Pengajaran di Sauk

 

Assalamualaikum wrbt.

Biarlah saya mulakan wacana ini dengan hadith Rasulullah SAW, sabdanya : "Akan keluar pada akhir zaman suatu kaum (golongan) yang mencari dunia dengan menjual agama, memakai pakaian adu domba lidah mereka manis dari madu sedang hati mereka bagai serigala. Allah akan berfirman pada mereka: Apakah terhadapKu mereka bermain-main dan melawan, dengan kebesaranKu? Aku bersumpah akan menurunkan kepada mereka fitnah ujian bala' sehingga seorang yang berakal tenang akan bingung." (Riwayat Abu Huraitrah r.a.)

Peringatan untuk kita semua itu dikeluarkan kerana akan datang suatu ketika, terdapat golongan yang mendakwa dan menyeru takut dan taqwa kepada Allah SWT tetapi tidak berhati-hati daripada dosa. Ada yang menyeru kebaikan, tetapi berbuat kejahatan dan kebathilan. Ada yang memerangi kejahatan dan kebathilan orang lain agar orang menyokong mereka, sedangkan kebathilan dan kejahatan golongan dan diri sendiri dibiarkan begitu sahaja. Golongan seperti ini tidak akan mendapat apa-apa di akhirat (moga-moga kita semua dijauhkan dari tergolong di dalamnya).


Saya bukan baru mengenali politik dan strategi PAS. Jika ada pun orang yang mahukan ajaran Islam benar-benar menjadi amalan parti tersebut, itu adalah orang-orang yang terpencil. Golongan yang bermatlamatkan politik semata dan tidak mahu mengamalkan ajaran-ajaran baik dan akhlak terpuji kerana gusar ianya tidak akan membawa kebruntungan kepada parti lebih ramai. Orang-orang seperti inilah yang sering saya temui di dalam PAS.


Bukankah Allah SWT mencela orang-orang yang tidak saling mencegah perbuatan mungkar di kalangan kelompok mereka sedangkan mereka mendakwa memerangi kemungkaran pada orang lain?


Rasulullah SAW bersabda : "Ketika malam Isra', saya melihat orang-orang yang digunting bibirnya, dan ketika saya tanya pada Jibril: Siapakah mereka itu ya Jibril? Jawabnya: Mereka pemimpin-pemimpin dari umatmu yang menganjurkan orang lain supaya berbuat baik, tetapi lupa pada diri mereka sendiri, padahal mereka membaca kitab Allah, tetapi mereka tidak pula memperhati dan mengamalkannya." (Riwayat Anas r.a.)


Saya mahu percaya PAS tidak akan memanipulasi isu Sauk dan akan berpegang kepada kenyataan awal mereka di dalam isu ini. Sebagaimana yang saya nyatakan, masanya terlalu awal untuk melihat siapakah yang akan beroleh political advantage walaupun saudara dengan pantas mendakwa PAS adalah parti yang beroleh political disadvantages. Saya sarankan kita menunggu sejarah berulang, dan pada waktu itu, diharap pendirian saudara mengenai political advantage ini tidak berubah.