ULASAN TERHADAP POLITIK TAKFIR

 

Fahaman khawarij telah lama lenyap, yang masih ada hanya satu golongan daripada mereka iaitu puak Ibadhiyyah yang terdapat di Afrika Utara. Namun kefahaman mereka telah berubah dan tidak lagi mengkafirkan orang-orang Islam yang melakukan maksiat, atau tidak melaksanakan hukum Allah, selagi tidak mengingkari hukum-hukum Allah itu. Gejala takfir hidup semula di Mesir di kalangan banduan-banduan yang dipenjarakan oleh Jamal Abdul Nasir kerana mereka menganggotai gerakan Ikhwan Al-Muslimin. Kekejaman yang diluar batas kemanusiaan yang dilakukan oleh diktator Jamal Abd. Nasir, menyuburkan kefahaman ini, kerana mereka tidak lihat bahawa pemerintahan kuku besi itu boleh dianggap sebagai pemerintahan bercirikan Islam. Bagaimanapun fahaman ini didokong oleh golongan muda ikhwan dan sandaran mereka untuk berpegang kepada pemikiran takfir ini ialah beberapa tanggapan salah terhadap tulisan-tulisan Sayid Qutub dan Al-Maududi. Meskipun fahaman ini ditentang hebat oleh golongan tua ikhwanul Muslimin yang berilmu dan berpengalaman luas, seperti Mursyid Amnya Hasan Hudai'bi, tetapi pandangan itu tidak dipedulikan oleh mereka. Hasan Hudai'bi, menulis buku (Pendakwah bukan Hakim) bagi membendung gejala takfir itu, namun ia tetap berkembang di dalam menghadapi kekejaman diktator Nasir.

 

Sebenarnya perkembangan kefahaman takfir di Malaysia ini, pada mulanya daripada fatwa-fatwa Sahikh Abdul Kadir Mandili, seorang ulama Melayu yang warganegara Arab Saudi. Beliau seorang yang alim dalam ilmu-ilmu agama, tetapi tidak mengetahui politik, tidak berpengalaman langsung di dalamnya. Fatwa-fatwanya tentang politik dibuat berasaskan pertanyaan-pertanyaan yang dibuat oleh orang-orang dari Malaysia yang menziarahinya di Mekah. Pertanyaan-pertanyaan dan jawapan-jawapan itu, kemudiannya dibukukan di dalam kitab yang bernama "Matahri" dan "Islam dan Kedaulatan" yang menfatwakan haram bekerjasama dengan orang kafir di dalam pemerintahan. Tetapi karangan Shaikh Abdul kadir itu hanya popular di kalangan ustaz-ustaz dan guru-guru pondok sahaja.

 

Apabila berlaku kesedaran Islam di negara ini sekitar tahun 70an, dimana golongan terpelajar mendapat percikannya , fahaman-fahaman takfir ini, mendapat ilham baru daripada karangan Al-Maududi dan Sayid Qutb. Meskipun karangan mereka lebih banyak menjelaskan tentang persoalan prinsip mengenai pemerintahan tetapi penerapan prinsip itu di dalam menjelaskan isu-isu politik, menimbulkan banyak salah faham sehingga mengakibatkan berlakunya kegiatan takfir. Tetapi gejala ini hanya terdapat di dalam PAS tidak merebak ke dalam pertubuhan lain seperti ABIM.

 

Politik takfir merupakan penyelewengan agama yang serius. Ia menyimpang daripada ajran Al-Quran dan Al-Sunnah serta terkeluar daripada fahaman ahli Sunnah Wal Jama'ah. Justeru itu fahaman ini perlu dibendung kerana ia boleh menghancurkan umat Islam, mendedahkan mereka kepada permusuhan yang mendalam serta menghancurkan persaudaraan dikalangan mereka. Bagi membendung ideologi takfir ini, fahaman ahli Sunnah Wal Jama'ah yang berdasarkan ajaran Al-Quran dan Sunnah hendak diperhebatkan supaya difahami secara mendalam oleh masyarakat Islam.

 

Berapa kefahaman yang menjiwai politik takfir diamalkan oleh PAS, seperti fahaman mengkafirkan orang-orang UMNO kerana kerajaan yang diterajui oleh UMNO tidak melaksanakan hukum Allah. Justeru orang-orang UMNO dihukum kafir, maka sembelihan orang UMNO tidak boleh dimakan dan tidak sah sembahyang berimamkan orang UMNO. Kefahaman dan amalan ini dibentuk di atas alasan dan hujah yang salah yang terkeluar daripada fahaman ahli Sunnah Wal Jama'ah.

 

Alasan bahawa kerajaan tidak melaksanakan hukum Allah dan kerana itu kerajaan adalah kafir dan orang yang mendokong dan menyokong kerajaan adalah kafir, tidak boleh diterima. Ini ialah kerana tidak semua hukum Allah tidak dilaksanakan dan tidak terlaksananya hukum-hukum Allah itu bukan bermakna menolaknya sehingga mengingkarinya. Menurut pegangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah bahawa tidak melaksanakan hukum Allah tetapi tidak mengingkarinya tidak membatalkan iman. Berbeza dengan pegangan khawarij bahawa seseorang menjadi kafir apabila tidak melaksanakan hukum Allah.

 

Fatwa Haji Hadi bahawa " sesiapa yang berkata politik suku agama suku jadi kafir" adalah fatwa karut yang tidak berlandaskan kaedah usuludin. Menurut kaedah usuludin bahawa seseorang tidak boleh dikafirkan dengan perkataan atau perbuatan selagi boleh ditakwil dengan makna yang lain daripada makna kekufuran. Orang yang berkata politik suku agama suku perkataannya boleh ditakwilkan dengan berbagai-bagai makna yang tidak membawa pengertian kufur. Kerana itu tidak boleh dihukum kafir orang yang membuat kenyataan seperti itu.