Kegagalan Pas di Kelantan
 
Dalam suasana negara yang belum maju, Datuk Asri telah berjaya merealisasikan 
ideanya untuk menyelesaikan masalah kelaparan tanah rakyat Kelantan. Malangnya 
setelah sepuluh tahun memerintah, satu tanah rancangan pun masih belum dibuka 
oleh kerajaan Pas untuk membantu orang-orang yang ketiadaan tanah dan kebanyakan 
mereka bukan orang lain, penyokong dan pengundi Pas juga. 
 
Maka di manakan hebatnya kerajaan ulama Nik Aziz berbanding kerajaan Datuk Asri 
dahulu? 
 
Selama 10 tahun memerintah Kelantan juga pemimpin Pas membuktikan kegagalan 
dalam menjaga kebersihan. Kawan dan lawan Pas mengaku bandar Kota Bharu adalah 
antara bandar yang terkotor. Sampah sarap yang terbiar di segenap lorong dan 
jalan, di tangga pasar dan di sudut-sudut Pasar Siti Khadijah adalah amat 
memalukan Islam. 
 
Pelancong asing dan orang bukan Islam mendapat maklumat yang salah tentang Islam 
dengan cara Pas mempamerkan sampah di bandar Kota Bharu. Walaupun banyak kali 
sungutan keluar di dada-dada akhbar dan dari mulut sultan, Pas buat pekak badak 
sahaja dengan isu tersebut. Lebih memalukan bandar yang tidak dipimpin oleh 
ulama seperti Kuantan dan Kuching berada di tempat teratas sebagai bandar paling 
bersih di Malaysia. 
 
Di manakah kewibawaan Pas dalam soal sekecil ini. Usahlah melaung mendabik dada 
akulah pejuang Islam jika bandar Kota Bharu sendiri tidak mampu dijaga. Fenomena 
tikus-tikus berkeliaran semasa orang menjamu selera di Pasar Siti Khadijah 
adalah fenomena yang amat jijik dan memalukan serta mencemar nama baik Siti 
Khadijah sebagai Ummahatul Mukminin. Betapa liarnya tikus di bandar Kota Bharu 
begitulah liarnya hati pemimpin Pas dengan isu kebersihan. 
 
Selama sepuluh tahun pemimpin Pas berdolak dalik dalam isu hiburan. Rakyat masih 
ingat lagi suatu ketika dahulu iaitu dalam tahun 1992 kerajaan Pas membenarkan 
pertunjukan sarkas lucah diadakan di bandar Kota Bharu di dalam bulan Ramadan. 
Ada dua isu di sini. Isu pertama kerajaan Pas membenarkan perkara haram 
dilakukan di bumi serambi Mekah di dalam bulan Ramadan. Apabila ditanya orang 
pemimpin besar Pas jawab. "ana ingatkan sarkas ni rimau sahaja' isu yang kedua 
pembohongan Harakah 1 Jun 1992 yang mendakwa pertunjukan sarkas di Kelantan itu 
mengikut peraturan negara Islam. Hakikat sebenarnya memang peserta sarkas 
tersebut tidak menutup aurat. 
 
Kalau BN yang buat tentulah gegak gempita pemuda Pas marah, tetapi apabila ulama 
sendiri luluskan senyap sunyi pemuda Pas. Nasib permainan dan hiburan tradisonal 
juga dalam keadaan tidak menentu. Ada yang diharam dan ada yang dibenarkan. 
Anehnya ada yang diharam tetapi dihalalkan pula di tempat-tempat tertentu. Kalau 
mahukan kepastian ia boleh diperiksa di Gelanggang Seni Kota Bharu. 
 
Pemimpin Pas pernah berjanji untuk menubuhkan satu suruhanjaya bagi menyiasat 
penyelewengan dan rasuah kerajaan BN yang memerintah Kelantan dari tahun 1978 
hingga 1990. Hal ini boleh dilihat melalui Harakah 20 Oktober 1990 Kenyataan 
tersebut dikeluarkan oleh Abdul Halim Abdul Rahman Timbalan Menteri Besar 
Kelantan. Sehingga sekarang setelah 10 tahun memerintah tidak ada satu 
suruhanjaya pun ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan kerajaan BN dahulu. 
 
Logik mudah bagi mengetahui sebab suruhanjaya tersebut tidak dibuat ialah 
pertamanya memang tidak ada penyelewengan dan rasuah yang dilakukan oleh 
kerajaan BN terdahulu dan keduanya kerajaan Pas sendiri adalah satu kerajaan 
yang penuh dengan penyelewengan dan rasuah. Sebab itulah mereka tidak berani 
untuk menyiasat orang lain. Mereka takut akan ada orang lain yang akan 
menyiasatnya pula selepas ini. Inilah hakikat yang ada yang difahami oleh 
pemerhati politik Kelantan. 
 
