KETUANAN MELAYU

 

SATU daripada kepintaran atau 'genius' Dr. Mahathir ialah beliau boleh mengupas idea yang semua orang sedia faham tetapi mungkin tidak menyedarinya.

 

Memang pun Perlembagaan Malaysia tidak menghadkan jawatan Perdana Menteri kepada mana-mana kaum.

 

Cuma keadaan politik dan sosio ekonomi sudah berubah dengan pantas sehingga soalan seperti ini boleh menjadi kenyataan.

 

Memilih seorang Perdana Menteri bukan Melayu tidak semestinya sesuatu perkara yang tidak baik bagi rakyat negara kita. Yang lebih penting ialah proses atau perjalanan yang perlu dilalui yang boleh mengakibatkan jawatan Perdana Menteri disandang oleh orang bukan Melayu.

 

Satu senario yang baik yang mungkin boleh diterima ramai orang termasuk orang Melayu, ialah ketiadaan semua perbezaan antara kaum terutama sekali perbezaan ekonomi.

 

Jika semua kaum dalam negara kita boleh berdikari dan berjaya dalam semua bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan tanpa perlu berteduh di bawah payung perkauman tertentu, maka sesiapa pun boleh menjadi Perdana Menteri tanpa dibimbangi sentimen perkauman.

 

Inilah satu ideal yang mesti diwujudkan dalam negara kita dengan secepat mungkin.

 

Proses yang tidak begitu baik yang juga boleh menyebabkan perlantikan Perdana Menteri yang bukan Melayu ialah apabila orang Melayu berpecah belah dan kekuatan politik mereka lemah. Sepertimana kita lihat baru ini, perpecahan dikalangan orang Melayu meyebabkan huru hara  dalam negara.

 

Kalau kita perhatikan demografi penduduk Malaysia dan perletakan kerusi Parlimen, kita akan sedar orang Melayu sangat bergantung atas perpaduan sesama Melayu dan kerjasama dengan kaum lain untuk mengekalkan Melayu sebagai 'tuan' dalam negara ini.

 

Misalnya pada pilihanraya yang baru lalu, UMNO menang 72 kerusi Parlimen, PAS mendapat 27 kerusi dan Keadilan lima kerusi. Inilah tiga parti yang boleh dianggap parti Melayu. Secara jumlahnya ketiga-tiga parti Melayu ini menawab 104 kerusi Parlimen. Dalam erti kata lain orang Melayu boleh menawan 54 peratus daripada jumlah 193 kerusi Parlimen. Kalau orang melayu bersatu, orang Melayu tetap kekal sebagai tuan dalam memegang kuasa politik. Tapi Melayu yang miskin boleh dijual beli politiknya seperti juga tanah bendang boleh dipajak kepada orang lain.

 

Bagaimana pula kuasa politik Melayu jika orang Melayu berpecah?  Walaupun UMNO menang 72 kerusi, 11 darinya di negeri Sabah.  Di Semenanjung Malaysia (aka Tanah Melayu) Umno hanya mendapat 61 kerusi iaitu 31 peratus saja daripada jumlah 193 kerusi Parlimen.  Sekiranya Umno kehilangan hanya 10 kerusi lagi di Semenanjung ini bermaksud tanpa Sabah, UMNO akan mempunyai 26 peratus saja kerusi Parlimen.

 

Apakan Umno masih boleh menyandang jawatan Perdana Menteri dalam keadaan yang demikian? Perkara yang lebih mengancam bagi Umno ialah sekiranya orang Melayu terus berpecah, kaum lain dalam negara kita boleh hilang kepercayaan kepada UMNO sebagai tunjang negara dan teraju Kerajaan.

 

Parti komponen Barisan Nasional yang lain memegang 76 kerusi atau 39 peratus daripada jumlah kerusi Parlimen.  Parti pembangkang memegang 45 kerusi atau 23 peratus dari jurnlah kerusi.

 

Kita tidak perlu rujuk kepada ahli matematik untuk memahami, jika 27 peratus saja daripada kerusi Parlimen Barisan yang dipegang oleh komponen Barisan Nasional bergabung dengan pembangkang riwayat UMNO akan tamat.

