Make your own free website on Tripod.com

NIK AZIZ MEMASUKI PAS

 

Antara tahun 1960 hingga 1964 saya berada di Kelantan kerana menuntut disebuah institusi pengajian pondok, iaitu Pondok Tuan Guru (Haji) Abdul Ghani Syed (Allahyarham), Kubang Bemban, Pasir Mas.  Era tersebut dianggap sebagai era kegemilangan PAS.  Kerana dalam pilihanraya 1959 PAS berjaya menawan dua negeri di Pantai Timur, iaitu Kelantan dan Terengganu.  Di Terengganu PAS memenangi 13 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala di Kelantan pula PAS berjaya menawan 28 daripada kerusi yang dipertandingkan.  Dalam pilihanaraya 1964 PAS terus menguasai Kelantan dan memenangi 21 daripada 30 kerusi.  Satu perkara yang tidak dinafikan ialah: Tok-Tok Guru Pondok adalah merupakan tunggak kekuatan PAS pada ketika itu.  Guru saya sendiri, iaitu Tuan Guru (Haji) Abdul Ghani adalah ketua PAS kawasan Pasir Mas pada ketika itu (sama dengan Ketua Bahagian dalam UMNO).

 

Pada ketika itu saya telah pun mendengar nama Haji Nik Aziz, tetapi bukan sebagai seorang tokoh PAS, sebaliknya sebagai seorang pendakwah bebas yang hanya dikenali dengan panggilan Ustaz sahaja, bukan Tok Guru.  Dikalangan masyarakat Kelantan pada ketika itu, panggilan Tok Guru pada umumnya dianggap lebih tinggi daripada Ustaz.  Seorang Tok Guru yang memimpin sebuah pusat pengajian pondok biasanya terdiri daripada ulama yang menamatkan pengajian dalam sistem berkenaan yang agak berbeza dengan sistem pengajian sekolah atau universiti.  Dalam sistem pengajian pondok, pelajar-pelajar mengikuti pengajian ilmu-ilmu Islam secara menyeluruh tanpa mengkhususkan kepada jurusan-jurusan tertentu seperti Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab.  Ulama atau Tok Guru yang mengepalai sesebuah institusi pengajian pondok biasanya telah menguasai dan mampu mengajar kitab-kitab dalam bidang-bidang disebutkan diatas.  Mereka biasanya sangat teliti dalam perkara yang berkaitan dengan fatwa dan hukum.  Salah seorang guru saya menceritakan tentang seorang guru beliau yang sangat alim ketika menuntut di Mekah.  Apabila seseorang bertanyakannya tentang sesuatu masalah hukum, beliau meminta tempoh untuk membuka kitab terlebih dahulu sebelum memberi jawapan, walaupun apa yang ditanyakan itu agak mudah dijawab.

 

Inilah ciri-ciri Tok Guru seperti yang saya fahami berasaskan pengalaman ketika menuntut di Kelantan sekitar tahun enam puluhan dahulu.  Adalah jelas bahawa sekalipun hampir keseluruhan Tok Guru memakai serban, namun panggilan tersebut pada hakikatnya mempunyai latar belakang tersendiri dan bukanlah didasarkan kepada lilitan serban semata-mata.

 

Detik-detik kemasukkan Ustaz Haji Nik Aziz kedalam PAS telah dirakamkan oleh Allahyarham Dato' Asri dalam buku memori politiknya Meniti Arus.  Menceritakan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam tahun 1967 beliau menulis: "Ketenangan selepas bertarung dalam pilihanraya kecil Bachok itu tidak lama, apabila Haji Ahmad Abdullah atau Haji Ahmad Prai pula meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya yang berlaku dalam tahun 1967.  Sekali lagi PAS terpaksa mencari calon pengganti untuk pilihanraya kecil di kawasan Kelantan Hilir."

 

"Dalam satu mesyuarat kecil di rumah kediaman saya (JKR No. 10, kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan), kata sepakat telah diambil bagi mempelawa Ustaz Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, untuk menjadi calon.  Beliau lulus Sarjana Muda dari Dar al-Ulum India, dan menyambung pelajaran di Universiti Azhar dengan mendapat ijazah sarjana.  Beliau pada masa itu menjadi guru di Maahad Muhammad dan bertugas sambilan sebagai pendakwah, yakni sebagai guru agama di kelas dewasa.  Ustaz Nik Abdullah Arshad diberi tugas bagi menemui Ustaz Nik Abdul Aziz dan Alhamdulillah, pelawaan PAS disambut dengan baik oleh beliau.  Haji Nik Aziz dibawa ke rumah Menteri Besar bagi menyelesaikan beberapa perkara, terutamanya untuk mengisi borang menjadi anggota PAS dan membuat persediaan yang sewajarnya, terutamanya untuk mengisi borang pencalonan.  Saya masih ingat pada ketika itu beliau sedang uzur.  Saya telah meminta setiausaha peribadi saya menjemput doktor dari hospital datang ke rumah.  Alhamdullilah segala-galanya berjalan dengan lancar".

 

Berasaskan fakta sejarah yang dirakam oleh Dato' Asri di atas, pertanyaan yang mungkin timbul ialah: Sejak bilakah beliau mengetahui bahawa PAS adalah merupakan satu-satunya wadah perjuangan Islam yang disifatkannya sebagai 'tulin' berbanding dengan UMNO?  Perlu disebutkan disini bahawa "kelas dewasa" yang disebut oleh Dato' Asri dalam Memoirnya itu adalah wadah yang diwujudkan oleh UMNO.  PAS telah dibawa masuk ke Kelantan oleh Allahyarham Dato'Asri dan Dato' Othman Abdullah pada tahun 1954, dan telah mengharungi tiga pilihanraya 55, 59 dan 64 sebelum penyertaan Haji Nik Aziz.  Tentulah tidak mudah untuk digambarkan pengorbanan serta jerih payah generasi peneroka yang memulakan kerjanya daripada titik sifar dalam mengembang dan membangunkan PAS sehingga sampai ke mercu kejayaan dalam tahun l967.  Soalannya di sini: Apakah setelah PAS mencapai kejayaan besar dalam dua pilihanraya 59 dan 64, kemudian berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kelantan Hilir, dan beliau ditawarkan untuk mengisi kekosongan tersebut, maka pada ketika itu barulah beliau menyedari bahawa PAS adalah satu-satunya wadah yang tulin bagi memperjuangkan cita-cita Islam, manakala yang lain adalah palsu belaka?

 

Semasa Dato' Asri menjadi menteri Kerajaan Pusat ketika PAS dalam Barisan Nasional, saya sering bertemu dan pernah makan semeja dengan beliau di rumah Allahyarham No.10, Jalan Swee Guat, Kuala Lumpur, yang mana beliau ketika itu menjadi Ahli Parlimen Barisan Nasional daripada parti PAS.  Sepanjang ingatan saya, sehingga waktu itu beliau masih dirujuk dengan panggilan Ustaz Nik Aziz.  Kemungkinan besar beliau dirujukkan dengan panggilan Tok Guru hanya setelah pengunduran Dato' Asri dan PAS memasuki era kepimpinan ulama.