Satu
persidangan ulama telah diadakan di Muar, Johor pada tahun 1950 yang
dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd. Noh Omar yang bertujuan untuk memikirkan
pembanguna Islam di negara ini. Persidangan itu dianjurkan oleh UMNO di bawah kepimpinan
Dato' Onn Jaafar. Persidangan itu menghasilkan penubuhan Persatuan Islam Se
Malaya atau PAS sebagai salah satu sayap UMNO di dalam menggerakkan agenda
perjuangan agama, bangsa dan tanahair yang program utamanya ialah memerdekakan
negara darpada penjajahan.
Persidangan
itu juga turut menonjolkan seorang tokoh ulama dari Terengganu iaitu Tuan Haji
Ahmad Fuad Hassan yang kemudiannya menduduki jawatan penting di dalam UMNO
sebagai ahli MKT dan rapat dengan presiden parti iaitu Dato' Onn bin Jaafar. Haji
Ahmad Fuad turut mengetuai sayap ulama di dalam UMNO iaitu PAS.
Apabila
berlaku krisis di dalam UMNO yang membawa perletakan jawatan Dato' Onn daripada
presiden UMNO, Haji Ahmad menjadi salah seorang daripada calon presiden
disamping Tunku Abdul Rahman Putra dan Dato' Zainal Abidin. Tunku Rahman telah
dipilih sebagai presiden setelah mengalahkan calon-calon yang lain.
Haji
Ahmad tidak menerima kekalahan itu dengan hati terbuka sebaliknya beliau keluar
dari UMNO dan membawa bersamanya PAS. Pada tahun 1951 PAS ditubuhkan sebagai
persatuan yang berasingan daripada UMNO, sebagai parti politik baru. Ternyata bahawa kemunculan PAS sebagai parti
politik adalah serpihan daripada UMNO. Serpihan yang bukan dari hati yang
suci dan murni, tetapi kerana kecewa. Kekecewaan telah menjadi faktor utama
wujudnya parti-parti serpihan di dalam arena politik di negara ini. Serpihan-serpihan itu menyebabkan UMNO
sedikit sumbing. Walaupun sumbingan-sumbingan itu boleh diperbaiki, tetapi
serpihan-serpihan yang membawa parti induk menjadi sumbing ini, adalah fenomena
yang negatif di dalam perjuangan UMNO untuk memartabatkan agama, bangsa dan
negara. Ia seharusnya tidak dibiarkan berlaku berulang-ulang kali. Namun
kelemahan dan ketamakan manusia, tidak mudah dikawal dan tidak sesiapapun yang
dapat menjamin politik serpihan ini tidak berulang sehinggan kesumbingan di
dalam perjuangan bangsa dapat dibendung. Disini perlu diperingatkan pentingnya
niat yang bersih menjadi nadi kepada keikhlasan di dalam perjuangan. Rasulullah
bersabda ertinya:
Hanyalah amalan-amalan itu
dinilai dengan niat dan hanyalah habuan bagi seseorang itu mengikut apa yang ia
niatkan.
Jika sesuatu
perjuangan itu didokong oleh niat yang berudang disebalik batu dan pepat di
luar rencung di dalam ia membawa bersamanya elemen-elemen kemusnahan dan
kehancuran. Apabila PAS keluar daripada UMNO hasil daripada kekecewaan perasaan
itu, sering menghantui perjuangannya dan sehingga kini, PAS tidak dapat
memperbaiki dirinya daripada tindakan-tindakan yang meruntuhkan. Niatnya yang
kecewa terhadap UMNO dan niatnya untuk menyaingi UMNO, menghantui perjuangannya
dan setiap tindak tanduk dan gerak gerinya sehingga lupa kepada pertimbangan
yang adil dan saksama di dalam membuat
sesuatu kenyataan dan hukuman. Tindak-tanduk seperti ini, tentunya merupakan
elemen meruntuhkan. Imam Al-Ghazali, didalam Ehya 'Ulumuddin menyebut sepotong
hadis yang berbunyi :
Ertinya: Manusia semuanya binasa melainkan orang yang berilmu.
Orang-orang berilmu semuanya binasa melainkan orang-orang yang beramal dengan
ilmunya dan orang-orang beramal semuanya binasa melainkan orang-orang yang
ikhlas di dalam amalannya dan orang-orang ikhlas itu berhadapan dengan cabaran
besar.
Meskipun hadis
itu disebutkan oleh Zain Al-Iragi sebagai daif, namun yang terkandung di
dalamnya, tidak berlawanan dengan Al-Quran dan hadis-hadis lain yang sahih,
kerana itu hadis ini boleh dipakai untuk menjelas sesuatu pengertian daripada
ajaran Islam. Dalam hal ini, ia menjelaskan tentang pentingnya keihklasan di
dalam sesuatu perbuatan dan tindakan manusia. Niat PAS ditarik keluar daripada
UMNO, kerana didorong kecewa, tidak membawa kebaikan kepada umat Islam hingga
ke hari ini. Berbagai masalah dan angkara berlaku, akibat tindakan-tindakan
PAS.