suqiu.gif (5719 bytes)
Rayuan Pilihanraya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia
16hb Ogos 1999

Mukadimah

Pilihan yang akan datang akan memilih kerajaan dan wakil rakyat yang akan memimpin negara ini ke alaf baru. Empat puluh dua tahun selepas mencapai kemerdekaan, negara kita telah berkembang maju dalam semua sektor hasil daripada usaha dan sumbangan rakyat semua kaum, dengan sepenuhnya menunjukkan dinamika sebuah negara yang berbilang kaum. Walau bagaimanapun, beberapa dasar kerajaan yang tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan kesamaan bangsa, demokrasi, hak asasi manusia, autonomi kehakiman dan sebagainya perlu diperbaiki.

Krisis ekonomi pada dua tahun yang lepas dan wabak virus Nipah merupakan dua bencana terbaharu yang telah menyebabkan persatuan-persatuan Cina menimbang semula masa hadapan negara kita secara serius. Kerajaan seharusnya mengadakan satu rancangan pembangunan yang sepadu untuk industri kecil dan sederhana dan Perkampungan Baru Cina yang telah ditubuhkan lebih daripada lima puluh tahun dahulu. Apabila Kerajaan sedang giat menjalankan pelbagai projek mega, kita masih menghadapi kekurangan dana, bilik darjah dan guru di sekolah-sekolah. Kami juga perlu menaruh perhatian pada sektor-sektor yang mundur yang terdapat di kalangan orang-orang asli, pekerja estet, penduduk bandar dan petani miskin.

Di samping itu, kami amat mengambil berat tentang isu amalan rasuah, penyimpangan Kerajaan dalam pentadbiran awam, kebertanggungjawapan dan kelutsinaran kerajaan yang telah menimbulkan banyak perbincangan di kalangan orang awam.

Demi cinta kami terhadap negara, serta perhatian kami terhadap masa hadapan bangsa kita, kami meminta semua calon dan parti politik yang akan mengambil bahagian dalam pilihanraya yang akan datang menyokong dan melaksanakan rayuan kami. Kami juga menggesa semua pengundi negara kita berusaha merealisasikan rayuan ini.

1.

Menggalakkan Perpaduan Negara

Perpaduan negara mestilah berasaskan kepentingan semua rakyat negara kita dan bukan berdasarkan perkauman. Hanya dengan berasaskan keadilan dan non-diskriminasi, dapat mewujudkan satu linkungan yang sesuai untuk mencapai perpaduan dan keharmonian di antara kaum:

  • Gubalkan Akta Perhubungan Kaum untuk mencegah diskriminasi perkauman, rasialisme dan rasisme.
  • Tindakan Afirmatif (Affirmative Action) harus bertujuan untuk memberi perlindungan dan peningkatan kepada golongan masyarakat yang lemah, tanpa mengira kepercayaan agama, latar belakang sosial dan kaum.
  • Mengambil langkah untuk memansuhkan pembezaan antara "bumiputera / bukan bumiputera" dalam semua bidang.

2.

Mempertingkatkan Demokrasi

Demokrasi bukan sahaja bermakna amalan pengundian setiap lima tahun -- kerajaan harus dipilih oleh rakyat pada semua peringkat, supaya mencapai demokrasi parlimentari yang sebenarnya dan memastikan keadilan pilihanraya:

  • Garisan sempadan kawasan pilihanraya mestilah berasaskan prinsip "satu orang satu undi". Perbezaan bilangan pengundi antara kawasan-kawasan pilihanraya yang berlainan sepatutnya tidak melebihi 15%, sepertimana yang diamalkan pada peringkat awal selepas kemerdekaan negara ini supaya mengelakkan jurang besar yang sedang wujud di antara bilangan pengundi di kawasan pilihanraya yang berlainan dalam sistem pengundian kini.
  • Memulihkan pilihan kerajaan tempatan.
  • Senator haruslah dipilih oleh rakyat.

3.

