Make your own free website on Tripod.com

JANGAN DICABAR PAYUNG NEGARA

 

SAYA ingin menarik perhatian kepada tulisan Maarop Mohd Noh bertajuk ‘Umno perlu keluar dari kebencian rakyat’ yang tersiar dalam Berita Harian, Sabtu lalu.

Sebagai seorang Melayu yang rapat dengan Umno dan hidup di bawah empat Perdana Menteri, saya berasakan perlu membetulkan sedikit pandangan beliau.

Sekiranya pandangan saya tidak secocok dengan pendirian beliau, saya memohon maaf. Ada pandangan beliau yang saya bersetuju dan ada pula sebaliknya.

Tetapi saya berpendapat walau apa pun yang terjadi, Umno mesti dipertahankan. Hancurnya Umno, akan hancurlah orang Melayu. Ini bukan andaian tetapi kenyataan.

Orang Melayu masih sayangkan Umno. Cuma disebabkan adanya golongan tertentu yang mengapi-apikan perasaan orang Melayu dan pelawaan tanpa usul periksa itu diterima, maka lama-kelamaan ia menjadi satu penyakit politik sempit yang sukar untuk diubati.

Ubat kepada kecenderungan sempit ini ialah kepercayaan ‘biar Umno hancur tapi jiwa aku puas’ dan akhirnya tamadun orang Melayu akan hancur.

Susah-payah pemimpin terdahulu hanya mahu dihancurkan dengan hasad dengkikan kenyataan bangsa. Orang Melayu, rasa saya, mengetahui sebenar-benarnya bahawa hidupnya sesuatu bangsa dan majunya sesuatu bangsa berkait rapat dengan kedudukan politik bangsa sendiri. Tidak ada bangsa di dunia ini yang berjaya tanpa kaitan politik.

Ada pula golongan dalam negara yang termakan umpan tanpa memikirkan kepentingan bangsa dan hanya mengikut pertimbangan fikiran yang kotor, jijik dan terikut-ikut dengan pelbagai umpan yang dihulurkan seperti kronisme, konspirasi atau sebagainya selagi orang Melayu gagal menggunakan pertimbangan yang wajar.

Umno ditubuhkan pada 1946 oleh Datuk Onn Jaafar. Ini bermakna sudah 54 tahun usia Umno. Maka, tanpa perjuangan Umno, orang Melayu tidak akan menikmati apa yang dinikmati sekarang.

Berapa ramai doktor Melayu telah dilahirkan oleh Umno melalui kerajaan sendiri. Berapa puluh ribu pensyarah dan profesor telah dilahirkan oleh Umno.

Berapa banyak tanah rancangan Felda atau sebagainya diwujudkan oleh Umno di samping banyak melahirkan jutawan Melayu.

Golongan ini telah menjadi sasaran kebencian rakyat disebabkan telah ditanam satu perasaan oleh golongan tertentu yang akibatnya mencurigai kejayaan dan kekayaan sesama bangsa.

Kalau hendak diceritakan satu persatu, jasa Umno terlalu banyak. Tetapi orang Melayu perlu sedar sekiranya perasaan membenci Umno ini terus wujud dan seterusnya menjadi satu penyakit yang tidak boleh diubati lagi, orang Melayu akan kehilangan segala-galanya yang ada di tangan mereka.

Sementara pihak lain akan cuba mempertahankan apa yang ada disebabkan sememangnya peraturan politik adalah begitu.

Sesuatu yang telah hilang melalui politik, maka bangsa Melayu terpaksa menggunakan permainan politik. Justeru, permainannya amat kejam dan zalim untuk mengembalikan apa yang telah terlepas dari tangan kita.

Jadi, kepada orang Melayu, saya mengingatkan diri saya dan seluruh orang Melayu supaya jangan bermain api dan jangan bermain perasaan.

Kekuatan orang Melayu hanya melalui Umno. Orang lain memandang kekuatan bangsa Melayu sekarang hanya disebabkan Umno kuat. Bila Umno lemah, maka tunggulah saat-saat kehancuran umat Melayu di Malaysia. Sememangnya orang Melayu ramai di seluruh dunia tetapi orang Melayu yang mampu memerintah hanya di Malaysia.

Kepada pensyarah universiti, penduduk Rumah Pangsa Taman Bukit Antarabangsa, Pantai Dalam dan penyokong parti pembangkang, saya menyeru supaya merenung kembali sejarah perjuangan bangsa dan tamadun bangsa.

Bila kita telah kenal sejarah bangsa, kita akan sayangkan bangsa kita.
Ingatlah apa yang diperjuangkan oleh pemimpin terdahulu bukan untuk diri mereka tetapi untuk dinikmati oleh anak cucu mereka. Renungkanlah kepada sejarah pahit mana-mana bangsa. Bila isu-isu agama, tohmahan dan fitnah disebarkan tanpa kawalan, runtuhlah bangsa.

Kita sedia maklum tidak ada kejadian yang sempurna sebab semuanya adalah ciptaan belaka, begitu juga Umno yang tidak sunyi daripada sedikit-sebanyak kelemahan.

Allah telah menduga Umno dengan berbagai-bagai dugaan, dari sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya. Namun, agaknya Allah masih sayangkan Umno. Sebab itulah segala kelemahan Umno dipertontonkan sekarang supaya ia diperbaiki.

Namun, satu hakikat yang tidak boleh ditolak ialah jika rumah ingin diperbaiki, mestilah dilihat di mana yang perlu diperbaiki. Tetapi jika rumah ingin dibaiki dengan cara ditumbangkan tiang serinya atau induknya, maka akan robohlah rumah tersebut dan untuk mendirikannya semula memerlukan bukan sedikit tenaga dan pengorbanan.

Saya yakin orang Melayu tidak ingin bangsanya menjadi pengemis di tanah air sendiri.

Sebagai orang biasa yang tidak ada apa-apa jawatan dalam parti politik tetapi sebagai orang Melayu yang hidup di empat zaman, 60-an, 70-an, 80-an, 90-an dan alaf baru, saya menyeru kepada penyokong pembangkang supaya hentikanlah menggunakan isu-isu yang boleh menjahanamkan bangsa.

Kalaupun anda terlalu membenci Umno, renungkanlah apa yang telah berlaku dan sedarlah apa yang anda sedang lakukan sekarang sesungguhnya amat berbahaya.

Justeru ia boleh merosakkan bangsa Melayu, jangan biarkan suatu masa nanti kita dikutuk oleh bangsa lantaran kesalahan yang dilakukan sendiri.
Sesungguhnya renungkanlah bidalan Melayu yang paling masyhur: “Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.

Jangan dibakar kedondong bisa,
Tidak boleh dimakan dijual beli,
Jangan dicabar payung bangsa,
Kelak hilang pengganti diri.