POLITIK BENCI DARI PERSPEKTIF ISLAM

 

PAS tidak peduli, samada strategi politiknya ini, sesuai atau tidak dengan Islam. Ini ialah kerana bagi "matlamat mengharuskan cara". Meskipun jelas politik membenci ini bertentangan dengan Islam, tetapi inilah kaedah politik yang paling laris dikalangan propaganda PAS dan para pengikutnya. Majlis ceramah PAS akan menjadi lesu dan hambar jika tidak bernada kecaman fitnah dan kata nista terhadap UMNO. Ceramah mereka seolah-olah tidak sah jika tidak mengutuk Dato' Seri Dr. Mahathir.

 

Politik PAS ini menyimpang jauh daripada Islam. Politik Islam mengajak umat bersatu dan melarang perpecahan, persengketaan dan perkelahian. Ini ialah kerana perbuatan itu membawa kepada kegagalan dan kehancuran. Kehancuran yang bakal menimpa umat ini dan bangsa Melayu, jika terus bersengketa dipandang ringan oleh PAS. Kerana mereka tidak mempunyai rasa tanggungjawab terhadap tragedi yang akan berlaku. Yang penting bagi mereka ialah menghancurkan UMNO. UMNO bagi mereka adalah musuh yang lebih dibenci oleh mereka daripada Yahudi. Inilah perasaan yang ada di dalam hati sanubari pemimpin dan pengikut PAS. Mereka hilang pedoman dan lupa peringatan Nabi s.a.w.

 

Ertinya : Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang.

 

Politik membenci terhadap sesama Islam tidak ada di dalam agenda politik Islam. Bahkan orang yang melakukan kesalahan dan dosa sekalipun, tidak harus dibenci. Orang tersebut dengan penuh kasih sayang hendaklah diselamatkan daripda api neraka yang akan diterimanya jika ia terus melakukan maksiat. Ia hendaklaj diberi bimbingan dan nasihat supaya meninggalkan maksiat. Jika perlu dihukum, ia dihukum dengan adil tetapi dilarang menghinanya. Demikianlah keindahan politik Islam. Keindahan ini sedang dicemari oleh parti PAS yang memperjuangkan pembentukan negara Islam untuk membangun sistem Islam. Mereka sepatutnya memulakan pembangunan sistem Islam dengan memperbaiki tingkah laku politik mereka supaya bersesuaian dengan ajaran Islam. Mereka seharusnya meninggalkan politik maki hamun, memfitnah, mencela, mengkafirkan sesama Islam dan lain-lain perbuatan yang tidak selaras dengan tuntutan Islam. Sekiranya mereka gagal di lapangan ini, harapan untuk mereka mendirikan negara Islam dan membangun sistem Islam dalam pelbagai bidang akan bersua dengan maksud kata pepatah "jauh panggang dari api".