Make your own free website on Tripod.com

GELARAN DAN SIFAT RENDAH DIRI

 

Persoalan gelaran ini pada hakikatnya bukanlah perkara yang penting dan perlu diberi perhatian.  Namun apa yang ingin saya tarik perhatian di sini ialah mesej halus disebalik pengunaan gelaran tersebut.  Saya dapati gelaran tersebut begitu ditunjulkan oleh pengikutnya, sehingga poster yang mengiklankan ceramah beliau memakai judul 'Amanat Tok Guru' yang ditulis dengan huruf besar.  Di sebalik tindakan ini semacam ada satu mesej halus yang hendak diterapkan ke dalam fikiran orang ramai bahawa apa yang akan disampaikan itu benar dan perlu diterima.  Dengan itu orang yang mengaji tidak perlu mengkaji, dan orang yang tidak mengaji hendaklah menerimanya sebagai satu kebenaran yang tidak perlu diragui lagi.

 

Kaedah mengenal kebenaran berasaskan orang ini sebenamya bertentangan dengan manhaj yang digunakan para ulama salaf seperti mana yang digariskan oleh Saidina Ali R.A. melalui sebuah ungkapannya yang membawa maksud: " Janganlah kamu mengenal kebenaran dengan melihat kepada orang yang memperkatakannya; tetapi kenalilah kebenaran, maka melaluinya kamu akan mengetahui siapakah orang yang benar itu".  Kaedah ini menyarankan bahawa kebenaran sesuatu pendapat itu hendaklah berasaskan hujah dan dalil semata-mata, dan bukan dilihat kepada siapa yang memperkatakannya.  Kecenderungan menerapkan budaya taksub dikalangan pengikut, samada kepada guru, pemimpin atau kumpulan, akan membawa kelemahan kepada umat.  Kerana ia akan melumpuhkan daya berfikir masyarakat dan membantut kegiatan mengkaji secara ilmiah.  Contoh teladan yang ditunjukkan oleh para ulama salaf seharusnya menjadi ikutan kita dalam membina keutuhan umat yang berasaskan ilmu pengetahuan dan bercirikan kebebasan menyelidik dan berfikir secara ilmiah.  Imam Abu Hanifah pernah berkata kepada murid-muridnya : " Perkataan kami ini adalah satu pendapat, ia adalah sebaik-baik yang kami mampu memperolehinya.  Barang siapa membawa yang lebih baik daripada pendapat kami, maka dialah yang lebih betul daripada kami ". Ketika mengulas sikap Imam Abu Hanifah ini, Syeikh Muhammad Abu Zuhrah menyatakan : "Inilah dia ikhlas Abu Hanifah.  Beliau bukanlah daripada golongan yang taksub kepada pendapat sendiri.  Malah ikhlasnya serta luas pandangannya membawa beliau membuka pintu hatinya kepada pendapat orang lain". (Tarikh al-Mazahib al-Islamiah).  Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buti, mengingatkan mengenai bahaya taksub terhadap keutuhan dan perpaduan umat.  Dalam sebuah risalahnya yang berjudul "Baatin al-Ithmi" (Dosa tersembunyi), beliau menulis: "Antara natijah daripada bahaya besar ini ialah sifat "Assobiyyah" atau taksub terhadap puak atau kumpulan itu sendiri, samada ianya bersifat keluarga, kabilah, guru atau pertubuhan; sehingga kesetiaan dan persaudaraannya terhad kepada golongannya sahaja.

 

Sifat taksub ini jika dibiarkan, akan terus subur dalam diri seseorang sehingga tertutup pandangannya terhadap hakikat sebenar daripada firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara (alHujuraat ) ; dan digantikan dengan suatu hakikat persaudaraan yang sempit mengambil tempatnya"