FORMULA MENDAULATKAN ISLAM

 

Seperti kata YAB Perdana Menteri, dalam kita menempuhi alaf baru ini, kita harus menoleh ke belakang sebelum menentukan arah ke hadapan.  Ini kerana laungan terhadap negara atau wilayah Islam semakin ketara dan semakin kuat kini.   Pun begitu, penindasan terhadap umat Islam juga semakin menjadi-jadi.  Semakin kuat kita melaungkan Islam, semakin teruk penindasan terhadap Islam.  Walau apapun perjuangan kita terhadap Islam, kita haruslah berjuang dengan bijak bukan berjuang dengan air liur semata-mata.  Setiap perjuangan harus ada formula dan strateginya.  Perjuangan seperti ini tidak dapat diselesaikan dalam jangka waktu terdekat – malah ia mengambil masa bertahun-tahun malah mungkin beratus-ratus tahun. 

 

Dan lagi adalah tidak berbaloi jika kita berjuang bermati-matian untuk mencapai status Negara Islam tetapi di masa yang sama ciri-ciri keIslaman di dalam diri sendiri hilang entah ke mana.  Lebih tidak berbaloi lagi jika kita berjuang bermati-matian untuk mencapai status Negara Islam sehingga makanan dan pelajaran anak-anak kita tidak menentu.   Ini kerana tanpa pemakanan dan pelarajan yang sempurna, walaupun anak-anak kita akan mewarisi agama Islam tetapi mereka mungkin hanya boleh membentuk satu masyarakat Islam yang miskin dan hina di kemudian hari.  Ini adalah satu perjuangan yang sia-sia kerana jika kita miskin dan hina bagaimana kita boleh mengembalikan kegemilangan Islam?

 

Umat Islam di seluruh dunia memang berbangga dengan sejarah kegemilangan agama Islam suatu waktu dahulu.  Kegemilangan Empayar Islam suatu masa dahulu masih terngiang-ngiang di fikiran kita semua.  Kita bangga bahawa orang Islamlah yang paling maju ketika itu.  Segala ilmu di dunia ini dimiliki oleh orang Islam.  Orang Islam menjadi Ahli Sains, Ahli Matematik, Ahli Perubatan, Ahli Arkitektur, Ahli Perniagaan dan segala macam ahli lagi. Segalanya ini adalah fakta, namun ianya sekarang hanyalah fakta sejarah.

 

Realitinya sekarang adalah Umat Islam diketawakan, dibonekakan, ditindas dan dibunuh.  Negara Islam miskin dan mundur.  Negara Islam penuh dengan keganasan dan huru hara.   Pakistan, Bangladesh, Indonesia, malah Umat-umat Islam di Eropah – Chechnya, Bosnia serta Umat-umat Islam di negara-negara Afrika semuanya seolah-olah memberi simbol kemiskinan, ketidakupayaan dan keganasan.  Apakah yang telah terjadi dengan kegemilangan yang kita capai suatu waktu dahulu?  Di  manakah salah kita?

 

Perkara inilah yang perlu dikaji oleh para pendakwah, ulama-ulama dan lain-lain cendekiawan agama.  Perkara ini perlu dikaji secara  menyeluruh dalam satu persatuan atau badan yang mungkin juga boleh bertindak secara global. Kita perlu bersatu untuk memulihkan kegemilangan Islam itu – jika benar itu yang kita mahu.   Namun, sebelum menangani perkara ini dalam skop yang global, adalah terlebih dahulu kita harus melihat perkara ini dalam skop yang lebih kecil, iaitu di negara kita sendiri.

 

Apa saja yang diperjuangkan harus ada perancangan, strategi atau formula.  Formula kegemilangan Islam wajib mempunyai ramuan-ramuan seperti berikut:

 

1)      Iman & Kebersihan rohani seperti berbaik sangka, jujur, merendah diri, ikhlas dll yang kemudiannya membentuk

2)     Akhlak yang baik seperti saling menghormati, menyayangi, memaafi dll akan secara automatik memudahkan Umat Islam untuk

3)     Bersatu dan saling bantu-membantu dari segi

4)     Pelajaran/ilmu yang mana akan meningkatkan

5)     Ekonomi lalu membawa kepada

6)     Kemajuan seterusnya

KEGEMILANGAN.

 

Berbanding dengan negara Islam lain, Malaysia mempunyai masalah yang agak unik kerana Malaysia sudah hampir sampai kepada tahap ke 6 (kemajuan) dalam formula di atas tanpa melalui tahap 1 hingga 3 (kerohanian, akhlak ilmu & bersatu).  Di samping itu juga, ramuan 4 – 6 (ilmu dan ekonomi) pula hanya dimasukkan dengan pertolongan masyarakat bukan Islam di sini. Dan sudah tentulah tanpa semua ramuan-ramuan tersebut, adalah mustahil sama sekali bagi kita untuk mencapai objektif iaitu mengembalikan kegemilangan Islam.   Dengan itu, tidak boleh tidak, harus bermula daripada Ramuan 1.

