Kerana sebuah kerusi maruah bangsa jadi taruhan

MASJID atau kuil, memilih orang bukan Islam hukumnya haram, dan Sekolah Wawasan akan menghapuskan identiti Sekolah Cina dan bahasa ibunda orang Cina. Begitulah antara isu-isu yang ditanamkan oleh parti pembangkang ke dalam fikiran para pengundi sepanjang kempen pilihan raya kecil DUN Lunas yang baru selesai pada 29 November lalu.

Kita boleh berhujah dengan panjang lebar tentang isu yang disogokkan itu. Namun kenyataannya ialah ramai pengundi di DUN Lunas terpengaruh dengan dakyah ini. Strategi dan taktik kotor lagi menjijikkan yang digunakan oleh parti pembangkang terbukti terbukti mencapai kejayaan.

Calon parti Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail berjaya memperoleh 10,511 undi berbanding calon BN S. Anthonysamy yang memperoleh 9,981. Ini bermakna calon Keadilan menang dengan majoriti 530 undi.

Keputusan ini memang mengejutkan banyak pihak, termasuk parti pembangkang sendiri.

Ramai di kalangan kem parti BN meramalkan kemenangan calon BN sungguhpun dengan majoriti yang lebih kecil berbanding dengan pilihan raya umum 1999.

Malah selepas proses pengundian selesai pun pihak BN masih begitu yakin memenangi pilihan raya kecil ini berdasarkan kepada 14,600 pengundi yang mengunjungi pondok-pondok panas BN berpura-pura kononnya menyokong BN tetapi sebenarnya memangkah parti Keadilan.

Pengundi-pengundi Cina nampaknya mengubah selera kali ini. Kita tidak fikir mereka berbuat demikian kerana disebabkan perubahan pada dasar kerajaan seperti mana yang cuba diketengahkan oleh sesetengah pemimpin MCA. Isu Sekolah Wawasan sudah wujud semasa pilihan raya umum 1999 lagi. Begitu juga dengan isu 17 perkara yang dibawa oleh Kumpulan Suqiu.

Bagi pengundi-pengundi Melayu memang dari awal lagi dijangka akan lebih memihak kepada parti Keadilan kerana calonnya orang Melayu berbanding dengan BN yang terdiri dari orang India. BN memang menaruh harapan tinggi dan menjangka pengundi Cina akan memihak kepadanya, terutama sekali kerana calon parti pembangkang bukan orang Cina.

Beberapa kemungkinan-kemungkinan dapat kita ketengahkan terhadap tujuan atau motif yang menjadi penggerak kepada pendirian pengundi-pengundi Cina di Lunas kali ini.

Pertamanya, mereka mahu menunjukkan sokongan mereka kepada tuntutan kumpulan pelampau Cina berhubung dengan isu tuntutan 17 perkara dan sekolah wawasan.

Kedua, mereka mahu pilihan raya DUN Lunas menjadi testing ground untuk menyampaikan mesej tertentu, dan ketiga, mereka mahu menunjukkan kekuatan sebagai kumpulan penentu keputusan pilihan raya.

Mereka sahaja yang tahu tentang objektif undi protes di Lunas kali ini. Yang lebih penting lagi ialah mereka mahu membuktikan bahawa calon BN tidak mampu menang tanpa sokongan orang Cina seperti mana yang digembar-gemburkan selepas pilihan raya umum yang lalu.

Aliran ini amat merbahaya sekali kerana orang Melayu dan India juga boleh berbuat demikian terhadap calon-calon BN yang terdiri dari orang Cina. Kesungguhan sesetengah orang Cina dalam menyokong parti Keadilan di DUN Lunas dapat dilihat daripada air muka mereka yang berkempen dan merayu di tepi-tepi jalan bersama dengan rakan-rakan Melayu.

Sama ada mereka menyokong Keadilan kerana yakin dan percaya dengan kemampuan parti tersebut atau disebabkan kemungkinan di atas sama-samalah kita fikirkan. Orang Cina lebih cerdik dan lebih halus pendekatan politik mereka berbanding dengan orang Melayu.

