TERJEBAK DALAM PENYELEWENGAN

 

Penerapan aqidah di dalam praktis politik memerlukan pengetahuan mendalam dan perancangan yang teliti. Aqidah samada yang berkaitan dengan ketuhanan dan pandangan hidup (world view) adalah ditentukan oleh nas-nas qatie iaitu ayat-ayat Al-Quran dan Al-Sunnah yang jelas maksudnya. Apabila pengertian ayat-ayat ini hendak diterapkan di dalam praktis politik, sekurang-kurangnya perlu diketahui dengan mendalam perbezaaan antara usul siasiyyah (prinsip politik) dan qadaya suasiyyah (isu-isu politik) yang berubah-ubah. Ayat-ayat dan hadis-hadis yang berkaitan dengan politik yang menjadi prinsip politik yang tidak berubah-ubah hendaklah dikenal pasti dan difahami. Penerapannya di dalam menangani isu-isu politk yang berubah-ubah memerlukan kemahiran analisis yang membolehkan prinsip itu diterapkan ke dalam praktis politk secara wajar, tepat dan munasabah. Kekurangan pengetahuan dan kelemahan intelektual yang mengurangkan daya analisis, boleh mengakibatkan penyelewengan yang boleh membawa kepada kegiatan mengakidahkan isu-isu politk dan mempolitikkan aqidah.

 

Kerana ketiadaan kemahiran dan ilmu yang diperlukan, maka terjadinya penyelewengan kaum khawarijj. Mereka terdiri daripada ahli-ahli ibadat dan hafaz Al-Quran, atau 'Qurna'. Mereka menyokong Saidina Ali k.w di dalam krisis politik baginda dengan Muawiyah, setelah Othman Ibnu Affan dibunuh. Didalam peperangan Sifin umat Islam saling membunuh. Bagi menamatkan peperangan itu satu formula perdamaian dikemukan yang terkenal dengan 'Tahkim'. Formula itu dipersetujui oleh Ali k.w tetapi ditolak oleh puak khawarijj ini dan menganggapnya tidak Islamik serta berlawanan dengan hukum Allah. Dalam hai ini, puak al-khawarijj menerapkan prinsip-prinsip politik seperti :

 

-         Tiada hukum melainkan hukum Allah

-         Sesiapa yang tidak menghukum mengikut apa yang diturunkan Allah, mereka adalah kafir

 

Tanpa pengalaman politik dan daya penganalisaan yang mendalam, prinsip-prinsip ini diterapkan ke dalam isu politik tahkim dan puak khawarijj membuat kesimpulan bahawa tahkim itu bukan hukum Allah dan kerana itu harus ditolak, kerana tiada hukum melainkan hukum Allah. Orang yang menerima tahkim adalah berdosa dan mereka tidak melaksanakan hukum Allah, kerana sesiapa yang tidak melaksanakan hukum Allah adalah kafir. Berdasarkan kesimpulam itu mereka mengkafirkan Saidina Ali, Saidina Muawiyah dan pengikut keduanya. Mereka memisahkan diri daripada Ali dan kerananya mereka diberi gelaran khawarijj. Mereka bertindak memerangi Ali dan juga Muawiyah. Beberapa pertempuran berlaku antara mereka dan tentera-tentera Khalifah Ali Bin Abi Talib. Kesimpulan khawarijj itu adalah tidak tetap dan kerana itu Ali bin Abi Talib mengulas dengan katanya:

 

Kalimah benar yang disimpulkan secara palsu.

 

Yang dimaksudkan daripada ucapan Saidina Ali itu ialah bahawa ayat-ayat Al-Quran yang dijadikan asas oleh khawarijj itu adalah ayat-ayat yang benar, tetapi diberikan pengertian yang palsu dan diterapkan ke dalam isu Tahkim secara salah.

 

Apabila PAS menampilkan politik aqidah di dalam perjuangannya dengan keupayaan ilmu yang terbatas, pemimpin-pemimpinnya mengheret parti itu ke dalam perangkap yang dahulunya memerangkap kaum khawarijj. PAS banyak mengemukakan ayat-ayat Al-Quran untuk menjadi hujah kepada tingkah laku politiknya, tetapi kalimah-kalimah yang benar itu ditafsirkan secara salah atau dengan perkataan lain, tanpa merujuk kepada pengertian-pengertian muktabar yang difahami oleh ulama-ulama muktabar yang diakui dan diiktiraf keilmuan mereka.