Make your own free website on Tripod.com

Kenyataan Akhbar

Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Jawatankuasa Suqiu)

Tindakan Afirmatif dan Akta Hubungan Kaum Lebih Relevan Daripada Keturunan PM

20hb Jun 2000

Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Jawatankuasa Suqiu) percaya bahawa, keturunan seseorang Perdana Menteri bukan sesuatu persoalan yang relevan berbanding dengan kualiti, dasar dan integritinya. Sememangnya menurut Perkara 43 Perlembagaan Perseketuan, kecuali mereka yang memperolehi kewarganegaraan melalui cara masukan atau pendaftaran, mana-mana ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Dewan boleh dilantik sebagai Perdana Menteri. Walau bagaimanapun, selagi rakyat Malaysia belum dapat mengenepikan pertimbangan warna kulit dan identiti kaum, perbincangan keturunan Perdana Menteri itu bukan sahaja tidak relevan, malah boleh diperalatkan oleh sesetengah pihak untuk mengapi-apikan perasaan kurang selamat komuniti tertentu. Maka, jika ingin mempupuk integrasi nasional dan mempereratkan hubungan kaum, semua parti politik harus berusaha ke arah pelaksanaan suatu Dasar Afirmatif yang jati serta penggubalan suatu Akta Hubungan Kaum, dan bukan sekadar beretorik.

Suatu dasar Tindakan Afirmatif akan membantu semua kumpulan yang dipersisirkan dan diabaikan dalam pembangunan sosio-ekonomi tanpa mengira keturunan dan kepercayaan. Dengan program yang benar-benar berasaskan keperluan, semua yang memerlukan pertolongan akan diberi pertolongan. Dasar ini bukan sahaja akan membela nasib rakyat bumiputera miskin, malah juga dapat menjaga kebajikan rakyat miskin bukan Bumiputera dan mengurangkan perasaan kaum bukan Bumiputera bahawa mereka telah diketepikan di bawah dasar Bumiputeraism.

Dengan jelasnya, kita dapat melihat bahawa dasar Tindakan Afirmatif yang tidak mengambilkira keturunan bukan sahaja akan mengukuhkan integrasi nasional; malah, ia juga sesuai dengan ajaran Islam dan agama lain bahawa semua manusia dicipta Tuhan dan dikurniai hak yang sama. Jesteru, semua parti politik harus meninggalkan politik yang berpuak-puak dan bersama-sama memupuk perbincangan seluruh bangsa Malaysia tentang dasar ini.

Pada masa yang sama, Parlimen juga harus menggubal suatu Akta Hubungan Kaum yang meregulasi percakapan-percakapan dan perbuatan-perbuatan yang akan meregangkan hubungan kaum dan mengancam integrasi nasional. Dengan perlindungan di bawah undang-undang ini, keharmonian kaum yang sebenar di Malaysia boleh dipertingkatkan lagi. Dengan penggubalannya, kita juga boleh membatalkan Akat Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan yang menyekat hak asasi manusia atas nama menjaga keharmonian kaum.

Quek Suan Hiang

Pengerusi,

Jawatankuasa Suqiu