Make your own free website on Tripod.com

Kenyataan Akhbar

Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Jawatankuasa Suqiu)

Ucapan Untuk Hari Kebebasan Kewartawanan Sedunia

Menegakkan Kebebasan Kewartawanan Tanggungjawab Setiap Individu

2hb Mei 2000

Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) menggesa Kerajaan, Masyarakat dan semua individu untuk memberikan keiktizaman mereka dalam menegakkan kebebasan kewartawanan.

Kita percaya bahawa rakyat berhak untuk diberitahu. Hak ini melengkapi rakyat dengan maklumat yang benar untuk membuat keputusan yang sebaik-baiknya. Ia bukanlah hak eksklusif untuk warga-warga negara Barat sahaja. Hakikat bahawa Hari Kebebasan Kewartawanan Sedunia mula disambut oleh sekumpulan wartawan Afrika menjelaskannya dengan baik sekali. En. Amrtya Sen, penerima Anugerah Nobel pada tahun 1998 dalam bidang Ekonomi, juga telah menyimpulkan daripada pengalaman negaranya India bahawa, kesejahteraan ekonomi sememangnya tidak boleh dipisahkan daripada kebebasan kewartawanan.

Tanpa kebebasan kewartawanan, sesebuah negara itu tidak mungkin menikmati kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial yang sebenarnya. Apabila kebebasan kewartawanan tertindas, orang awam tidak akan menaruh keyakinan pada media massa sebaliknya akan tertarik dengan khabar-khabar angin. Perebakan khabar angin pada tahun 1998 bahawa pekerja Indonesia akan melakukan rusuhan melalui internet and telefon bimbit adalah akibat semulajadi tenggelamnya kewibawaan media massa. Dalam Era Informasi ini, penindasan kebebasan kewartawanan tidak akan berjaya menghalang aliran maklumat, cuma akan menimbulkan kerunsingan dan ketidakpuasan masyarakat. Kita amat mengambilberat dan membantah penindasan ke atas media massa khasnya seperti Harakah, Detik, Eksklusif dan sebagainya.

Pada Hari Kebebasan Kewartawanan Sedunia (3hb Mei) tahun lepas, seramai 581 wartawan dari 11 buah media aliran perdana telahpun menyerahkan sebuah memorandum kepada pihak berkuasa, menuntut pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984. Ini diikuti dengan gesaan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (National Journalist Union) supaya Akta Rahsia Rasmi dimansuhkan. Pada 13 Mei seterusnya, 55 orang penulis komentar yang terkenal di akhbar-akhbar bahasa Cina turut mengeluarkan seruan supaya kebebasan kewartawanan dan bersuara ditegakkan. Setelah setahun masa berlalu, kita berharap seruan mereka belum lagi dilupakan. Jawatankuasa Kerja Kesinambungan Suqiu berdiri tegak bersama mereka dengan sokongan moral sepenuhnya dalam perjuangan ini.

Selain daripada menuntut pemindaan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (Item 3.6 dalam Suqiu) dan penghapusan peraturan yang mengkehendaki pembaharuan tahunan permit menerbit (KDN) (Item 13.2), Suqiu juga menggesa supaya diperundangkan sebuah Akta Kebebasan Maklumat (Item 3.5) dan diperkanunkan sebuah Lembaga Penyiaran yang bebas (Item 13.1). Kita percaya bahawa akta itu akan memberikan rakyat akses untuk maklumat terutamanya yang berkenaan dengan instiusi awam manakala lembaga itu akan membantu memelihara profesionalisme media elektronik kita.

Kita percaya, benteng terkukuh dalam mempertahankan kebebasan kewartawanan bukanlah undang-undang atau peraturan, tetapi budaya politik dan sistem nilai masyarakat. Dalam sebuah masyarakat yang penegakan kebebasan kewartawanan menjadi norma, tidak akan ada pihak yang berani mencabulinya. Kali lain kita mengeluh tentang kelenyapan kebebasan kewartawanan di Malaysia, biar kita ingatkan tanggungjawab sendiri dan berhenti bertoleransi dengan pencabulan dan penindasan kebebasan kewartawanan yang berluluasa.

(Kenyataan ini diisu atas nama Jawatankuasa Suqiu, bukan mana-mana individu).