supaya 
Malaysia juga jatuh ke dalam keadaan huru-hara seperti di negara membangun yang lain, terutama negara Islam, sudah
 berkesan di kalangan rakyat Melayu dan Cina. 

Tetapi Suqiu nampaknya ingin teruskan juga dengan tuntutan mereka. Sikap mereka tidak mengendahkan larangan untuk 
tidak membangkitkan isu sensitif dan tidak menghormati sosial kontrak, dasar-dasar negara dan arahan kerajaan adalah sama 
dengan sikap Komunis. Tindakan mereka tidak menghormati hak kaum lain sama dengan Al-Ma'unah. 

Teguran saya hanyalah terhadap kumpulan Suqiu terutama pemimpin-pemimpin tertentu mereka. Tetapi dengan pintarnya 
mereka dan akhbar Cina tertentu menjadikan teguran saya sebagai ditujukan kepada masyarakat Cina keseluruhannya. Jika
 orang Cina berasa tersinggung kerana salah faham yang disengajakan oleh Suqiu dan akhbar tertentu, saya mohon maaf. 
Tetapi saya masih berpendapat bahawa Suqiu perlu ditegur kerana mencabar sosial kontrak dan mencuba merebut semua 
untuk satu kaum melalui kononnya hak sama rata dan meritokrasi telah ditolak oleh orang Melayu setengah abad dahulu. 

Soalan tambahan Kerk Kim Hock: 

a) Apakah sebabnya tuntutan Suqiu yang ditandatangani oleh 2,095 organisasi di seluruh negara dan telah dipersetujui dan 
diterima secara prinsip oleh kabinet pada 23 September 1999 seperti diumumkan oleh MCA, Gerakan dan SUPP, tiba-tiba
 boleh jadi pihak yang boleh menggugat keselamatan negara? 

b) Perdana Menteri berkata cuma merujuk kepada pemimpin mereka. Kemungkinan Perdana Menteri tidak sedar 
kewibawaan Suqiu, menyebabkan majoriti orang Cina akan terasa apabila ia dikritik. 

Suqiu banyak kali jelaskan bahawa mereka tidak pernah menyentuh hak istimewa orang Melayu dalam Perkara 153 
Perlembagaan Malaysia, cuma Utusan Malaysia yang memutarbelitkannya bukan akhbar Cina. 

Apakah Perdana Menteri sedar ekoran kenyataannya yang tidak berpatutan itu, sebab utama kekalahan Barisan Nasional
(BN) di Lunas ialah pengundi memberi mesej jelas? 

Jawapan: 

Oleh kerana disebut pilihan raya Lunas, saya rasa perlu sebut sikit. Kita kalah kerana ugutan oleh begitu ramai penyokong
 pembangkang, penipuan dan fitnah yang dilemparkan terhadap BN. 

Antara cara untuk mendapat sokongan orang Cina terhadap bantahan Sekolah Wawasan ialah kalau ada Sekolah Wawasan
 maka budak-budak Cina akan pakai kopiah, akan dipaksa pakai kopiah. Ini semua disebar dengan meluas melalui mulut
 tetapi amat berkesan sama sekali. Cara ini menyebabkan orang Cina tiba-tiba pada tahun 1999 memberi sokongan kuat 
kepada BN sehingga mengalahkan Lim Kit Siang dan Karpal Singh, tiba-tiba bertukar dan membantah kononnya berkenaan
 tuntutan Suqiu. 

Suqiu mendakwa ia mewakili 2,000 pertubuhan. Soalnya apakah 2000 pertubuhan ini mengadakan mesyuarat dan
 membincang secara mendalam tentang tuntutan 83 dan 17 tajuk? Apakah mereka mengadakan mesyuarat dengan merujuk
 rank and file kepada persatuan yang mereka dakwa wakili? 

Kalau perkara yang begini serius hendak dibuat di Malaysia ini yang penduduknya berbilang kaum yang sensitif terhadap 
hak masing-masing, tentulah satu rundingan teliti dibuat dan rundingan perlu terbuka kepada orang ramai. Kita juga nak tahu
 apakah yang mereka runding, apakah satu persatu daripada 83 tuntutan itu dirunding oleh 2,000 persatuan Cina dan mereka
 memberi pandangan mereka bersetuju. 