Mempertahankan Hak Asasi Manusia dan Menegakkan Keadilan

Mempertahankan hak asasi manusia, keadilan, keamanan dan kebebasan negara kita, agar melindungi hak-hak politik, sosial, kebudayaan dan ekonomi seluruh rakyat Malaysia:

  • Ratifikasikan dan menandatangani semua konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu dan kovenan-konvenan antarabangsa.
  • Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang baru ditubuhkan perlu diperluaskan struktur anggotanya dan pastikan bahawa badan tersebut berepresentatif dan bebas.
  • Pastikan kebebasan Peguam Negara dan badan kehakiman.
  • Mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri selaras dengan perkembangan zaman.
  • Gubalkan Akta Kebebasan Informasi.
  • Meminda Akta Kesatuan Sekerja, Akta Hasutan, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Polis dan Akta Universiti dan Kolej supaya selaras dengan piawaian hak asasi manusia.
  • Mempertahankan kebebasan bercakap, perhimpunan dan persatuan.

4.

Membasmi Amalan Rasuah

Amalan rasuah merupakan salah satu halangan besar dalam pembangunan negara. Ia bukan saja merampas kepentingan rakyat jelata, malah menjejaskan fungsi pentadbiran kerajaan dan merosakkan kebertanggungjawapan kerajaan. Amalan rasuah mesti dihapuskan pada semua peringkat perkhidmatan awam dan kerajaan:

  • Susun semula Agensi Pencegah Rasuah supaya ianya menjadi satu badan bebas dan bertanggungjawap secara langsung kepada Parlimen.
  • Gubalkan satu akta di mana semua kakitangan tinggi kerajaan dan wakil rakyat yang dipilih diwajib mengisytiharkan aset mereka secara terbuka kepada orang awam.

5.

Laksanakan Dasar Ekonomi yang Adil

Kerajaan harus mengkaji semula dasar ekonomi negara secara menyeluruh untuk mengatasi kelemahan yang terdedah semasa krisis kewangan berlaku baru-baru ini. Semua kaum mesti diberi peluang yang sama untuk bersaing. Amalan rasuah, kronisme dan nepotisme harus dielakkan dalam perihal pemberian saham atau kontrak. Dalam tiga puluh tahun yang lampau, sewaktu kerajaan menitikberatkan pembangunan industri dan komersial bagi kaum bumiputera, perkembangan dan modenisasi bagi industri kecil dan sederhana telah diabaikan. Kerajaan juga telah mengabaikan masalah yang dihadapi oleh pernternak babi, terutamanya dalam krisis industri penternak babi yang berlaku baru-baru ini, kerajaan tidak mengambil tindakan dengan segera untuk menolong mangsa-mangsa wabak dan keluarga mereka:

  • Menggalakkan modenisasi dan pembangunan industri kecil dan sederhana dalam negara ini.
  • Merumuskan dan melaksanakan dasar pertanian yang kekal.
  • Memberikan bantuan secara adil dan mencukupi kepada semua sektor termasuk industri penternakan babi.
  • Membahagikan tanah secara adil kepada petani-petani yang memerlukannya tanpa mengira kaum.
  • Hapuskan sistem kuota yang berasaskan "kaum" dan gantikannya dengan sistem pengagihan yang berasaskan "kebolehan" (means-tested sliding scale).
  • Pastikan bahawa dana KWSP serta dana-dana awam yang lain kepunyaan pekerja negara kita diberikan tempat perwakilan yang memuaskan kepada organisasi pekerja untuk menjamin pengurusan dana yang betul.

6.

Kaji Semula Dasar Penswastaan

Tujuan menswastakan kemudahan awam ialah untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan beban ekonomi negara. Walaupun sesetengah kemudahan awam yang diswastakan memberi banyak kemudahan kepada rakyat dan juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara, namun disebabkan ketidaklutsinaran operasinya, ianya telah menimbulkan monopoli dalam bidang perniagaan, memberatkan beban rakyat dan menyebabkan kronisme serta menghalang pertumbuhan ekonomi negara:

  • Semua projek penswastaan harus berasaskan kepentingan orang awam.
  • Projek-projek penswastaan harus ditender secara terbuka.
  • Dirikan Suruhanjaya Urusan Awam untuk menyelia dan menilai projek-projek yang diswastakan untuk melindungi kepentingan rakyat.
  • Batalkan rancangan pengkorporatan perkhidmatan kesihatan supaya membolehkan rakyat negara kita, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah, menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang murah dan cekap.
  • Gubalkan akta anti-monopoli untuk mengelakkan amalan monopoli dalam bidang penswastaan.
  • Kaji semula perkhidmatan pembetungan supaya mengurangkan beban para pengguna.
  • Hentikan pengenaan tol dan penswastaan pada jalanraya di dalam bandaraya dan jalanraya yang sedia ada yang telah dipertingkatan menjadi lebuhraya.

