Pengganas

Benarlah kata orang, peristiwa di Sauk tempohari merungkai banyak peristiwa yang tersembunyi selama ini. Selain dari cubaan dan usaha untuk merampas kuasa secara kekerasan, amalan salah pengamal ilmu kebatinan dan kerohanian juga harus diambil kira.

Sejarah menyaksikan cukup banyak amalan dan senibela diri yang diharamkan kerana alasan ini. Paling popular, seni bela diri 'Nasrul Haq' juga diharamkan pada pertengahan tahun 1970an dulu. 'Nasrul Haq' meskipun tidak pula menjalankan aktiviti mereka secara militan tetapi ia diharamkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atas alasan menyalahi apa yang terkandung didalam ajaran Islam.

Apakah isu 'militan dan kekerasan' ini harus dikaitkan dengan parti pembangkang ? Apakah ianya terjadi secara kebetulan ataupun wujud hasil sentimen kebencian terhadap pasukan keselamatan, UMNO dan kerajaan ? Mengapakah tuntutan untuk kerajaan berundur yang disampaikan menerusi alat perhubungan (melalui alat komunikasi tentera yang dirampas didalam kem 304 RAW) menjadi tuntutan utama dalam peristiwa di Sauk ?

Tempoh 2 tahun, selepas pemecatan Anwar menyaksikan bagaimana segala jentera kerajaan dikecam, dikritik, dikutuk dan dikeji habis-habisan. Jabatan Peguam Negara, badan kehakiman, Suruhanjaya Pilihanraya, Angkatan Tentera Malaysia, media dan Jabatan Penerangan dan yang paling banyak menerima kutukan, Polis Diraja Malaysia.

Hasil kecaman ini, wujud sentimen tidak lagi mempercayai jentera kerajaan ini oleh penyokong mereka. Walaupun mereka ini kadangkala berkhidmat dengan salah satu badan yang dikutuk itu, mereka sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadapnya. Jesteru itulah, seorang pegawai tentera berpangkat Kapten adalah antara orang yang ditahan semasa peristiwa di Sauk tempohari. Apabila sentimen ini sudah menguasai diri, mereka tidak lagi nampak jalan untuk mengambilalih kuasa secara aman melainkan secara kekerasan fizikal.

Usaha menjatuhkan kerajaan secara kekerasan sebenarnya sudah dimulakan sejurus Anwar ditangkap pada malam 21 Sept. 1998. Ketika itu, ramai diplomat dan kedutaan asing menghantar kawat kepada negara masing-masing dan meramalkan bahawa kerajaan BN akan tumbang dalam tempoh 2 bulan. Gerakan reformasi yang dijalankan meskipun tidak secara tersusun, tetapi berterusan dan hingga mencetuskan kekerasan. Ramai yang tercedera semasa proses ini berlansung. Kecekapan pihak PDRM, berjaya memastikan tiada seorang yang terkorban dalam proses reformasi jalanan ini.

Sentimen kembali hangat apabila isu pengguguran nama Islam dari parti PAS. Timb. Presiden PAS dalam ucapan perasmian Muktamar Pemuda begitu bersemangat untuk menjanakan kekuatan jihad. Fadzil Noor, dalam ulasannya selepas itu juga menjelaskan bahawa beliau 'tidak dapat memberikan jaminan' tidak berlaku kekerasan kerana pemuda PAS barangkali sanggup berjihad untuk mempertahankan nama Islam dalam parti itu.

Harakah keluaran terakhir sebelum kejadian Sauk menggunakan judul "DR M Isytihar Perang".

Kesemua ini adalah rentetan peristiwa yang cukup besar. Aku menjelaskan lama dulu, bahawa cubaan untuk menghancurkan kepercayaan rakyat kepada jentera kerajaan adalah taktik pengganas komunis menerusi kumpulan dakyah dan propaganda mereka. Teknik inilah dicetuskan oleh gerakan komunis diseluruh dunia termasuk di Malaysia ini ketika ditengah-tengah kemuncak darurat tempohari.

Kita tidak menyalahkan PAS dan parti pembangkang seratus peratus. Tetapi, seperti yang dijelaskan sebelum ini bahawa pihak yang beroleh keuntungan dari peristiwa ini tentulah pihak pembangkang. Mereka tentu akan mengambilalih kuasa sekiranya kerajaan yang ada hari ini diundurkan secara kekerasan. Sekiranya peristiwa di Sauk menjadi tragedi, anak isteri 'pejuang Islam' di Sauk akan diangkut ke hulu ke hilir dalam ceramah PAS. Mereka akan disifatkan sebagai waris dan mangsa kekejaman kerajaan. Waris ini akan diberitahu bahawa PAS akan membantu mereka dan suami mereka adalah syuhada. Inilah yang terjadi kepada mangsa peristiwa Memali.

Terlalu banyak yang boleh ditulis mengenai ini. Sekali lagi, kita tidak berniat menyalahkan PAS 100%, kecuali penglibatan Al Maunah mendapat restu dari PAS. Apapun, kita tunggu dan lihat apakah yang akan PAS lakukan terhadap ahlinya yang terlibat dalam Al Maunah.