Saya tidak mendapat laporan, dalam akhbar Cina pun tidak ada laporan. Tiba-tiba beberapa orang datang dengan
memorandum ini membuat tuntutan yang bukan-bukan untuk menghapuskan hak orang Melayu dan bumiputera lain. 

Kita tahu selama 43 tahun merdeka, kita telah cuba mengimbangkan ekonomi antara bumiputera dan bukan bumiputera 
tetapi kita gagal. Kalau pun ada bumiputera yang boleh menjadi kontraktor dan mendapat lesen dan sebagainya, mereka 
dapat kontrak kerana kontrak kerajaan semata-mata. Di luar daripada kerajaan mereka tidak mendapat kontrak apa-apa. 
Ini menunjukkan tanpa hak istimewa mereka tidak mungkin dapat apa-apa kontrak pun. 

Begitu juga peluang pelajaran. Kita akui kita memberatkan sedikit kepada bumiputera kerana mereka lemah ekoran tidak 
mempunyai wang. Kalau bukan bumiputera tidak mendapat tempat di universiti di sini, tidak dapat biasiswa, mereka masih 
mampu. Sebab itu walaupun kita memberi 60 peratus kepada bumiputera dalam universiti tempatan, kalau kita bilang bilangan 
profesional dan mereka yang lulus daripada universiti, di Malaysia dan luar negara, jumlah orang Melayu dan bumiputera
 masih rendah prestasi mereka. 

Bahkan kita percaya kalau tidak ada kuota seperti kajian yang telah kita buat, mengikut meritokrasi, untuk masuk universiti,
 hanya 25 peratus sahaja daripada bumiputera dan Melayu akan berpeluang. Apa akan jadi kepada negara kalau bumiputera
 ketinggalan sebegitu, kalau bumiputera tidak bangun menentang. Saya telah lihat pengalaman 1969 dan lihat pengalaman 
di negara lain, di mana kedudukan tidak seimbang antara kaum mencetuskan huru-hara, rusuhan sehingga sampai kepada 
pembunuhan. 

Sebab itu saya berpendapat Suqiu tidak mengkaji secara mendalam tuntutannya supaya dimansuhkan perbezaan antara 
bumiputera dan bukan bumiputera, sekali gus ini bermakna bahawa taraf kerakyatan sama rata... semuanya bangsa Malaysia
 tetapi taraf kerakyatan berbeza kerana di negara lain juga ada affirmative action yang diperlukan. Kalau tidak diperlukan, 
kita tidak perlu ada affirmative action tetapi kerana diperlukan. Ini telah dipersetujui oleh pemimpin semua kaum. Mereka 
sedar bahawa orang miskin nak jadi kaya amat sukar, tetapi orang kaya nak jadi lebih kaya, mudah. Semua kita tahu, 
sebab itu kita mesti ada peruntukan ini. 

Walaupun kita rakyat sebuah negara tetapi kita ada keistimewaan tertentu. Kalau kita nak ke Sarawak kita perlu bawa pasport.
 Kita diancam apabila dekat pilihan raya, mereka keluarkan tuntutan ini. Mereka tahu tidak lama lagi akan ada pilihan raya, 
mereka keluarkan tuntutan sebagai ugutan kepada kita, ugutan kepada Barisan Nasional. 

Kalau tidak layan ini, maka kami akan suruh seluruh orang Cina jangan sokong BN. Ini dibuat dengan sengaja, timingnya 
cukup baik. Apabila dekat pilihan raya maka keluarlah tuntutan 83 ini, kita nak buat apa. 

Kalau kita kata tolak, kalahlah dalam pilihan raya. Itulah tujuannya, nak bagi kita kalah pilihan raya... dikeluarkan sebelum
 pilihan raya tuntutan yang tidak munasabah. Kita terpaksa tidak mengambil pendirian yang keras, kalau kita ambil juga, kita
 akan kalah dalam pilihan raya. Kita kena jaga kepentingan kita, samalah juga dengan DAP... DAP kini pun dah sokong
 negara Islam, bagi mendapat sokongan... bersubahat, dah peluk cium dah... Saya tidak bercakap bohong pada bulan puasa,
 saya cakap benar. 