7.

Laksanakan Dasar Pendidikan yang Progresif dan Liberal

Demi menghadapi cabaran abad baru, kita perlu mengkaji semula keseluruhan sistem pendidikan negara kita dengan menumpukan perhatian pada pengembangan potensi manusia, memenuhi keperluan sumber manusia dan memupuk daya kreativiti, daya initiatif serta teknik pembelajaran para pelajar kita. Komuniti Cina memandang berat terhadap Akta Pendidikan 1996 yang tidak berlaku adil terhadap pendidikan bahasa ibunda bagi kaum Cina, India dan kaum-kaum minoriti lainnya di negara kita. Disebabkan kekurangan dana, bilik darjah dan guru, perkembangan sekolah-sekolah rendah Tamil dan Cina telah terhambat:

  • Meminda Akta Pendidikan 1996 untuk mencerminkan dasar pendidikan kebangsaan sebagaimana yang dinyatakan di dalam Ordinan Pendidikan 1957 yang memastikan penggunaan, pengajaran dan perkembangan bahasa ibunda semua komuniti etnik di negara kita.
  • Tambahkan bilangan sekolah rendah Tamil dan Cina di kawasan yang padat dengan penduduk kaum India dan Cina, agar hak untuk menerima pendidikan bahasa ibunda bagi pelajar-pelajar kaum tersebut tidak dirampas.
  • Selesaikan masalah kekurangan guru yang lama berterusan di sekolah-sekolah rendah Tamil dan Cina.
  • Batalkan rancangan "Sekolah Rendah Wawasan" dan hentikan perlantikan guru-guru yang tidak berkelayakan bahasa Cina untuk memegang jawatan-jawatan tinggi di sekolah rendah Cina untuk memastikan sifat dan cara pendidikan di sekolah rendah Cina tidak diubah.
  • Pastikan bahawa pengagihan peruntukan pendidikan, latihan guru, perancangan kurikulum, bahan pengajaran, kemudahan dan perkakasan yang asas adalah adil dan mencukupi bagi sekolah-sekolah semua aliran bahasa, termasuk cadangan sekolah-sekolah bistari.
  • Realisasikan pendidikan bahasa ibunda dengan menggabungkannya ke dalam rancangan pendidikan negara kita dan sediakan latihan untuk guru-guru, perancangan kurikulum dan bahan-bahan pengajaran baginya.
  • Sediakan kelas bahasa ibunda pelajar (Pupil's Own Language -- POL) dalam kurikulum formal sekolah seandainya terdapat sekurang-kurangnya lima (5) pelajar dari mana-mana kumpulan etnik di mana-mana sekolah.
  • Tambahkan peruntukkan untuk perbelanjaan pendidikan.
  • Kaji semula dan naikkan gaji guru.
  • Kenalkan sistem pinjaman dan bantuan kewangan pelajar dengan pengagihannya mengikut kemampuan keluarga pelajar (means-tested sliding scale) tanpa mengira kaum.
  • Iktirafkan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina.
  • Izinkan penubuhan Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina baru dan berikan subsidi untuk perkembangannya.
  • Tambahkan bilangan sekolah rendah, menengah, kolej dan universiti selaras dengan pertumbuhan penduduk negara kita.
  • Iktirafkan ijazah yang dianugerahkan oleh institusi yang bertaraf antarabangsa, termasuk Universiti Nanyang yang lampau serta universiti-universiti yang bukan aliran Bahasa Inggeris di negara-negara seperti China, Taiwan dan sebagainya.
  • Hapuskan sistem kuota untuk kemasukkan universiti.

8.