Kecenderungan orang Cina menyokong parti Keadilan pada pilihan raya kecil DUN Lunas dapat dilihat berdasarkan kepada taburan undi mengikut daerah-daerah mengundi. Jika dijumlahkan kesemua peti undi yang mana pengundi-pengundi Cina adalah dominan.

Kita mendapati 62 peratus daripada mereka mengundi parti Keadilan dan 37 peratus sahaja mengundi BN. Manakala bagi peti undi yang majoritinya Melayu didapati 44 peratus menyokong BN dan 56 peratus menyokong Keadilan.

Aliran ini berbeza sekali dengan kawasan-kawasan yang penduduknya tiada kaum dominan. Bagi kawasan campuran ini 58 peratus pengundi didapati menyokong BN.

Seperti yang dijangkakan pengundi India memberikan sokongan besar kepada BN (76 peratus) kerana calon BN adalah terdiri dari kem mereka.

Dari awal lagi kita memang sudah menjangkakan bahawa BN akan menghadapi halangan yang lebih besar dalam pilihan raya kecil DUN Lunas kali ini jika parti pembangkang meletakkan calon Melayu kerana orang Melayu merupakan jumlah pengundi yang teramai berbanding dengan orang Cina atau India. Adalah lebih mudah bagi BN jika pembangkang meletakkan calon India atau Cina seperti pilihan raya umum 1999 lalu.

Sama ada kita mahu menerima atau tidak, kenyataannya ialah sebahagian rakyat Malaysia akan memberi undi berdasarkan kepada kaum. Biar apa pun yang dikatakan tentang integrasi kaum, hakikatnya rakyat Malaysia secara umumnya masih cenderung memberi undi kepada kaumnya sendiri.

Walau bagaimanapun bagi calon BN, memperolehi antara 35 hingga 55 peratus di kawasan-kawasan yang majoritinya orang Melayu adalah satu kejayaan (40 hingga 64 peratus bagi pilihan raya 1999). Bagi kawasan majoriti orang Cina pula S. Anthonysamy hanya memperoleh 26 peratus hingga 51 peratus sahaja sungguhpun calon parti Keadilan bukan terdiri dari orang Cina (47 hingga 66 peratus bagi pilihan raya 1999).

Harapan BN untuk memperolehi majoriti undi dari orang Cina nampaknya tidak berhasil.

Biar apa pun isu yang disogokkan oleh pembangkang kepada pengundi Cina di Lunas, agak sukar bagi kita untuk menerima kenyatan bahawa mereka memberi sokongan kuat kepada Keadilan, walaupun parti ini tidak pernah berjasa sedikit pun terhadap orang Cina. Dalam erti kata lain kalaulah orang Cina memberi undi kepada calon BN seperti mana pada pilihan raya 1999, sudah tentu BN tidak tewas di Lunas.

Melihat kepada suasana sepanjang kempen sehingga hari mengundi, sesiapa sahaja rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian akan merasa amat sedih dan bimbang dengan kemungkinan yang boleh berlaku di masa depan. Tidak pernah kita lihat keadaan yang begitu tegang di mana-mana juga pilihan raya kecil sebelum ini.

Perasaan yang ditunjukkan oleh penyokong parti pembangkang terhadap penyokong BN, terutamanya di kalangan orang Melayu begitu mendalam sekali. Hubungan bangsa seagama serta perasaan kekeluargaan diketepikan dan kelihatan tidak bermakna lagi. Tali silatulrahim dan ukhwah sesama umat sudah tidak penting lagi, kerana yang penting bagi mereka ialah untuk memenangkan calon.

Tatasusila, sopan santun, budi bahasa dan kelembutan yang menjadi sifat dan identiti orang Melayu seakan-akan lenyap terkubur. Ajaran nenek moyang kita dahulu sudah ditelan oleh kegilaan dan kerakusan untuk mendapatkan kuasa walau dengan apa cara sekali pun. Kemuliaan dan kesucian agama Islam yang menjadi panduan hidup kepada umat Melayu selama ini dinodai.

