TEMBELANG PAS, KEADILAN

 

At-Taubah 9:18 (ayat 18)

 

Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, emnunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

 

DAKWAAN Datuk Seri Anwar Ibrahim diracuni dan perihal ia dijadikan isu politik serentak dengan ulang tahun penangkapan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, adalah satu pergolakan terbaru yang membimbangkan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

 

Para penyokong Anwar termasuk ahli PAS telah berhimpun di ibu negara untuk mencemarkan kesucian Masjid Negara; berarak di jalan raya dan mengganas.

 

Walaupun siasatan terhadap dakwaan dijalankan, mereka ini telah mengambil keputusan untuk berarak dengan laungan seolah-olah mahkamah sudah membuat keputusan bahawa Anwar diracuni dan mereka yang meracun juga sudah diketahui.

 

Sebelum perhimpunan yang mencetus keganasan di ibu negara berlangsung, isu keracunan arsenik itu telah gamat dijadikan modal oleh para pemimpin parti Keadilan dan Pas untuk meniupkan api kebencian terhadap Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya.

 

Persoalannya - benarkah Anwar diracuni, jika benar siapakah yang melakukannya dan apakah tujuannya? Bagaimanapun, belum sempat persoalan itu dijawab, dakwaan itu telah dieksploitasi sebagai modal politik termasuk oleh kalangan yang bergelar 'ustaz'.

 

Kita wajar bertanya, apakah adil bagi sebuah parti yang bernama Keadilan, bertindak melulu tanpa menunggu hasil siasatan? Sudah tentu mereka menjawab bahawa keadilan tidak wujud lagi di Malaysia. Sebenarnya, bagi mereka ini, keadilan hanya wujud jika ia memihak kepada Anwar.

 

Oleh itu, bayangkan apa yang akan terjadi ke atas Malaysia kelak jika golongan yang fanatik dan jumud ini memerintah atas prinsip 'keadilan' tersebut.

 

Pertanyaan juga dikemukakan kepada para pemimpin Pas yang mendabik kononnya hanya parti itu dan orang-orangnya sahaja layak beragama Islam. Apakah hukumnya jika seseorang Islam menuduh orang lain tanpa sebarang bukti yang sah? Jika dikatakan bahawa mereka memfitnah, percayalah bahawa seperti 'ahli kitab' yang disebutkan dalam al-Quran, mereka juga akan menjawab dengan memutar belit ayat-ayat Allah.

 

Beberapa orang 'ustaz' Pas telah menggunakan isu Anwar diracuni untuk meniupkan kebencian rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada ketika perkara itu masih dalam siasatan.

 

Sebaliknya, para pemimpin Pas ini menuntut pelaksanaan hukum hudud yang mesyaratkan empat orang 'beriman' menjadi saksi setiap pertuduhan. Apa yang berlaku menunjukkan bahawa tuntutan pelaksanaan hukum hudud itu hanyalah gimik politik. Para pemimpin Pas sendiri ternyata tidak memerlukan sebarang saksi untuk melemparkan tuduhan terhadap musuh-musuh politik mereka.

 

Jika beginilah cara mereka, bayangkanlah apa yang akan terjadi ke atas Malaysia jika Pas dan Keadilan memerintah.

 

Tembelang dan muslihat mereka terdedah lebih jelas di Masjid Negara. Sebelum ini, sebilangan 'ustaz' sering menyalahgunakan masjid untuk menghentam musuh-musuh politik mereka, tanpa mempedulikan kesannya ke atas perpaduan ummah.

 

Kini mereka mengajak pula rakan-rakan politik yang bukan beragama Islam untuk mencemarkan Masjid Negara. Dengan megah, rakan-rakan politik bukan Islam itu diberikan pembesar suara di rumah Allah itu untuk meniup api kebencian terhadap saudara-saudara seagama mereka sendiri.

 

Syukurlah Allah telah mendedahkan sifat-sifat sebenar golongan ini. Mereka mahu meruntuh keamanan. Yang anehnya mereka langsung tidak menghiraukan ayat 18 surah At-taubah yang menyatakan hanya mereka yang beramal soleh dan takut kepadaNya yang berhak berada di rumahNya. Tetapi nampaknay puak-puak yang kononnya melaungkan yang mereka lebih Islamaik dari yang lain telah membawa kaum-kaum kafir masuk ke rumah Allah dan melontarkan api kebencian terhadap orng Islam yang lain. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa mereka dan membalas dengan setimpalnya di atas perlakuan mereka.