Setelah 10 tahun memerintah Kelantan terbukti sikap berdolak dalik pemimpin Pas 
dalam soal arak. Semasa menjadi Ketua Pembangkang DUN Kelantan iaitu pada 22 Mac 
1987 Nik Abdul Aziz selaku Ahli DUN Semut Api semasa berhujah dengan pihak 
kerajaan berkata "Masalah haram arak dalam Islam ini kerana mabuk. Jadi bila ia 
diharam di dasar kepada memabuk maka masalah mabuk ini bukan sahaja ke atas 
orang Islam, orang yang tidak Islam pun mabuk juga bila minum. Oleh yang 
demikian, patut disamaratakan iaitu sama-sama tidak boleh.' Anehnya apabila Nik 
Aziz bertukar menjadi ADUN Chempaka dan menjadi Menteri Besar, Arak ini boleh 
pula dijual kepada orang bukan Islam. Bahkan beliau mengaku melalui akhbar 
Utusan Malaysia 19 November 1992 sebanyak 44 lesen arak telah beliau luluskan 
dengan alasan Islam tidak menegah masyarakat bukan Islam menikmatinya. 
Rupa-rupanya arak yang haram dan memabukkan itu adalah nikmat. Inilah sikap dua 
kitab pemimpin Pas. Kalau orang lain buat haramun. Kalau Pas buat halalun. 
 
Sikap berdolak dalik ini juga terbukti dalam soal duit kutipan denda kerana 
berzina yang dikatakan duit haram. Apabila Pas menang undang-undang sedemikian 
masih diteruskan dan kita berhak bertanya sudah tidak haram lagi duit hasil 
denda orang yang berzina? Sikap dua undang-undang ini melambangkan Pas adalah 
parti cari makan. Kalau orang lain buat tidak sah dari segi syariat, kalau 
pemimpin Pas buat sah dari segi syariat. Seolah-olah hukum syariat ini boleh 
diubah-ubah. Pemimpin Pas perlu menjelaskan ke mana hasil wang tersebut 
digunakan. Apakah ia diguna untuk membayar elaun guru-guru halaqat atau 
dilaburkan ke mana. Begitu juga duit lesen arak, duit lesen tempat-tempat 
maksiat yang diluluskan beroperasi khasnya di bandar Kota Bharu. 
 
Pelbagai slogan dicipta dan dijadikan papan tanda di segenap ceruk negeri. 
Apakah rakyat akan kenyang dengan melihat pintu gerbang, label dan slogan. 
Slogan utama kerajaan negeri Membangun Bersama Islam tidak dapat difahami oleh 
rakyat. Bangunan-bangunan yang tinggi-tinggi yang di bina di bandar Kota Bharu 
di bina oleh pihak swasta dan tauke-tauke dari luar Kelantan. Apa yang 
dibangunkan oleh Pas Kelantan? 
 
Pintu gerbang adalah pembangunan yang dijalankan oleh pemimpin Pas. Sepatutnya 
setelah sepuluh tahun memerintah sudah ada bangunan di setiap kawasan Parlimen 
bagi menempatkan pusat pembinaan insan yang lengkap. Kompleks latihan untuk 
rakyat yang memerlukan mesti ada di setiap kawasan Parlimen. Memerintah sekadar 
menunggu masa untuk pilihan raya adalah kerja yang senang. 
 
Selama 10 tahun memerintah Kelantan Pas menaikkan gaji MB, TMB dan EXCO. 
Sepatutnya selepas menang pada tahun 1990 kerajaan Pas menurunkan gaji Ahli-ahli 
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Apa yang berlakunya ialah perkara sebaliknya. 
Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 22 November 1995 telah meluluskan kenaikan 
gaji Menteri Besar dari RM6000 kepada RM8500 sebulan, (Naik RM2500 sebulan), 
gaji Timbalan Menteri Besar dari RM3500 kepada RM5500 (Naik RM2000 sebulan), 
gaji EXCO naik daripada RM3000 kepada RM4500 (Naik RM 500 sebulan). 
 
Selain dari itu gaji bulanan Speaker daripada RM2500 kepada RM4500 (Naik RM2000 
sebulan) manakala gaji setiausaha politik Menteri Besar turut dinaikkan kepada 
RM3000 daripada RM1500 (Naik RM15000 sebulan). Semua kenaikan ini berkuat kuasa 
pada 1 Januari 1996. 
 
Sepatutnya gaji ini diturunkan apabila memandangkan kehidupan rakyat yang susah 
dan pemimpin pas bukannya mempunyai banyak kerja untuk menyelesaikan kesusahan 
rakyat.