ISLAM AGAMA SEPANJANG ZAMAN

 

Ungkapan bahawa Islam adalah cara hidup senantiasa bermain di bibir pemimpin-pemimpin PAS seolah-olah tiada lagi yang lebih Islam melainkan cara hidup yang dilalui oleh mereka.  Mereka mengakui bahawa cara hidup Islam itu sesuai dengan semua zaman dan Islam itu sesuai untuk semua tempat.   Bagaimanapun, tafsiran mereka tentang “sesuai” dan tafsiran mereka mengenai “cara hidup” agak mencurigakan.   Apa yang mereka lakukan adalah cuba menyesuaikan cara hidup masyarakat Arab pada zaman Nabi dengan dunia sekarang.  Mereka juga mentafsirkan cara hidup Islam itu sebagai undang-undang Islam semata-mata.  Selain itu, jubah, serban dan tudung masih lagi menjadi lambang cara hidup Islam bagi mereka selain dari slogan-slogan mengenai Islam.

 

Secara dasarnya, cara hidup Islam sudah seharusnya merangkumi semua aspek iaitu, sosial, pendidikan, undang-undang dan sebagainya.  Di masa yang sama, dalam konteks seseorang individu pula, “hidup dengan cara Islam” bukan bermakna melaungkan nama agama itu setiap hari, tetapi bermaksud setiap niat, langkah dan pertuturan haruslah berlandaskan ajaran Islam.   

 

Bangsa Melayu telah mewarisi Islam semenjak zaman berzaman dan turun temurun.   Dalam tahun 50an dan 60an, Bangsa Melayu menjalani kehidupan yang agak moden atau kebaratan lantaran pengaruh yang diserap oleh penjajah British.   Cara pemakaian barat dan juga majlis tari menari menjadi kelaziman pada waktu itu.  Di penghujung tahun-tahun 70an seterusnya tahun 80an pula, kita menyaksikan sedikit demi sedikit Bangsa Melayu mengubah cara pemakaian dan majlis-majlis dansa juga berkurangan.  Kononnya, Bangsa Melayu sedang menggunapakai “cara hidup Islam”.   

 

Jika Islam diukur berdasarkan keterampilan semata-mata, maka apakah kita menidakkan atau merendahkan keIslaman ibu bapa atau nenek moyang kita di masa lalu?  Jawapannya ialah tidak seorang pun dari kita dapat atau berhak untuk menilai, menghukum atau mengukur keIslaman orang lain.  Samada terhadap orang-orang sebelum kita ataupun orang-orang di sekeliling kita sekarang.   Di sinilah kita patut menilai kembali “cara hidup Islam” dalam ertikata yang sebenar.   Sesungguhnya kita tidak akan dapat menghayati cara hidup Islam jika kita asyik memikirkan keIslaman orang lain sehingga kita ketinggalan dalam mengejar perubahan zaman.

 

Kita punya tanggungjawab untuk membuktikan bahawa Islam itu sesuai dari zaman Kesultanan Melaka  sehinggalah ke Zaman Globalisasi.

 

Malaysia telah mengalami beberapa perubahan dan peningkatan seiring dengan kemajuan dunia.  Wajarlah Umat Islam terutamanya PAS yang begitu lantang melaungkan cara hidup Islam itu, memikirkan bagaimana untuk meletakkan diri kita sama tahap kalaupun tidak terkehadapan daripada masyarakat bukan Islam dalam zaman yang serba canggih ini.  Setidak-tidaknya kerajaan UMNO yang tidak melaungkan slogan-slogan Islam itu, telah bertindak untuk membuktikan kesesuaian Islam itu dengan zaman sekarang. 

Di zaman kegemilangan Islam, Ulama, tidak semestinya terdiri dari mufti-mufti atau ustaz-ustaz.  Mereka terdiri dari professor-professor, pakar-pakar dalam segala macam ilmu dunia kerana mereka tekun menghayati tuntutan Al-Quran.  Lalu bagaimana pula Ulama di zaman ini menghayati Al-Quran dalam meletakkan Islam itu sesuai dengan zaman?  Ulama di zaman ini kalaupun tidak menjadi pakar-pakar dalam bidang duniawi, mereka harus cuba menyesuaikan pengetahuan dan pemikiran mereka dengan arus deras perubahan zaman.  Mereka harus mula memikirkan kedudukan Umat Islam di segi ekonomi seterusnya persediaan Umat Islam bukan sahaja dari segi rohani tetapi juga secara realitinya dari segi material.   Seperti Islam itu sendiri, pemikiran Ulamanya juga sudah seharusnya sesuai dengan zaman untuk memastikan yang Umat Islam tidak terus ketinggalan.

 

Justeru, kita amat ingin mendengar para Ulama pembangkang yang begitu lantang memperkatakan tentang Islam sebagai cara hidup itu juga bercakap mengenai cara hidup Umat Islam dalam zaman globalisasi.  Kita amat ingin mendengar Presiden PAS bercakap mengenai teknologi dan Menteri Besar yang baru mendapat takhta di Terengganu, bercakap mengenai ekonomi dalam skop yang lebih menyeluruh.   Kita juga amat ingin mendengar pendapat Tok Guru di Kelantan mengenai “aerospace”, atau k-ekonomi, e-dagang atau mungkin juga pendapat beliau mengenai sistem pertahanan dunia Islam.  Untuk hidup di zaman ini, kita tidak perlukan “teguran” yang bersifat peribadi terhadap individu-individu tertentu.  Apa yang kita perlu dan apa yang ingin kita lihat adalah teguran, kritikan dan pandangan mahupun bangkangan yang lebih global, bernas dan bermanfaat demi kepentingan Islam sejagat. 

 

Jika benar PAS melaksanakan cara hidup Islam yang sesuai sepanjang zaman, kenapakah setelah 10 tahun memerintah, Kelantan masih ketinggalan zaman?   Negeri itu bukan sahaja ketinggalan kini, iaitu semasa kita sedang beranjak ke era globalisasi malah telah ketinggalan semenjak kita sedang beranjak dari era pertanian ke era industri lagi. 

 

Ini sudah cukup membuktikan bahawa PAS tidak layak untuk memimpin Umat Islam di zaman ini dan cara hidup Islam “ala PAS” bukan hanya akan menyebabkan kita terhenti dari terus maju tetapi juga akan menggerakkan kita ke belakang.  

 

Islam di zaman ini memerlukan pemimpin yang mampu membawa kita mengharungi perubahan zaman bukannya pemimpin yang sibuk memikirkan tentang keIslaman orang lain.  Umat Islam memerlukan pemimpin yang berfikiran jauh dan tajam untuk melihat di sebalik tabir masa, dan yang dapat memahami cabaran ekonomi, industri serta teknologi dalam proses menuju globalisasi, bagi memastikan keselamatan mahupun ketuanan bangsa dan agama. 

 

Maka bersyukurlah, kerana sesungguhnya pemimpin itu telah pun berada di depan mata dan sedang berkhidmat sebagai Perdana Menteri kita.  Itulah tanda yang Allah S.W.T masih menyayangi kita, rakyat Malaysia.  Janganlah kita buta terhadap kurniaan Allah S.W.T kepada kita kerana umat yang tidak bersyukur terhadap kurniaanNya akan hanya mengundang bala.