Galakkan Perkembangan Pelbagai Kebudayaan

Negara kita ialah negara yang berbilang kaum. Akan tetapi, Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang sedia ada adalah didasarkan pada budaya tunggal, ianya merupakan halangan bagi perkembangan kebudayaan masyarakat majmuk. Demi memperbetulkan kesalahan ini, perumusan kebudayaan nasional haruslah diasaskan pada pluralistik masyarakat kita:

  • Kenalkan dasar kebudayaan dan seni yang lebih liberal dan pluralistik.
  • Sediakan bantuan kewangan dan biasiswa seni dan galakkan aktiviti kebudayaan berbilang kaum negara kita.
  • Wajibkan kerajaan pada semua peringkat untuk menggalakkan budaya pluralistik.
  • Pemberian ganjaran atau hadiah kesusasteraan dan seni negara haruslah terbuka kepada semua rakyat, tanpa mengira kaum atau bahasa.
  • Kebudayaan semua kaum dan agama haruslah dilayani secara saksama oleh media dan badan-badan kebudayaan rasmi.
  • Galakkan pertukaran kebudayaan antarabangsa.
  • Mendidik dan menggalakkan rakyat negara kita saling menghormati agama-agama yang berlainan di dalam negara ini serta perkuatkan perhubungan dan pertukaran fikiran antara badan-badan agama berlainan.
  • Berikan layanan yang adil bagi badan-badan agama yang berlainan dalam hal penyebaran, perkembangan, mendapat kemudahan rasmi kerajaan serta dilayani dengan saksama oleh media rasmi.

9.

Lindungi Alam Sekitar

Semua projek pembangunan yang meninggalkan kesan buruk ke atas alam sekitar seperti kawasan tanah tinggi, hutan dan kawasan berpaya atau yang akan merosakkan peninggalan sejarah serta kawasan perkuburan, mesti dikawal dengan ketat. Piawaian dan undang-undang perlindungan alam sekitar perlu dikuatkuasakan secara serius:

  • Pastikan projek empangan tidak merosakkan ekologi persekitaran.
  • Kenakan langkah pemeliharaan air dan tenaga yang ketat.
  • Wartakan semula hutan simpanan dan hidupan liar serta tumbuhan yang terpelihara.
  • Kuatkuasakan Akta Perhutanan dan Alam Sekitar yang sedia ada untuk menghalang aktiviti pembalakan yang sembarangan.
  • Kenakan cukai ke atas penggunaan tenaga serta pengeluaran gas karbon atau gas buangan lain yang merbahaya.
  • Indahkan kawasan-kawasan perkuburan dan pastikan kawasan tersebut tidak dipindah untuk tujuan pembangunan.
  • Tawarkan insentif bagi industri yang menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui dan tenaga solar.

10.

Modenisasikan dan Bangunkan Perkampungan Baru

Perkampungan Baru mempunyai sejarah lebih daripada lima puluh tahun. Seramai 1.5 juta kaum Cina yang berselerak di 452 buah Perkampungan Baru masih dikecualikan daripada arus pembangunan ekonomi negara. Infrastruktur di Perkampungan Baru tersebut perlu diperbaiki. Ramai penghuni masih belum mendapat hak milik tanah atau mendapat pembaharuan hak milik tanah:

  • Pastikan bahawa semua penduduk Perkampungan Baru diberi hak milik tanah dengan segera.
  • Selesaikan rancangan pembangunan Perkampungan Baru dengan secepat mungkin.
  • Sediakan peruntukan pembangunan untuk Perkampungan Baru mengikut perkadaran bilangan penduduk.
  • Memperuntukkan tanah yang mencukupi untuk petani-petani Perkampungan Baru dan luar bandar.

11.

Realisasikan Dasar "Perumahan Untuk Semua"

Kerajaan harus merealisasikan wawasan perumahan untuk semua rakyat dengan lebih giat. Tindakan ini diperlukan untuk menyelesaikan masalah perumahan yang ketara bagi kumpulan yang berpendapatan sederhana dan rendah:

  • Pastikan bahawa kerajaan negeri memperuntukkan tanah yang lebih banyak secara percuma untuk pembinaan perumahan awam kos sederhana dan rendah.
  • Pastikan pengagihan perumahan kos rendah adalah adil untuk mengelakkan daripada memberikannya kepada mereka yang tidak layak.
  • Laksanakan sistem "sewa dahulu beli kemudian" agar membolehkan mereka yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

12.

Lindungi Hak Asasi Wanita

Hak asasi wanita mesti diutamakan di sektor swasta dan awam:

  • Beri sokongan kepada "Agenda Wanita 1999" yang diutarakan oleh organisasi bukan kerajaan wanita negara kita.
  • Pertingkatkan fungsi authoriti kerajaan yang berurusan dengan hal-hal wanita.
  • Hapuskan segala jenis diskriminasi terhadap wanita dalam masyarakat negara kita.
  • Kenakan hukuman yang berat kepada mereka yang melakukan keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita.
  • Menggesa sektor awam dan swasta supaya menyediakan kemudahan penjagaan kanak-kanak bagi pekerja-pekerja wanita.