Saya jawab dengan serius... saya tidak sebut soal perkauman dengan nada tidak serius. Saya betul-betul khuatir tentang 
masalah perkauman di negara kita. Ketika BN cuba menjalin kerjasama antara kaum, kita dapati orang seperti DAP sengaja
 membangkitkan soal kaum, di waktu inilah, seperti apabila nampak saja pilihan raya kecil Lunas, bawa keluar semula 83 
tuntutan. Pada hari buang undi, sebanyak 10,000 naskhah surat khabar disebar supaya orang Cina membenci kerajaan. 
Orang Cina di negara ini diberi layanan yang cukup adil tidak seperti orang Cina di negara lain. Sebenarnya Malaysia saja 
benarkan sekolah Cina didirikan. Jika kita tengok negara jiran kita, mereka tidak benarkan walaupun ada orang Cina
 di negara mereka. 

Sebab itu Chung Ling High School menerima begitu ramai orang Cina dari negara jiran kerana negara mereka tidak ada. 
Kita beri layanan sederhana kepada orang Cina dan India dan orang Melayu juga. Tidak ada mana-mana kaum yang akan 
mendapat 100 peratus daripada tuntutan mereka. Orang Melayu pun kita tidak beri 100 peratus tuntutan mereka... kerana 
di negara kita, kalau layan 100 peratus mana-mana kaum, bermakna kita tidak adil kepada kaum lain. 

Tetapi tuntutan ini (Suqiu) menjadikan orang Melayu yang tidak ada hak, tidak ada kemajuan di negara kita. Dikatakan 
meritokrasi, kerakyatan sama rata tetapi kita lihat di sebuah negara di mana orang Melayu tidak ada peluang langsung, tidak
 boleh menjadi tentera, tidak boleh membawa kapal terbang, bukan orang Melayu bodoh sangat. 

Orang Melayu di Malaysia boleh mengurus syarikat gergasi milik orang asing. Mereka mempunyai kebolehan, mereka boleh
 menjadi pilot tetapi hak sama rata diamalkan, maka orang Melayu menjadi kumpulan termiskin, terasing dan tidak 
berpelajaran. 

Inilah tuntutan yang dibuat oleh Suqiu, kita menentang tetapi kita nak selesaikan masalah ini secara aman. Saya berjumpa
 sendiri tetapi kemudian mereka terus keluar dan kempen lagi apabila ada pilihan raya kecil di Lunas. Inilah keadaan yang 
menyebabkan tuduhan Suqiu sama dengan komunis, tidak menghiraukan masalah keamanan dalam negara dan cuba membuat 
sesuatu yang boleh mencetus huru-hara dalam negara. Dan mereka tidak mengambil berat hak kaum lain, sama seperti 
Al-Ma'unah yang membunuh orang bukan Islam. Sebab itu saya buat bandingan antara mereka dengan komunis dan 
Al-Ma'unah. 

Soalan tambahan Datuk Dr. Jamaluddin Jarjis (BN-Rompin): 

Saya hendak bertanya pandangan Perdana Menteri mengenai Pas dan perjuangannya membela orang Melayu. 

Jawapan: 

Mengikut kenyataan pemimpin Pas, Pas menentang segala diskriminasi kaum kerana tidak ada dalam agama yang 
membenarkan diskriminasi antara kaum. Yang tidak disebutkan diskriminasi antara kaum yang semuanya beragama Islam. 
Tidak patut ada diskriminasi umpamanya antara orang Turki dan Kurdish, ini kita boleh faham. Tetapi Pas sementara ia tidak 
bersetuju dengan diskriminasi antara kaum, tidak pula menolak sebarang nikmat yang datang kerana diskriminasi. 

Soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong): 

Apakah benar apabila Perdana Menteri berjumpa dengan Suqiu di pejabat, mereka hanya dengar taklimat dan hujah Perdana
 Menteri 5 hingga 10 minit, kemudian tolak sama sekali? 

Juga kenyataan berbeza antara Perdana Menteri dengan pemimpin MCA, Gerakan dan SUPP berhubung tuntutan Suqiu? 

Jawapan: 

Berkenaan sikap, pemimpin UMNO dan MCA yang nampak berbeza, sebabnya ialah reaksi UMNO pada mulanya pada
 tuntutan ini ialah satu reaksi yang boleh disangka kerana ia cuba menidakkan perjanjian kita. Tetapi selepas daripada itu kita 
diberitahu akan memberi kesan terhadap pilihan raya dan sokongan daripada orang Cina. Dengan kerana ini kita terpaksa 
bendung sedikit pendapat kita. 

Dalam politik, ini perlulah dibuat. Ramai daripada orang bercakap berkenaan tentang tuntutan Suqiu tidak pernah baca
 sampai habis tuntutan... sebab itu mereka tidak mempunyai pendirian, saya tidak tahu sama ada pemimpin Pas biasa baca 
atau tidak. 

Berkenaan dengan perjumpaan dengan Suqiu, adalah satu fitnah mengatakan saya memberi syarahan kepada mereka. Mereka
 dijemput dengan baik, mereka datang dengan memorandum, mereka bersopan santun dan pemimpin mereka menyerahkan 
memorandum. 

Saya meminta mereka mengulas... siapa juga boleh mengulas memorandum dan mereka sendiri kata semuanya terkandung 
dalam memorandum dan tidak perlu mengulas. 

Memang benarlah saya terang masalah perkauman di negara kita betapa bahayanya kita bawa perkara ini kepada orang ramai. 
Seperti yang dikatakan oleh MCA dan Gerakan, ada juga tuntutan yang boleh diperiksa sama ada boleh dilaksanakan atau 
tidak. 

Tetapi tuntutan seperti menghapuskan atau memansuhkan perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera... ini adalah 
sesuatu yang amat sensitif dan tidak boleh dibincangkan. 

Saya terang dengan jelas pada mereka selama satu jam, bukan saya saja bercakap, mereka juga bercakap. Mereka juga ada
 bangkitkan perkara tetapi saya tidak ingat. 

Kemudian kita bergambar dan selepas itu mereka bertanya apakah kenyataan akhbar yang perlu mereka buat. Saya 
mempunyai harapan yang cukup baik, kerana mereka begitu baik sekali, mereka begitu bersopan-santun bertanya kepada 
saya, apakah kenyataan mereka boleh buat... saya kata cuba sebut kita ada perbincangan dalam suasana yang muhibah tetapi 
permintaan saya ialah supaya mereka balik memikirkan mengenai perkara ini. Saya tidak tekan suruh mereka sokong, tetapi 
memikir. Saya mahu mereka fikir tentang kesan-kesan tuntutan oleh mereka. 

Kalau mereka kemudian daripada itu berkata saya bersyarah, itu adalah fitnah. Saya tidak ingat ahli jawatankuasa yang 
berjumpa saya berkata demikian, tetapi orang lain yang sengaja hendak memburuk-burukkan hubungan akan berkata demikian.

Inilah yang berlaku. 

Kita tahu bahawa ada tuntutan yang boleh kita timbang sedikit sebanyak tetapi umumnya tidak boleh terima tuntutan yang 
dibuat dengan cara itu. Apabila dekat saja pilihan raya, maka dikeluarkan kenyataan ini untuk membangkitkan sentimen
 perkauman yang kuat di kalangan orang Cina. Ini saya ingat, sama dengan cara DAP berkempen, dia cuba bangkitkan
 sentimen orang Cina terhadap kerajaan. Ini sajalah yang menjadi modal kepada mereka. Kita memperkenalkan cara 
pemerintahan yang baik yang membawa keharmonian kepada rakyat berbilang kaum, keamanan kepada negara dan
 pembangunan, kesejahteraan semua rakyat Malaysia, termasuk ahli-ahli parti pembangkang.