KEWAJIPAN DAN CARA MENEGUR PEMERINTAH

Taat kepada pemerintah tidaklah menghalang mana-mana pihak dari memberi pandangan, nasihat serta teguran terhadap golongan yang memerintah.  Malah ini adalah salah satu perkara yang dituntut dalam Islam.

Walau bagaimanapun, harus diingat bahawa setiap kewajipan dalam Islam mestilah dilakukan mengikut kaedah dan peraturan yang ditetapkan oleh syarak. Misalnya, sembahyang itu mestilah ditunaikan mengikut rukun dan syarat yang ditetapkan.  Mengerjakan sembahyang tanpa mengikut cara yang ditetapkan oleh syarak, bukan sahaja tidak sah, tetapi ianya juga satu dosa.  Demikianlah halnya dengan tanggung jawab menegur pemerintah yang termasuk dalam kewajipan amar makruf dan nahi mungkar dalam Islam.

Imam Ghazali membahagikan kewajipan amar makruf ini kepada lima peringkat. Pertama, takrif (memberitahu); kedua, menasihati dengan kata-kata yang lembut; ketiga, menggunakan kata-kata yang keras; keempat, mencegah dengan kekuatan; kelima, menggunakan cara ugutan.  Menurut Imam Ghazali yang harus dilakukan terhadap golongan pemerintah ialah dua peringkat teratas sahaja iaitu: takrif dan nasihat dengan kata-kata yang lembut (Al Ehya).  Apa yang disebut oleh Imam Ghazali ini selaras dengan ajaran yang terkandung dalam hadis Rasulullah S.A.W seperti berikut:
islam11.jpg (23732 bytes)
"Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa mengenai sesuatu perkara maka janganlah ia menyampaikan secara terang-terang, tetapi hendaklah ia memegang tangannya dan menyampaikan nasihatnya secara bersendirian. Sekiranya nasihat itu diterima maka itulah yang baik, tetapi sekiranya tidak diterima, maka ia (pemberi nasihat) dikira telah melakukan tanggungjawabnya." (Riwayat Ahmad dan al-Hakim)