Make your own free website on Tripod.com

Kenyataan Akhbar

Aspirasi Rayuan Suqiu Munasabah, Tidak Mempersoalkan Keistimewaan Melayu

18 Ogos 2000

Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) menyambut dengan hati yang terbuka kedatangan rombongan Pemuda UMNO yang datang memberikan memorandum. Kami merasa dukacita kerana Pemuda UMNO menolak beberapa kali jemputan kami untuk berdialog.

Kami percaya respons Pemuda UMNO adalah disebabkan oleh salah faham dan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu. Oleh kerana Pemuda UMNO khasnya dan orang awam amnya belum membaca teks lengkap Rayuan Suqiu, kami akan mengiklankan teks lengkap Rayuan Suqiu di Utusan Malaysia.

Kami percaya sesiapa yang telah membaca Rayuan Suqiu akan mengetahui bahawa Rayuan Suqiu langsung tidak menyentuh dan mempersoalkan hak keistimewaan Melayu sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan. Rayuan Suqiu merangkumi 17 agenda, yakni (1) perpaduan nasional, (2) pengukuhan demokrasi berparlimen, (3) hak asasi dan penegakan keadilan, (4) penghapusan rasuah, (5) dasar ekonomi yang adil, (6) pengkajian semula dasar penswastaan, (7) dasar pendidikan yang terbuka, liberal dan progresif, (8) multiculturalism, (9) perlindungan alam sekitar, (10) pembangunan kampung baru, (11) hak perumahan untuk semua, (12) hak asasi wanita, (13) Media yang adil, (14) profesionalisme polis, (15) kebajikan sosial, (16) hak pekerja serta (17) hak orang asli.

Jawapan saudara Ser Choon Ing, Setiausaha Suqiu apabila ditanya pemberita Utusan Malaysia pada 16 Ogos 2000 adalah berkenaan dengan Dasar Affirmative Action, rayuan 1.2 yang berbunyi :

Tindakan Afirmatif (Affirmative Action) harus bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latar belakang sosial dan kaum.

Kandungan Rayuan Suqiu telah diterima oleh Kabinet melalui menteri-menteri MCA, Gerakan dan SUPP yakni Datuk Seri Dr Ling Liong Sik, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik dan Datuk Law Heing Ding (Berita Harian 23/09/1999 "Kabinet terima petisyen kaum Cina"; NST 24 /09/1999, "Three BN components accept Hua Tuan appeal") Ingin dinyatakan di sini bahawa kami tidak menekankan mana-mana daripada 83 poinnya pada 16 Ogos baru-baru ini. Kami cuma mengadakan majlis ulangtahun pertama dan pelancaran laman jaring www.suqiu.org.

Kami berharap parti-parti politik, media dan semua pihak lain tidak memanupulasikan isu ini dan menjejaskan perpaduan nasional. Kami akan mengiklan di Utusan Malaysia teks lengkap Rayuan Suqiu untuk dikaji oleh semua rakyat Malaysia.

Kami berterima kasih atas kerjasama dan profesionalisme pihak polis dalam menjaga keadaan semasa penyerahan Memorandom oleh Pemuda UMNO.

Jawatankuasa Suqiu