ULASAN MENGENAI POLITIK JAMAAH

 

Didalam penjelasan hadis Rasulullah s.a.w Jamaah yang terselamat dan Jamaah Islam hakiki ialah yang kekal di atas perjalanan Sunnah s.a.w dan para sahabat baginda. Sungguh pun begitu, Jamaah-jamaah orang Islam yang lain sebanyak 72 lagi itu, tidak bermakna kufur semuanya dan terkeluar daripada Islam semuanya kerana hadis mengenai perpecahan itu masih mengakui bahawa kumpulan-kumpulan itu kekal sebagai umat  Muhammad s.a.w melainkan jika terdapat di dalam kepercayaan dan amalan jamaah-jamaah itu yang terang dan jelas kekufurannya atau Al-kufur Al-bawwah. Yakni kepercayaan dan amalan yang tidak boleh difahami yang lain selain daripada kekufuran.

 

Jamaah yang wajib orang Islam beriltizam dengannya ialah Jamaah yang benar-benar berjalan di atas landasan Sunnah Rasul dan para sahabat baginda. Di zaman ini sukar untuk dipastikan Jamaah seumpama itu, masih ada. Namun masih terdapat individu-individu muslim yang berpegang kepada jalan itu. Justeru itu, sesuatu Jamaah yang ditubuhkan tidak boleh mendakwa sebagai Jamaah yang selamat yang setiap orang wajib menanggotai Jamaah atau kumpulannya.

 

Adalah keterlaluan bagi PAS untuk menamakan dirinya sebagai Jamaah yang menyerupai Jamaah Islam di zaman Rasulullah s.a.w dan para sahabat dan memiliki ciri-ciri "Maana'alaiki wa ashabi". Ini ialah kerana tidak cukup bukti yang menyakinkan sesiapapun bahawa PAS memenuhi ciri-ciri jamaah Islam awalan itu yang satu-satunya tanpa berlaku perpecahan sedikitpun.

 

Setelah umat Islam berpecah kepada kaum Khawarij, Syiah, Murjiah dan Ahli Sunnah Wal-jamaah yang melampaui batas-batas perpecahan politik kepada perpecahan akidah dan epistemologi. Jamaah yang tidak menyimpang daripada "Maana'alaihi wa ashabi" dan menepati amalan-amalan sunnah Nabi s.a.w. Bahkan golongan syiah di peringkat awalan ini, lebih merupakan kumpulan politik yang tidak terkeluar daripada landasan "Maana'alaihi wa ashabi". Penyelewengan syiah, sehingga terbentuk akidah dan epistemologi sendiri, berlaku di zaman-zaman akhir setelah pengaruh-pengaruh luar dari tamaddun Parsi dan gerakan batiniah masuk dan bertapak di dalamnya.

 

Walaupun umat Islam di negara ini berpecah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada parti politik atau pertubuhan NGO, tetapi tidak bermakna bahawa salah satu daripadanya iaitu PAS adalah kumpulan yang memenuhi ciri-ciri jamaah "Maana'alaihi Wa Ashabi".

 

Selain daripada Jamaah Najiah, Rasulullah s.a.w juga menyebut tentang Jamaah muslimin yang merujuk kepada umat Islam seluruhnya. Sesiapa yang mengisytiharkan dirinya keluar daripada umat Islam, dengan sendiri ia keluar daripada agama Islam. Ini adalah jelas. Tetapi terdapat pula Jamaah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai Jamaah yang dituntut beriltizam dengannya iaitu "Al-Sawad Al-A'azami" iaitu kumpulan terbanyak yang berada di belakang imam atau kepimpinan negara Islam. Ini selari dengan hadis-hadis yang menyuruh umat Islam taat kepada pemerintah, selagi tidak disuruh melakukan maksiat.

 

Huraian di atas adalah jelas bahawa PAS bukanlah Jamaah yang dipilih oleh Islam sebagai Jamaah yang wajib beriltizam dengannya dan jika keluar daripada PAS bermakna keluar dari Islam. Namun tanpa mengukur baju dan badan sendiri dan tanpa menyedari kepincangan penyelewengan dan kepalsuan yang dibawanya PAS mempercayai bahawa dialah Jamaah Islam yang jika seseorang ahlinya keluar daripadanya, akan terungkailah ikatan Islam daripadanya.