Make your own free website on Tripod.com

TAATI PEMERINTAH

 

AI-Qurtubi ketika mentafsirkan perkataan 'ulilamri' dalam ayat 59 surah Annisa' yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasulnya, dan 'ulilamri' di antara kamu", beliau menyatakan: "Yakni golongan yang memerintah mengikut pendapat Jumhur (bilangan terbesar dikalangan ulama), Abu Hurairah, Ibnu Abbas dan lain-lain" (lihat al-Jaami' Liahkaam al-Quran).  Imam Ahmad Bin Hambal berkata: "Sesiapa yang memegang jawatan ketua pemerintah yang mana sebahagian besar umat telah menyokong dan mempersetujuinya, maka ia adalah sah sebagai Ketua Negara.  Ibnu Malik al-Qattan menyebut satu riwayat dari Imam Ahmad katanya: "Sesiapa yang memperolehi kuasa walaupun dengan menggunakan kekuatan Ialu ia berjaya memegang tampuk pemerintahan, maka ia sah sebagai pemerintah umat Islam.  Oleh itu tidak halal bagi orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat tidak mengiktirafnya sebagai pemerintah walaupun dalam tempoh semalam, samada ia orang baik atau orang fasik, ia tetap sebagai pemerintah umat Islam" (lihat Abu Ya'la, alAhkaam al-Sultaniyyah).

 

AI-Zarqani dalam kitabnya Syarh al-Muwatta' menyebut pendapat Imam Malik yang juga merupakan pendapat Jumhur Ahlussunnah: "Walaupun terdapat tindakan yang dianggap zalim oleh Ketua Negara, maka dalam keadaan demikian pun, kesetiaan lebih diutamakan daripada penentangan terbuka; kerana ia boleh menggugat keamanan, menyebabkan pertumpahan darah, serang menyerang yang akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar".  Dr. Yahya Ismail dalam bukunya "Manhaj al-Sunnah Fi al-Alaqa Baina al-Hakim wa al-Mahkum" (sebuah tesis PhD yang dikemukakan kepada Universiti al- Azhar) ketika menyokong pendapat ulama mujtahid di atas berkata :"Tindakan yang dianggap zalim oleh pemerintah terhadap mana-mana individu tidak mengharuskan penentangan terbuka serta tuntutan memecat mereka.  Ini ialah kerana mengutamakan kepentingan perpaduan umat daripada hak individu sepertimana yang disebutkan oleh Iman Nawawi".

 

Pandangan para ulama di atas diasaskan kepada Hadis-Hadis soheh yang menyatakan pentingnya kedudukan pemerintah sebagai benteng pertahanan ummah daripada ancaman musuh dan penjenayah.  Imam Ahmad meriwayatkan sebuah Hadis yang bermaksud :"Akan wujud selepas aku pemerintah-pemerintah; maka hendaklah kamu tunaikan hak ketaatan kepada mereka, kerana pemerintah adalah laksana perisai yang dengannya umat mendapat perlindungan.  Jika mereka menjalankan urusan pemerintahan dengan baik, maka kamu dan mereka mendapat faedah daripadanya; tetapi jika mereka melakukan perkara yang buruk, maka keburukkan itu ditanggung oleh mereka, dan kamu terselamat daripadanya".  Memandangkan kedudukan pemerintah yang begitu penting dalam menjaga kepentingan agama dan umat, maka umat Islam dilarang keras menghina dan mengancam kedudukan mereka.  Imam Tirmizi, Ahmad dan al-Tobarani meriwayatkan sebuah Hadis daripada Abi Bakarah yang bermaksud: "Pemerintah adalah perlindungan Allah (Zillullah) di muka bumi; maka barangsiapa yang memuliakan kuasa Allah (Sultanullah) Ta'ala di dunia, Allah akan memuliakannya di akhirat.  Dan sesiapa yang menghina kuasa Allah Azzawajalla di dunia, Allah akan hinakan dia pada hari kiamat" (Hadis ini menamakan kuasa yang ada pada pemerintah sebagai "Kuasa Allah", kerana melaluinya kejahatan dapat dicegah, seperti yang dinyatakan dalam sebuah Hadis yang bermaksud "Allah mencegah kejahatan dengan kuasa (kuasa pemerintah) apa yang tidak dapat dicegah dengan Quran" (lihat al-Mawardi, Adab alDunya Wa al-Din).