Mereka sanggup menculik beberapa orang anak muda Melayu penyokong BN untuk dibawa ke markas parti pembangkang dua malam sebelum hari pengundian. Mujurlah pihak polis campur tangan untuk membebaskan anak-anak muda ini. Kata nista, caci mencaci, maki hamun dan fitnah menjadi amalan walaupun pada bulan Ramadan yang mulia.

Pendekatan cara orang samseng begitu ketara sekali. Pendek kata mereka cukup agresif sehingga melampaui batas-batas adat resam budaya bangsa dan kesederhanaan yang dituntut oleh Islam. Fenomena seperti yang dipamerkan di Lunas cukup membimbangkan.

Demi untuk memenangi sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri maruah dan masa depan bangsa sanggup diperjudikan. Mereka bergerak ke hulu ke hilir bersama kumpulan pelampau Cina yang memperjuangkan agenda perkauman yang sempit.

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin Dong Jiong Zhong dijemput sama pada setiap ceramah di kawasan orang Cina.

Presiden Pas sendiri membuat kenyataan menyokong kumpulan penentang perlaksanaan sekolah wawasan. Kononnya sekolah wawasan akan menghapuskan bahasa ibunda seperti yang berlaku kepada orang Melayu di Selatan Thailand. Tanpa usul periksa dan tanpa meneliti dengan mendalam konsep sekolah wawasan serta matlamatnya, Pas dan Keadilan secara membuta tuli menyokong kumpulan penentangnya yang ada agenda mereka sendiri.

Kenyataan Perdana Menteri yang ditujukan khusus kepada hanya sekumpulan pelampau Cina diputarbelitkan. Kononnya ditujukan kepada semua orang Cina. Kita amat yakin kumpulan pelampau Cina ini begitu berani dan lantang kerana ada dalang di belakang mereka yang terdiri dari orang Melayu sendiri. Kumpulan ini berasa begitu selesa sekali kerana ada Si Kitul Melayu di zaman ini yang sentiasa meniupkan semangat dan sokongan terhadap perjuangan sempit mereka.

Untuk membuktikan semangat setiakawan, penyokong-penyokong pembangkang sanggup duduk mendengar dengan penuh khusyuk ceramah dalam bahasa Cina yang dibuat oleh pemimpin Cina dari parti pembangkang. Begitulah kemaruknya mereka pada kuasa.

Kita begitu sedih dan terkilan dengan tindak tanduk pemimpin-pemimpin Melayu dari kalangan parti pembangkan ini yang sanggup mempertaruhkan masa depan bangsa. Jangan kita menang sorak tapi kampung tergadai.

Keputusan pilihan raya kecil DUN Lunas sekali lagi membuktikan kepada dunia bahawa demokrasi di Malaysia terus hidup segar. Jika demokrasi seperti yang ditohmahkan oleh parti pembangkang tidak wujud, tidak mungkin mereka mampu memenangi 45 kerusi Parlimen dan banyak kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum 1999.

Kerana kesuburan demokrasilah parti parti pembangkang khususnya Pas dapat memegang tampuk pemerintahan di dua buah negeri. Kalau sistem demokrasi di Malaysia tidak wujud mana mungkin parti pembangkang dapat mengadakan ceramah tidak henti-henti di merata tempat dan di seluruh pelosok negara bagaikan pilihan raya diadakan sepanjang masa. Entah macam mana lagi bentuk demokrasi yang mereka mahukan.

Mungkin dalam fikiran mereka demokrasi yang dimaksudkan semua orang bebas membuat apa sahaja yang disukai, berdemonstrasi tanpa mengira tempat dan masa dan 'law and order' tidak dipatuhi asalkan matlamat mereka tercapai.

Kalau itulah hasrat dan idaman mereka akan huru-hara dan kacau bilaulah negara kita nanti. Biar apa pun tujuan dan matlamat kita janganlah masa depan anak bangsa diperjudikan.