Make your own free website on Tripod.com

AMANAT Haji Hadi nampaknya sangat hebat kerana didakwa dapat menyelamatkan akidah umat Islam?

 

Menteri Besar Terengganu Abdul Hadi Awang berkata:

"Saya bersyukur, ucapan saya telah menyelematkan akidah umat Islam sejak kebelakangan ini,"  lapor Harakah keluaran 1-15 September ini. Laporan yang sama turut disiarkan dalam Harakah Daily 21 Ogos (edisi Internet) dan Warta Darul Iman 22 Ogos (edisi Internet).

 

Inilah merupakan percubaan paling akhir Abdul Hadi untuk melepaskan diri daripada amanat yang menghantui beliau sejak hampir 20 tahun itu. Sudah tentu akan muncul percubaan-percubaan lain pada masa akan datang selepas segala percubaan beliau pada masa lalu bukan saja tidak meyakinkan orang ramai, tetapi ramai pengikut Pas sendiri pun tidak yakin juga.

 

Yang ganjilnya kini tiada seorang pun ulama Pas keluar membela Abdul Hadi dan mereka membiarkan Abdul Hadi bergelut seorang diri dengan amanat beliau. Jika Abdul Hadi betul dan amanat beliau tidak salah dari segi hukum agama, kenapa ulama-ulama Pas berdiam diri dan tidak membela beliau?

 

Hal yang sama dihadapi Menteri Besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa beliau mendakwa Allah pun mencarut  untuk membela pengarang buku Shit, Shahnon Ahmad. Tiada seorang pun ulama Pas yang mahu nama mereka tercemar dengan karut-marut Nik Aziz itu.

 

Begitu juga pendirian ulama Pas terhadap Abdul Hadi dan amanatnya. Supaya lebih jelas kenapa Abdul Hadi mendakwa amanat beliau dapat menyelamat akidah umat Islam, disini diturunkan sepenuhnya laporan Harakah itu.

 

Abdul Hadi berkata, di tahun-tahun 60-an, 70-an dan 80-an banyak kedengaran percakapan yang mempersendakan hukum Allah s.w.t.

 

"Hukum Islam tidak sesuai di zaman moden, sup tangan boleh didapati di Kelantan, air sungai Terengganu busuk dengan pelaksanaan hukuman potong tangan (hudud) dan banyak lagi ucapan yang merosakkan akidah umat Islam, kata beliau.

 

Beliau berkata lagi, dengan ucapan (Amanat) tersebut sejak akhir-akhir ini tidak kedengaran lagi orang berani mencela Islam secara terbuka.

 

Menurutnya, serangan politik terhadap Terengganu sangat hebat sehingga terpaksa menggunakan isu-isu lapuk (lama) berkaitan Amanat Haji Hadi. Beliau mendakwa Umno ketandusan isu hingga memaksa mereka menggunakan 'peluru' di zaman Jepun bagi menghadapi Pas.

 

Dengan itu jelaslah bahawa kerana ada orang-orang Islam tertentu didakwa menghina hukum Allah menyebabkan Abdul Hadi mengeluarkan amanatnya itu dan berjaya menyekat mereka daripada kerosakan akidah seperti dakwa beliau.

 

Bagaimanapun, jika kita menghalusi laporan Harakah di satu pihak dan dakwaan Abdul Hadi di pihak lain kita akan mendapati apa yang dilapor Harakah dan didakwa Abdul Hadi tidak masuk akal.

 

1-                  Bagaimana boleh mengaitkan Amanat Haji Hadi yang dikeluarkan pada tahun 1981 dengan akidah umat Islam negara ini pada tahun 60-an dan 70-an. Abdul Hadi pada tahun 60-an masih budak-budak di mana beliau sendiri sedang mempelajari akidah di dalam negeri dan pada tahun 70-an separuhnya digunakan oleh beliau untuk mendalami akidah di luar negeri dan separuhnya lagi digunakan oleh beliau dalam gelanggang politik dalam negeri.

 

Pada tahun 80-an walaupun beliau sudah menjadi ahli politik pembangkang yang established, tetapi tidak mungkin amanat beliau dapat berfungsi menyelamatkan akidah umat Islam negara ini walaupun kuat semacam mana pun.

 

Apa yang boleh diterima jika amanat beliau itu betul dan tidak bercanggah dengan Islam hanya boleh berfungsi menyelamatkan akidah sebilangan penduduk Banggol Peradung, Kuala Terengganu.

