Make your own free website on Tripod.com

PELAN INDUK:   MALAYSIA

 

Seorang  pemimpin negara yang bijak pasti akan merangka “Pelan Induk” (Master Plan) untuk rakyatnya bagi mencapai matlamat sebagai negara yang makmur dan maju. Bagi Malaysia, setiap rakyat yang celik sanubarinya pasti dapat menghayati segala perubahan sepanjang pemerintahan YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohammad.   Perancangan dan strategi Dr. Mahathir dalam proses mencapai matlamat tersebut  adalah  jelas dan kita sebagai rakyat harus memahami dasar demi dasar yang diperkenalkan oleh beliau. 

 

Dimulakan dengan memastikan kesinambungan dan peningkatan dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru, taraf ekonomi bumiputera pun meningkat tahun demi tahun tanpa menjejaskan kaum lain sekaligus melenyapkan ketegangan antara kaum.   Dasar Pandang Ke-Timur yang diperkenalkan dalam tahun 80an-90an pula, mencorakkan sistem sosial dan membentuk masyarakat khususnya bumiputera supaya lebih kuat berusaha. Konsep Persyarikatan Malaysia juga diperkenalkan dalam pentadbiran bagi memastikan hasil yang memuaskan dalam apa jua perancangan untuk negara. Di masa yang sama, Penerapan Nilai-nilai Islam dipupuk dan media mula memain peranan yang agak aktif bagi memastikan yang masyarakat Islam di Malaysia berada di dalam gerabak dan di atas landasan yang betul dalam mengharungi kemajuan demi kemajuan yang dicapai setiap hari. Akhirnya kita diperkenalkan pula dengan Wawasan 2020 iaitu tarikh sasaran bagi lengkapnya ketamadunan sebuah negara Islam iaitu Malaysia.

 

Malangnya, akhir-akhir ini, iaitu lebih kurang 20 tahun sebelum tarikh sasaran tersebut tiba, ekonomi kita diserang dan rakyat Malaysia tiba-tiba berpecah dari landasan.   Sekali lagi YAB Perdana Menteri terpaksa mengambil tindakan kurang popular dan menerima cercaaan dari negara kuasa besar semata-mata untuk menyelamatkan kita.  Alhamdulillah, pengorbanan dan perjuangan beliau berjaya memulihkan ekonomi kita semula.  Namun, pengorbanan dan perjuangan itu masih tidak dapat menyatukan kembali rakyat Malaysia di atas landasan yang sedia terbina itu.  Ada rakyat yang masih di atas landasan, ada yang membina landasan baru, ada yang berpatah balik ke belakang dan ada yang sesat entah ke mana.

 

Persoalannya, apakah perpecahan ini berlaku kerana ada kesilapan dalam Pelan Induk tersebut? Tidak logik sekali jika dikatakan bahawa keseluruhan perancangan Dr. Mahathir itu tersilap kerana gelaran Harimau Asia adalah bukti yang rancangan itu sedang menempa kejayaan.  Oleh kerana perpecahan berlaku disebabkan agama (Islam), maka apakah ini bermakna bahawa ada kesilapan dalam Penerapan Nilai-nilai Islam yang merupakan sebahagian dari Pelan Induk tersebut?

 

Kita nampaknya terlalu ghairah untuk menunjukkan kejayaan perlaksanaan Penerapan Nilai-nilai Islam itu dengan berlumba-lumba untuk menjadi graduan bidang agama, berlumba-lumba untuk mengejar pahala dan sebagainya.   Dalam proses itu juga, masyarakat kita berlumba-lumba mengaji, membaca, menghafal, mendengar ceramah serta memberi ceramah.  Tetapi masyarakat kita telah terlupa sesuatu yang penting dalam Islam iaitu berfikir, mengkaji, meneliti, menyelidik dan menganalisa.  Maka dengan itu, penerapan nilai-nilai Islam ini sebenarnya masih jauh dari berjaya, buktinya adalah masyarakat Islam di Malaysia masih mundur dari segi akhlak, pendidikan dan ekonomi.  Sedangkan kita juga yang mendabik dada bahawa Islamlah yang membentuk akhlak dan Islamlah yang membentuk tamadun awal dunia.   Bagaimana kita boleh membuktikan kata-kata kita jika sebuah negeri yang kononnya paling Islamik yang diperintah oleh Parti Islam Se-Malaysia berada seolah-olah 10 tahun ke belakang dari negeri-negeri lain?  Apakah itu contoh pentadbiran cara Islam?