 

Sebenarnya apa yang perlu adalah keikhlasan seseorang Muslim itu sendiri dalam mengakui apa sebenarnya yang dicari dan apa sebenarnya yang diperjuangkan.  Benarkah orang-orang yang melaung-laung memperjuangkan negara Islam itu sebenarnya benar-benar ingin mendaulatkan Islam?  Benarkah orang-orang yang melaung-laungkan Islam itu benar-benar menyangka bahawa dengan melabelkan negara kita negara Islam lengkap dengan perundangan-perundangan Islam, maka mereka secara automatik akan dinaikkan darjat di sisi Allah seterusnya Islam dapat didaulatkan semula?

 

Darjat seseorang Muslim di sisi Allah bergantung pada imannya dan akhlaknya iaitu dua ramuan asas untuk mengembalikan kegemilangan Islam.  Darjat seseorang Muslim sama sekali tidak bergantung kepada undang-undang, negara, kerajaan atau Perdana Menteri.   Undang-undang negara tidak dihitung sebagi amalan di akhirat nanti, jadi jangan mengharapkan kerajaan atau Perdana Menteri untuk menolong memasukkan ramuan-ramuan 1 – 3 di dalam formula di atas ke dalam diri kita kerana tidak ada kerajaan di dunia yang bertanggungjawab terhadap Iman rakyatnya.  Seorang Muslim boleh menjadi Muslim yang sebenar di mana-mana saja dia berada. Sedangkan di zaman permulaan Islam,  ketika umat Islam dihalang dari bertakwa kepada Allah, masih ramai yang menjadi Muslim sejati - apatah lagi di zaman ini di mana tidak ada sesiapa pun yang menghalang kita dari beribadat kepada Allah malah diberi kemudahan-kemudahan pula.

 

Kesimpulannya, jika kita menyedari hakikat ramuan 1 – 3 di atas, barulah kita akan dapat melangkah di jalan yang betul untuk meneruskan perjuangan mendaulatkan Islam. 

 

Di Malaysia, rata-rata yang melaung-laungkan Islam itu tanpa segan silu menonjolkan sifat riak dan sombong iaitu salah satu simptom penyakit rohani. Sedangkan kebersihan rohani adalah ramuan asas dalam perjuangan mendaulatkan Islam. Lalu bagaimana kita dapat mencapai matlamat perjuangan sedangkan asasnya saja sudah tidak ada.  Apabila sudah terlalu riak maka timbullah sifat memperlecehkan orang lain kemudiannya menyalahkan orang lain lalu terjadilah perpecahan di kalangan Umat Islam.   Maka semakin jauhlah kita dari objektif perjuangan  kita.  

 

Inilah keunikan masalah di Malaysia dan betapa uniknya masalah ini sehingga seorang yang mengagung-agungkan mencarut juga dilantik sebagai wakil rakyat oleh orang-orang yang kononnya memperjuangkan Islam.   Inilah bukti betapa akhlak dan kebersihan rohani tidak diambil berat oleh mereka.

 

Rasanya sudah sampai masanya golongan yang mengaku memperjuangkan Islam tadi berhenti dari mempertikaikan iman dan keislaman orang lain.  Berhentilah dari melihat  didalam diri orang lain dan sedarlah bahawa kita semua adalah manusia biasa dan tidak mempunyai hak untuk menilai iman manusia lain.  Sekali-sekala kita perlu merendah diri dan melihat diri sendiri kalau-kalau terlanjur.   Iman orang lain adalah antara mereka dengan Allah bukan mereka dengan kerajaan atau kerajaan dengan Allah.   Selagi kita tidak merasa bahawa kebersihan rohani dan akhlak itu adalah tanggungjawab kita dan meletakkan segala-galanya atas bahu kerajaan maka selagi itulah kita tidak dapat bersatu.  Dan selagi kita tidak bersatu selagi itulah kita tidak dapat mendaulatkan bangsa dan agama kita.

 

Tak perlulah berteriak tentang negara Islam sedangkan di dalam hati penuh dengan riak, takbur, amarah, benci, dengki dan iri hati.  Ini kerana melabelkan negara kita sebagai Negara Islam tidak akan memberi kesan terhadap darjat kita di sisi Allah tetapi sebaliknya darjat kita di sisi Allah S.W.T mungkin terjejas jika kita mempunyai penyakit-penyakit hati sedemikian.

 

Jadi janganlah kita beria-ia ingin melihat keindahan di sebalik bintang sedangkan selut terpalit di belakang lengan pun kita tak tahu.   Periksa diri masing-masing dahulu barulah kita dapat meneruskan perjuangan dengan melalui jalan yang betul.