PAS – APAKAH KESUDAHANNYA ?

 

Memerhatikan perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merupakan satu yang melucukan, menghairankan dan menyedihkan. Parti ini yang kononnya memperjuangkan Islam telah dengan sewenang-wenangnya membanjirkan Malaysia dengan fitnah.   Sekecil-kecil fitnah seperti menuduh YAB Perdana Menteri jatuh kuda, fitnah bahawa UMNO tidak memperjuangkan Islam, fitnah bahawa ekonomi negara kita tidak pulih sehinggalah sebesar-besar fitnah bahawa Allah mencarut, semuanya diterima oleh penyokong mereka tanpa ditapis, difikir, disiasat dan disoal langsung.   Fitnah itu pula disebar tanpa rasa takut, bersalah mahupun perasaan berdosa.   Dan apabila berita itu dibuktikan sebagai fitnah semata-mata, penyokong mereka memejam mata serapat-rapatnya dan menyumbat telinga sedalam-dalamnya sementara pemimpin mereka berhadapan dengan orang yang mereka fitnah, berhadapan dengan dunia dan “berhadapan” dengan Allah lima kali sehari dengan selamba.   

 

Tindak tanduk PAS dalam mencapai matlamat perjuangan mereka memang lucu kerana mereka boleh mengubah pendirian, keputusan hatta tafsiran ayat Al-Quran sekalipun asalkan ianya memberi kelebihan pada Parti mereka.   Kelucuan PAS jelas terserlah apabila mereka bersekongkol dengan DAP yang menentang negara Islam dan hak keistimewaan Melayu.   Begitu juga dengan bersekongkol dengan KeAdilan yang bersusah payah mengemis simpati dari seorang Presiden “raja maksiat” dan juga dari beberapa pemimpin barat.  Apabila  bersekongkol, mereka-mereka ini menjadi bertambah lucu kerana mereka terpaksa berjuang menegakkan negara Islam dengan mempertahankan perlaksanaan hukum hudud tetapi di masa yang sama terpaksa bersetuju dengan pendirian DAP.  Akhirnya, apabila mereka memenangi pilihanraya dan berjaya memerintah Terengganu, mereka mengambil jalan tengah dan sederhana iaitu jalan yang  telah lama diambil oleh UMNO.  Hudud ke mana, negara Islam ke mana, lesen arak tetap di situ dan ternakan babi pula yang muncul.    

 

Kelucuan ini tidak terhenti di situ.   PAS yang kononnya memperjuangkan Islam telah bertindak bertentangan dengan sikap seorang muslim sejati.   Kejadian mengejek  dan  menumbuk penyokong dan pemimpin UMNO,  mencarut dan memaki hamun dan  juga menceroboh e.mail serta laman-laman web penyokong UMNO telah menjadikan mereka seperti badut.   Betapa lucunya PAS ini sehinggakan dalam pilihanraya yang lepas, mereka dengan bangganya memilih seorang “Professor Carut” sebagai wakil rakyat di tempat mereka.  

 

Hairan sekali, dalam kepekakkan dan kebutaan mereka, mereka tidak bisu dan walaupun telah dapat menambah kerusi di Dewan Rakyat, mereka memilih untuk menyebar fitnah melalui internet dan risalah bagi menyuarakan “kesalahan” kerajaan.  Segala yang mereka tuduh, tak dapat diketengahkan kerana tidak ada satu bukti pun.

 

Bertambah hairan lagi apabila mereka memfitnah YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir bersekongkol dengan barat.  Bukan rahsia lagi yang barat begitu membenci YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir dan menyebar berbagai fitnah terhadap beliau termasuklah satu fitnah oleh majalah Newsweek yang penulis anggap kelakar iaitu kononnya beliau adalah anak seorang nelayan?  Barat mengecam tindakan YAB Perdana Menteri dalam menyelamatkan ekonomi negara.   Barat memuji penyokong pembangkang yang merusuh sebagai berani.   Hampir seluruh media barat bersatu dan menghentam beliau dalam isu perlucutan jawatan Timbalannya pada 2hb September 1998.   Justeru, penulis menjadi hairan apabila membaca tulisan-tulisan dalam akhbar Harakah yang begitu konsisten dengan tulisan-tulisan dalam media barat lain yang beria-ia dan bersungguh-sungguh memupuk kebencian terhadap YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir.   Bukankah ianya menghairankan apabila sebuah Parti yang memperjuangkan Islam tiba-tiba bersuara satu rentak, senada dan seirama dengan barat?  Tulisan-tulisan mereka menggambarkan betapa sekiranya  YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir dapat ditumbangkan, maka puaslah hati mereka, sepuas hati musuh-musuh Islam di barat juga. 

 

Sebaliknya, YAB Perdana Menteri terus menerus menerima sokongan dari negara Islam lain yang mengkagumi dan mengiktiraf pemikiran beliau.   Bagaimana pula seorang yang dituduh “tidak cukup Islam” dan kadang-kadang “tidak Islam” dikagumi oleh pemimpin dan rakyat di negara Islam lain?    Apakah PAS juga mengecap pemimpin dan rakyat negara Islam tersebut sebagai “tidak cukup Islam” kerana menyokong YAB Perdana Menteri?

 

Segala kelucuan dan kehairanan inilah yang kemudiannya menjurus kepada kesedihan.

 

Kita tidak boleh menyifatkan senario ini sebagai sekali peristiwa dalam negara yang akan berlalu tanpa menjejaskan apa-apa.   Kita tidak seharusnya berlengah-lengah atau ragu-ragu untuk bangun menyedarkan penyokong-penyokong PAS ini dari tidur hanya kerana tidak sanggup meninggalkan keselesaan atau segan untuk turun padang bersemuka dengan pendapat mereka samada di dalam penulisan atau di dalam dialog kerana dengan mengambil sikap begitu akan hanya membawa kesudahan yang amat sedih untuk agama, bangsa dan negara kita satu hari nanti.    Kita sendiri perlu bangun sebelum kita dapat membangunkan orang lain dari tidur yang nyenyak itu.

 

Ada yang mengatakan bahawa untuk memenangi satu peperangan, kita perlu berfikir dan mungkin bertindak mengikut cara musuh kita.  Ada pula yang mengatakan kita tidak seharusnya berfikir dan bertindak seperti musuh kita tapi perlu mencari strategi lain untuk memerangkap musuh kita.   Apa pun alasannya dan apa pun caranya, yang penting ialah kita perlu bertindak dengan berkesan asalkan tindakan kita tidak salah di sisi agama, tidak salah di segi undang-undang, dan cara kita itu membuahkan hasil.  Kita tidak seharusnya bertindak dengan cara yang sama jika cara itu terbukti tidak berkesan.   Memetik kata seorang pakar pemikiran, Edward de Bono, “Kita tidak boleh mengharapkan yang kita dapat menggali sebuah lubang yang lain dengan hanya menggali lubang yang sama dengan lebih dalam”.   

 

Pendek kata, kita perlu menentukan kesudahan perjuangan lucu PAS ini kerana ia pasti tidak lucu lagi apabila semuanya telah musnah.