 

Tidak dapat tidak, kita perlu mengakui ada sesuatu yang kurang atau tersilap dalam perlaksanaan Penerapan Nilai-nilai Islam ini, kerana Malaysia tiba-tiba dipenuhi dengan pemikiran jumud dan kolot yang menjadi punca perpecahan. Kekurangan atau kesilapan ini juga telah membuka ruang kepada orang luar mengsabotaj rancangan kita untuk membentuk satu tamadun Islam yang baru.  Oleh kerana kita hanya mengaji tetapi tidak mengkaji maka kita tidak dapat membaca strategi pengsabotaj-pengsabotaj professional ini.  Jika kita menganalisa sejarah Islam, kita akan faham bahawa pengsabotaj dari luar bukanlah satu perkara yang menghairankan kerana Malaysia adalah satu-satunya negara Islam yang berpotensi untuk maju dan Perdana Menteri kita adalah satu-satunya Perdana Menteri yang berani bersuara demi negara-negara lemah yang lain yang rata-ratanya terdiri dari negara Islam.  Sesungguhnya Al-Quran telah mengingatkan kita tentang pengsabotaj ini dalam surah Al-Baqarah; ayat 120:

 

orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka”.

 

Jika kita kaji lagi, pengsabotaj ini dilaknat Allah hingga akhir zaman atas kesalahan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.  Sebabnya pastilah kerana mereka akan terus menerus mengulangi kesalahan nenek moyang mereka sehingga akhir zaman.  Kita perlu faham bahawa pengsabotaj ini tidak akan terjejas dengan besarnya serban kita atau labuhnya tudung kita kerana itu adalah soal individu.  Mereka tidak akan terjejas jika seluruh umat Islam bekerja sebagai ustaz, kadi atau mufti atau dengan negara Islam yang asyik bertelagah tentang siapa lebih Islam dari siapa.  Tetapi  mereka akan merasa terjejas dan terganggu jika ramai umat Islam yang menjadi saintis atau pakar ekonomi serta negara Islam itu bersatu dan maju.  Kerana kemajuan adalah sama nama dengan kekuatan.   Sudah tentulah sebagai musuh Islam, mereka sekali-kali tidak mengalu-alukan sebuah negara Islam yang kuat.

 

Plan A” mereka, iaitu serangan ekonomi dapat dipatahkan kerana landasan yang dibina oleh YAB Perdana Menteri kita agak kukuh.  Dengan berpecah dari landasan, kita sebenarnya sedang memainkan peranan dalam “Plan B” mereka.  Pun begitu, “Plan A” mereka belum gagal malah masih giat disuap kepada kita melalui globalisasi. 

 

Malaysia perlu memperbaiki kesilapan dalam proses Penerapan nilai-nilai Islam ini dan mula melahirkan intelektual Islam yang dapat berfikir, mengkaji, menyelidik, menganalisa dan meneliti segala sudut kehidupan samada dunia mahupun akhirat.  Akarnya tetap dari Al-Quran tetapi dahannya sepatutnya lebih bercabang demi untuk mengeluarkan lebih banyak hasil untuk bersaing dengan pengsabotaj professional tersebut sekaligus memelihara dan meningkatkan maruah agama, bangsa dan negara.

 

Sesungguhnya, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir telah menjalankan tugas seorang Perdana Menteri dengan baik sekali dan buktinya ialah kita telah lama makmur, ekonomi kita masih kuat dan kita sudah lama merasakan tempias kemajuan.  Dan yang penting walaupun mungkin ada kesilapan dalam perlaksanaan Penerapan Nilai-nilai Islam di atas, Pelan Induk beliau keseluruhannya tidak pernah gagal.  Dalam masa 20 tahun ini, kita tidak dapat membuat kesilapan lagi, kalaupun rakyat yang tersesat itu tidak ingin Wawasan 2020 tercapai kerana tidak menyokong YAB Perdana Menteri, sekurang-kurangnya bersatulah di atas landasan yang sama kalaupun gerabak yang berlainan demi membina sebuah tamadun Islam yang kuat, makmur dan maju.  Kita masih punya 20 tahun untuk memperbaiki keadaan.   Semoga kita tidak terus menerus menggunakan nama Islam untuk menghancurkan sebuah perjuangan ke arah kegemilangan Islam.