13.

Media yang Adil

Media harus dioperasi secara adil dan bebas tanpa campur tangan kerajaan:

  • Tubuhkan Badan Penyiaran yang bebas dan adil.
  • Hapuskan peraturan mengenakan pembaruan tahunan permit menerbit (KDN).
  • Galakkan penubuhan media penyiaran swasta.
  • Tambahkan peruntukan masa untuk penyiaran berita dalam bahasa Mandarin.

14.

Memulihkan Kelayakan Rakyat Terhadap Pasukan Polis

Pada akhir-akhir ini, cara pengendalian pihak polis dalam penyiasatan adalah amat membimbangkan dan hal ini mungkin mengugatkan keyakinan orang awam terhadap pasukan polis:

  • Tubuhkan satu suruhanjaya penyiasatan statutori yang bebas untuk menyiasat kes penyalahgunaan kuasa dan kekerasan polis. Laporan siasatan suruhanjaya tersebut mesti diumumkan kepada orang awam manakala mereka yang didapati bersalah patut dihukum.
  • Mempertinggikan kualiti pasukan polis menerusi pelarasan gaji dan prosedur pengambilan polis baru yang lebih ketat dan sempurna supaya membentukkan satu pasukan polis yang adil, berperikemanusiaan dan lebih bertanggungjawab.

15.

Memperbaiki Kebajikan

Setiap manusia berhak untuk hidup dan mati secara bermaruah dan juga berhak menerima perlindungan sosial daripada pengangguran, sakit, umur tua, kematian atau lain-lain kejadian di luar kawalan mereka:

  • Berikan perhatian khas kepada mereka yang kurang bertuah, kurang upaya, warga tua, kanak-kanak dan wanita.
  • Sediakan kemudahan rekreasi untuk belia supaya memimpin mereka kepada satu cara hidup yang sihat.
  • Tambahkan peruntukan dana bagi sektor kesihatan dan perubatan, terutamanya dalam hal pencegahan penyakit.
  • Tingkatkan pengetahuan rakyat terhadap kehidupan sihat dan penjagaan kesihatan yang asas.

16.

Hormati Hak Pekerja

Pekerja berhak mendapatkan syarat-syarat kerja yang saksama dan lingkungan kerja yang demokratik, berperikemanusiaan serta selamat, selaras dengan piawaian buruh antarabangsa:

  • Iktirafkan hak pekerja elektronik untuk mendirikan kesatuan pekerja.
  • Gubalkan akta untuk memastikan semua pekerja termasuk pekerja estet mendapat gaji minima yang munasabah.

17.

Menyara Orang Asli

  • Sahkan hak tanah rizab Orang Asli agar mereka dapat mengawal sumber dan tanah mereka sendiri dan dapat memilih cara hidup mereka sendiri.

 

Rayuan ini dianjurkan oleh 11 pertubuhan nasional Cina seperti berikut:

  • Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong)
  • Persekutuan Persatuan-persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong)
  • Persekutuan Persatuan-persatuan Alumni Sekolah Cina Malaysia
  • Nanyang University Alumni Association of Malaysia
  • Taiwan Graduates Alumni Association of Malaysia
  • Dewan Perhimpunan Cina Selangor
  • Federation of Guangdong Associations of Malaysia
  • Federation of Guangxi Associations of Malaysia
  • Federation of Sanjiang Associations of Malaysia
  • Federation of Fuzhou Associations of Malaysia
  • Huazi Research Centre

Setakat 16hb Ogos 1999, Rayuan ini telah diindoskan oleh 1848 pertubuhan Cina di Malaysia.

 

Pada tahun 2000, dua lagi persatuan cina telah menyertai Jawatankuasa Suqiu selain daripada 11 persatuan di atas, dua persatuan ini ialah:

  • Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan
  • Federation of Hokkien Associations of Malaysia

 

Sebelum Pilihanraya 1999, Rayuan ini telah diindoskan oleh 2095 buah pertubuhan Cina di Malaysia.