 

Ini bukan mustahil berlaku.  Apabila orang Melayu berpecah pada 1990 dan mewujudkan Parti Melayu Semangat 46, Parti Bersatu Sabah telah undur daripada Barisan Nasional dan bergabung dengan parti pembangkang termasuk Semangat 46. Kesudahannya, Sabah jatuh ke tangan parti pembangkang dan Parti Melayu Semangat 46 jatuh ke dalam longkang.  Orang Melayu yang rugi.

 

Inilah senario kurang baik yang patut dikhuatiri UMNO.  Senario ini hanya akan berlaku jika orang Melayu terus berpecah dan berpuak-puak. Dalam senario ini, puak-puak orang Melayu akan bergantung kepada tolak ansur parti lain dalam gabungan sebab tiada parti Melayu yang akan mempunyai majoriti yang kukuh.

 

Dalam keadaan ini, orang bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri. Orang Melayu akan berpecah jika mereka terus utamakan kronisme dan kepuakan agama.  Orang Melayu bergantung kepada kronisme sebab mereka tidak dapat menjayakan ekonomi tanpa  kronisme.  Melayu tidak dapat menjayakan ekonomi kerana mereka tidak boleh bersaing. Mereka tidak boleh bersaing sebab mereka tidak mengiktibarkan ilmu yang berguna.

 

Sehingga kini orang Melayu jaguh dunia dalam ilmu dunia yang tidak berguna. Mereka percaya ulama yang menjual air jampi atau mendoakan air jampi. Mereka idolakan manusia terutama sekali manusia yang suka membalut kepala dan memakai baju maxi dan bercakap bahasa yang siapa pun tak faham.

 

Mereka enggan mempelajari bahasa asing terutama sekali bahasa Inggeris yang menjadi sumber kekayaan untuk scluruh dunia.  Bahasa mereka sendiri pula, Bahasa Melayu yang sungguh indah, mereka membazirkan dengan tukilan cerita sensasi, buku mencarut, kitab agama karut, cerita hantu, jin dan jembalang, berita skandal, fitnah, dan kepercayaan agama yang tipu sehingga Melayu yang mempunyai Phd dalam fizik nuklear pun boleh menjadi pengikut ulama yang kononnya membela  jin.

 

Walaupun berani mengambil nama ulama, rnereka tidak tahu isi kitab Allah iaitu AIQuran, tetapi mereka boleh menyanyikan lagu AI-Quran seperti juga penyanyi pentas.

 

Malang sekali pengikut mereka pula dalam keadaan yang lebih gelap gelita tentang ajaran AI-Quran.  Oleh itu ulama penipu boleh dinaikkan pangkat menjadi jaguh dan parti ajaran syaitan boleh dipangkah dalam pengundian.

 

Keadaan orang Melayu di Pulau Pinang misalnya mungkin lebih teruk daripada Melayu di Singapura. Antara kereta nasional dan motosikal nasional Melayu Pulau Pinang lebih mampu membeli motosikal nasional saja.

 

Orang Melayu yang membawa kereta Mercedes di Pulau Pinang mungkin boleh dikira dengan jari.  Orang Melayu sudah hampir pupus di Georgetown, Pulau Pinang.

 

Oleh sebab kedudukan ekonomi Melayu begitu rendah, mereka tidak mampu membeli rumah yang makin lama makin meningkat harganya di Pulau Pinang.

 

Kawasan yang lazimnya kawasan Melayu seperti Sungai Ara dan Bayan Lepas sekarang dimajukan dengan begitu pesat tetapi orang Melayu paling sikit menjadi penghuni di kawasan itu.  Makin lama Melayu Pulau Pinang makin tertolak ke belakang ke kawasan pedalaman Balik Pulau.

 

Begitu juga orang Melayu sudah kurang di kawasan Bandar Melaka - negeri asal Hang Tuah.  Disebabkan mereka tidak dapat bersaing dalam ekonomi tempatan, mereka terpaksa berundur sedikit demi sedikit ke kawasan yang lebih terpencil.

 

Tetapi al kisah Melayu yang paling sedih ialah di negeri Kelantan. Di sana orang Melayu dengan relanya menyerahkan rnasa depan mereka kepada satu golongan yang suka membalut kepala dan memakai baju maxi.