 

Penulis kurang pasti bagaimana boleh berlaku kesilapan di atas. Apakah ia berpunca daripada kesilapan Harakah dalam membuat laporan atau Abdul Hadi sendiri silap menyebut fakta. Jika melihat dalam konteks tahun 90-an dan pada waktu sekarang, Amanat Haji Hadi semakin dipandang bercanggah dengan Islam.

 

Ini bukan saja orang UMNO, orang bebas yang memandang begitu, tetapi orang Pas memandang begitu juga. Malah itu juga menjadi punca pemimpin Pas mahu menyembunyikan Amanat Haji Hadi itu.

 

2- Abdul Hadi cuba mengaitkan amanat beliau dengan orang-orang tertentu yang tidak disebut siapa nama mereka pernah melafazkan bahawa hukum Islam tidak sesuai dengan zaman ini, sup tangan boleh didapati di Kelantan, air sungai Terengganu busuk dengan pelaksanaan hukuman potong tangan (hudud) dan lain-lain lagi ucapan yang merosakkan akidah umat Islam sebagaimana dakwa beliau.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa ada orang-orang yang menganggap begitu. Tetapi lebih baik bagi Abdul Hadi menyebutkan nama orang-orang berkenaan serta buktikan pula bila mereka berkata begitu.

 

Lakukan seperti yang dilakukan oleh penulis UM ketika mengkritik beberapa pemimpin Pas seperti Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor memaki hamun orang lain dengan menyebut bila beliau berkata begitu serta disiarkan pula salinan ceramah beliau.

 

Jika ada orang mahukan bukti lebih daripada yang tertulis, kita dapat memberikan mereka salinan ceramah beliau dalam bentuk suara dan video.

 

Sebenarnya semua orang sedar bahawa kritikan kebanyakan orang Pas termasuk pemimpin mereka yang bergelar ulama biasanya bersifar putar belit.

 

Ambil contoh tuduhan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir menghina Rasulullah s.a.w. dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lepas. Semua orang yang mengikuti ucapan Dr. Mahathir dalam perhimpunan berkenaan mengetahui bahawa Dr. Mahathir tidak menghina Rasulullah s.a.w.,  tetapi bercakap mengenai orang Islam perlu bersyukur kepada Allah dan manusia.

 

Tetapi orang-orang berniat jahat termasuk orang Pas memotong dan mengambil sebahagian ucapan Perdana Menteri untuk memberitahu kepada orang-orang yang tidak mendengar ucapan beliau bahawa beliau menghina Rasulullah s.a.w.

 

Malah jika diandaikan bahawa betul ada orang-orang tertentu mengangap seperti dakwa Abdul Hadi itu, tetapi harus ingat mereka itu bukan orang mendalami agama atau jahil (agama) menurut istilah yang sering diguna oleh Abdul Hadi. Mereka bukan alim ulama seperti Abdul Hadi.

 

Jika orang yang dianggap jahil ini melakukan amalan yang bersifat kejahilan, hukuman agama yang dikenakan ke atas mereka pun diambil kira kedudukan kejahilan mereka dan ia tidak berat. Sebaliknya jika amalan bersifat kejahilan itu dilakukan oleh seorang berpendidikan agama terutama yang bergelar ulama pula, maka hukum akan diambil kira kedudukan kealiman mereka dan hukum yang dikena ke atas mereka sangat besar.

 

Dalam kes Abdul Hadi seperti yang pernah jelaskan pada masa lalu, amanat beliaulah sebenarnya yang merosakkan akidah orang Islam dan jika beliau bertaubat pun tidak terlepas daripada dosa besar beliau itu. Perlu ditekankan di sini sekali lagi bahawa Amanat Haji Hadi itu hanya merosakkan akidah orang Islam dan tidak merosakkan akidah umat Islam. Ini kerana mereka yang rosak akidah itu adalah sesetengah orang Pas yang mengamal sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan orang UMNO dan sebagainya.

 

Sebaliknya seluruh umat Islam tidak pun terpedaya dengan hukum-hakam karut Abdul Hadi itu.

 

3- Beliau mendakwa Umno ketandusan isu hingga memaksa mereka menggunakan 'peluru' di zaman Jepun bagi menghadapi Pas, ingin jelaskan bahawa Abdul Hadi sendiri yang mengungkit amanat beliau sebagaimana disiarkan dalam Warta Darul Iman pada 1 Jun yang lalu.

 

Dengan itu amat tidak relevan menuduh UMNO menggunakan peluru zaman Jepun untuk menghadapi Pas kerana beliau sendiri menggunakan peluru berkenaan.