POLITIK TAKFIR

 

Politik Takfir yang mula dilancarkan oleh kaum khawarij dalam kurun pertama Hijrah, adalah hasil daripada penerapan secara palsu prinsip-prinsip atau aqidah politik ke dalam isu-isu politik yang berubah-ubah. Hal yang sama, terjadi kepada PAS dan PAS menggunakan hujah-hujah yang sama kaum khawarij bagi menggerakkan politik takfir. Tentunya, PAS menafikan bahawa ia melaksanakan politik takfir di dalam mencapai matlamatnya. Sememangnya secara rasmi, tidak ada keputusan di peringkat pembuat dasar PAS menyebut tentang perkara itu. Tetapi politik takfir ini menjadi tajuk yang digemari oleh penceramah-penceramah dan pemimpin PAS, terutama di Kelantan dan Terengganu, dan akhir-akhir ini, di pantai Barat Semenanjung. Kenyataan beberapa pemimpin kanan PAS membuktikan parti itu menjalankan politik takfir di dalam kegiatan-kegiatannya.

 

Kajian ke atas ucapan-ucapan Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat jelas menunjukkan politik takfir itu dijadikan senjata untuk meletakkan PAS sebagai golongan orang-orang beriman dan UMNO sebagai golongan kafir. Di dalam ucapa-ucapannya Nik Aziz sering membawa ayat-ayat Al-Quran mengenai perjuangan para nabi dan ayat-ayat yang menyebut mengenai penentang-penentang mereka. Secara jelas Nik Aziz melatakkan PAS sebagai golongan beriman yang meneruskan perjuangan nabi-nabi dan UMNO adalah penentang perjuangan nabi-nabi. Justeru itu tanpa landasan, kebenaran para pengikut PAS menuduh pemimpin UMNO khususnya Dato'' Seri Dr. Mahathir  sebagai Firaun, Abu Lahab dan sebagainya.

 

Nik Aziz tidak mengakui orang-orang UMNO sebagai saudara Muslim dengan meletakkan PAS sebagai golongan beriman yang mendokong perjuangan nabi-nabi dan UMNO golongan penentang golongan nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutus Allah. Meskipun Nik Aziz tidak selantang Awang Judin dan Bunyamin Yaakub, mengkafirkan orang UMNO secara berterangan, tetapi jika dikaji makna-makna tersirat daripada ucapan beliau, memang jelas elemen politik takfir itu di dalam ucapan-ucapannya.

 

Dalam kenyataan Nik Aziz pada 15.4.1995, waktu diminta mengulas langkah UMNO mengemukakan calon-calon daripada kalangan guru-guru agama (ustaz) beliau berkata bahawa ustaz-ustaz UMNO sama dengan ahli ahlu al kitab Yahudi dan Nasrani, yang menentang Nabi Muhammad s.a.w. Seterusnya beliau mengisytiharkan perang Badar terhadap UMNO dalam pilihanraya umum 1995. Apabila diminta mengulas mengenainya, beliau berkata bahawa perang Badar adalah perang yang memberi kemenangan hebat kepada Islam ke atas tokoh-tokoh kafir Quraisy dari Mekah (UM 15.4.1995).

 

Pemimpin-pemimpin PAS seperti Nik Aziz, Haji Hadi dan lain-lain, secara terang-terang menuduh UMNO parti sekular yang mengasingkan agama daripada politik. Berdasarkan kepada tuduhan itu, mereka mengeluaqrkan kenyataan bahawa mati melawan UMNO adalah mati syahid. Seterusnya fatwa dikeluarkan di dalam ucapan Haji Hadi di Banggol Peradong  bahawa " sesiapa yang berkata politik suku agama suku, jadi kafir". Kenyataan-kenyataan ini disebarkan secara meluas dengan judul "Amanat haji Hadi".

 

Adalah jelas daripad kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin PAS itu, bahawa parti itu mengamalkan politik takfir seperti yang diaalkan oleh kaum khawarij. Nik Aziz did alam satu kenyataannya yang lain, menganggap tindakan mengkafirkan ahli-ahli UMNO dilakukan oleh ahli-ahli parti PAS yang melampau. Tetapi pelampau-pelampau PAS itu termasuk juga Nik Aziz sendiri dan Haji Hadi yang jelas mengamalkan politik takfir ini.

 

Penafian yang dibuat oleh Haji Hadi mengenai politik takfir yang diamalkan oleh PAS, tidak dapat memadam kenyataan dan fatwa pemimpin PAS yang jelas membuktikan unsur-unsur takfir di dalamnya. Gelaja takfir ini, hanya boleh dihapuskan dengan mereka menarik balik kenyataan itu dan memperbetulkan dengan niat ikhlas dan jujur.