 

Melainkan kesibukan peniaga wanita di pasar Kota Bharu tiada peluang hidup yang cukup bagi semua penduduk negeri Kelantan.  Oleh itu kita mendapati ramai pemuda Kelantan berniaga di kaki lima di Chow Kit bersaing dengan pendatang Indonesia untuk menyara hidup.  Tidak berapa lama dulu ramai pemuda Kelantan menjadi buruh kasar di Singapura.

 

Sekarang setelah sepuluh tahun Pas memerintah Kelantan, bekalan air minum pun menjadi masalah.  Kawasan perumahan yang sudah siap pembinaannya tidak dapat diduduki penghuni sebab bekelan air tidak cukup.

 

Orang yang mengadakan kenduri kahwin di tengah bandar Kota Bharu terpaksa menyimpan air dalam bekas beberapa hari sebelumnya sebab bekalan air boleh tergendala.

 

Tetapi bagi ramai orang Kelantan walaupun miskin, mereka masih berbangga sebagai rakyat bertuah "Serambi Makkah".  Tidakkah mereka tahu "asyaitaanu yaidii kumu faqra" - syaitan janjikan kamu kemiskinan? (Surah 2:268).

 

Di negeri Kedah pula pernah berlaku orang kampung memajak tanah bendang mereka kepada pengusaha Cina.  Pengusaha Cina ini berusaha gigih menggunakan traktor, mesin tani dan sebagainya untuk memajukan padi di tanah itu. Aneh sekali, pengusaha Cina ini mengambil orang kampung dari sana juga untuk menggerakkan traktor dan mesin tani.  Apa gunanya kuasa politik jika kita makan gaji atas tanah sendiri?

 

Demikianlah keadaan sebahagian orang Melayu walaupun Perdana Menteri masih orang Melayu dan Melayu masih dianggap tuan dalam negara ini.  Apakah yang akan berlaku jika Melayu terus berpecah?

 

Tetapi yang sebenamya ramai orang Cina dan kaum lain khuatir dan panik apabila mendengar kenyataan Dr Mahathir itu.

 

Walaupun orang Cina, seperti juga semua orang lain atas muka bumi ini, menuntut lebih banyak keadilan dan kesaksamaan, tetapi mereka akui 'status quo'dalam negara kita di mana Melayu menjadi kaum majoriti dan orang Melayu yang memegang jawatan Perdana Menteri dan juga jawatan-jawatan strategik yang lain.  Sehingga kini keadaan ini menguntungkan orang Cina kerana kebanyakan mereka adalah peniaga dan pengusaha dan mereka hargai keamanan dan ketenteraman dalam negara kita termasuk perjalanan undang undang dan sistem kerajaan yang baik dan teratur.

 

Mereka juga faham, huru hara yang berlaku di negara lain dalam rantau ini yang juga diduduki orang Cina.  Peristiwa buruk di Indonesia merugikan ramai orang Cina.

 

Begitu juga di Filipina, orang Cina sering menjadi mangsa penculikan.  Jadi mereka tidak mahu merombak semula atau terbalikkan kestabilan yang sedia ada dalarn negara kita.

 

Sebab itu juga pada pilihan raya yang lalu parti DAP mengambil pendekatan tidak mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di bawah naungan Umno tetapi hanya untuk mengurangkan majoriti Barisan Nasional kurang daripada 2/3 supaya mereka boleh tuntut lebih banyak keadilan mengikut kacamata mereka sambil menikmati kestabilan dan kemajuan di bawah pimpinan Perdana Menteri kerajaan Barisan Nasional.

 

Tetapi, orang Cina dan juga semua orang lain dalam negara kita akan menimbangkan semula percaturan kuasa parti politik jika kesejahteraan dan peluang hidup mereka terus terancam.

 

Misalnya jika Umno tidak dapat berfungsi dengan berkesan lagi dan tidak meraih kepercayaan majoriti Melayu, ia akan menyebabkan huru hara dalam negara kita.  Kita sudah saksikan perkara ini di depan mata kita.

 

Jika masalah ini berulang, orang Cina akan terpaksa bergabung tenaga dengan sesiapa juga yang dapat mengawal sokongan orang Melayu dengan lebih padu.  Jika perkara ini berlaku, jangan kita salahkan orang Cina atau sesiapa.