 

Dr. Yahya Ismail mengkategorikan sebagai dosa besar perbuatan memaki dan mengumpat pemerintah, berasaskan sabda Nabi yang bermaksud: "Jika kamu berada di bawah pemerintah-pemerintah yang menyuruh kamu mengerjakan sembahyang, berzakat dan berjihad, maka haram ke atas kamu memaki mereka dan halal bagi kamu mengikut mereka" (alTobarani dan Abu Daud).  Sementara al-Baihaqi pula meriwayatkan sebuah Hadis yang bermaksud: "Janganlah kamu memaki pemerintah, kerana ia adalah sebagai perlindungan Allah di buminya".  Imam Ahmad meriwayatkan sebuah Hadis yang bermaksud: "Sesungguhnya akan ada selepas aku pemerintah, maka janganlah kamu menghinanya: kerana barang siapa menghina pemerintah maka sesungguhnya ia telah menanggalkan kalungan Islam daripada tengkoknya, dan taubatnya tidak diterima hingga ia menampal kecacatannya itu (memperbetulkan kesalahannya)".  Menurut beliau lagi kedudukan golongan pemerintah yang penting ini tidaklah menghalang tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran terhadap mereka, namun ia hendaklah dilakukan secara yang lembut dan bukannya dengan cara yang kasar ataupun menggunakan kata-kata yang kesat dan bersifat menyerang.  Ini ialah berpandukan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin menasihati pihak yang berkuasa berkenaan sesuatu perkara, maka janganlah ia lakukan secara terang-terangan: tetapi hendaklah ia sampaikan nasihat tersebut secara rahsia.  Jika nasihat itu diterima, maka itulah yang sebaik-baiknya.  Tetapi jika tidak diterima, maka ia (pemberi nasihat) telah melaksanakan kewajipan yang tertanggung ke atasnya" (Imam Ahmad).

 

Adalah jelas di sini bahawa setiap kewajipan syarak mestilah dilaksanakan dengan cara dan kaedah yang ditetapkan.  Contohnya, dalam mengerjakan ibadat, kita bukan sahaja wajib menunaikannya dengan ikhlas, tetapi juga dengan cara dan kaifiat yang betul.  Sembahyang tanpa menyempurnakan rukun dan syarat umpamanya, bukan sahaja tidak sah, tetapi juga merupakan satu dosa walaupun ia dilakukan dengan ikhlas.  Kalau seseorang itu ingin berdakwah, maka ia perlu mengikut contoh yang ditunjukkan oleh para Ambia' Alaihimussalam.  Sewaktu Nabi Musa dan Harun Alaihimussalam diperintahkan menghadap Firaun, Allah berfirman kepada kedua-duanya: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya la telah melampaui batas; maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (maksud ayat 43 - 44 surah Thoha).  Ketika mengutus surat kepada Raja Rom Hercules, Rasulullah S.A.W. merujukkannya dengan panggilan "Azim al-Rum" (Pembesar Rom).  Dalam surat baginda kepada Yahudi Khaibar, mereka dirujukkan dengan panggilan "Sohaib Musa Wa Akhihi" (Sahabat Musa dan Saudaranya).

 

Inilah sebenarnya akhlak Islam yang dibawa oleh para Ambia' Alaihimussalam, dan akhlak beginilah yang sepatutnya diajar oleh ulama sebagai pewaris Nabi-nabi.  Dalam hubungan ini, satu hakikat yang tidak seharusnya dilupakan ialah: Walau sehebat mana sekalipun seorang ulama atau pendakwah itu, yang pasti ia tentunya tidaklah lebih baik daripada para Rasul, dan sasaran dakwah mereka pula bukanlah lebih jahat daripada Firaun.  Perlu juga diperingat di sini bahawa kata-kata seperti: Karya ini hanya sebuah cerita rekaan dan tidak ditujukan kepada sesiapa; baik yang hidup mahupun yang sudah mati hanya boleh menggelak daripada tindakan manusia, tetapi tidak boleh menyelamatkan diri daripada hukum Allah; kerana Dia Maha Mengetahui niat dan tujuan seseorang, dan Malaikat yang merekodkan amalan juga mengetahui isi hati kita.